Diterbitkan: 15 Julai 2015
Ditulis oleh YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Saya selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu dan juga semua warga PAS negeri Terengganu mengucapkan Selamat Hari Raya Eidilfitri yang kebetulannya pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat yang merupakan Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari.
Saya mengucapkan kepada semua peringkat serta semua rakyat Terengganu dengan ucapant' 'Kullu 'am wa antum bil khair' dan maaf zahir batin.
Khususnya kepada perantau, saya mengucapkan selamat kembali ke tanah air, Terengganu dan ke kampung halaman dan diharapkan supaya berhati-hati di jalan raya khususnya di kawasan lebuh raya baru kita yang dirasakan kurang selamat kerana berlaku beberapa isu kemalangan di sana, yang digelar sebagai 'lebuh raya maut'.
Bagi umat Islam, hari raya merupakan hari kemenangan. Di zaman sahabat dalam peristiwa peperangan, mereka menggali parit di bulan Ramadhan dan di bulan Syawal juga berlaku perang Khandaq.
Oleh itu ianya bukan sekadar hari raya, tapi merupakan hari kemenangan, hari kejayaan bagi umat Islam menyelesaikan amanah dan tanggungjawab dalam ibadat puasa.
Dalam masa yang sama, ia juga merupakan hari kemenangan perjuangan aqidah dan juga amal jamaie yang merupakan amanah dan tuntutan bagi semua orang Islam. Sepatutnya kita bermuhasabah adakah hari raya kita pada tahun ini adakah lebih baik daripada raya tahun sebelumnya dan kita berharap dengan datangnya hari raya ini, ia mampu memberi lonjakan kepada perjuangan islam di seluruh dunia khususnya di Terengganu.
Walaupun kita sedia maklum, pada Ramadhan kali ini pelbagai suka duka yang kita dapat, yang berlaku kepada saudara kita khususnya di Palestin, Syria, Iraq bahkan di Yaman tidak lupa juga rakan kita di Ikhwanul Muslimin yang dipenjarakan serta dihukum gantung di Mesir mahupun Bangladesh.
Walaupun pada gambaran zahirnya, tekanan demi tekanan namun ingatlah pada janji Allah. Sebenarnya merekalah yang lebih berjaya di sisi Allah taala sebagai mereka yang terpilih sebagai syuhada'.
Saya mewakili Perhubungan Terengganu mengharapkan pada hari raya ini, rakyat khususnya rakyat Terengganu supaya lebih sedar dan membuat perubahan bukan sahaja dari segi ibadah yang lebih baik, emosi yang lebih baik, pendidikan yang lebih baik tetapi juga politik tanah air yang lebih baik.
Realiti hari ini,kita menghadapi hari raya dalam keadaan membebankan dalam keadaan matawang Malaysia yang jatuh, harga barangan yang meningkat, serta kenaikan harga minyak tidak dilupakan isu GST. Yang lebih malang lagi apabila pemimpin pemimpin yang diberi amanah telah disabitkan dengan tuduhan rasuah serta pecah amanah.
Sebab itulah apabila kita berpuasa, mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah. Dan kita mengharapkan kita juga berhari raya dengan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dan kita juga masih berada di era penjajahan walaupun British telah meninggalkan kita. Kita sekarang dijajah oleh isme-isme, ideologi-ideologi, pemikiran-pemikiran, undang-undang, politik, ekonomi dan sebagainya yang masih lagi tidak mengikut syariat Islam dan kita merasakan itulah punca punca musibah.
Sebab itulah kita mengharapkan semua umat Islam sempena hari raya ini bukan sahaja membebaskan diri daripada iblis dan syaitan serta nafsu syahwat, tetapi juga bebas daripada kongkongan manusia manusia yang masih memenjarakan syariat islam supaya kita benar benar berusaha dan meraih kejayaan yang sebenarnya.
Dan insyaAllah sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kita mengharapkan perubahan khususnya daripada anak muda kita serta perantau untuk sama sama memainkan peranan untuk menjana dan membuat perubahan pemikiran khususnya kepada rakyat di luar bandar supaya berani dan yakin untuk membuat perubahan.
Kalau selama ini kita beribadat untuk mendapat keredhaan Allah, begitu juga ketika hari raya ini. Kita menggantikan ibadat hari raya ini dengan hari hari raya yang lain tidak lain kerana kita telah dipilih oleh Allah.
Oleh itu, saya mewakili Perhubungan PAS Terengganu sekali lagi memohon kemaafan jika berlakunya salah silap serta salah faham dan juga mengharapkan supaya rakyat terengganu terus istiqamah serta memberi kesempatan kepada PAS untuk terus kukuh dalam arena politik tanah air khususnya di Terengganu ini.
Sekian.
YB Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
28 Ramadhan 1436/ 15 Julai, 2015
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka
28 Ramadhan 1436/ 15 Julai, 2015
0 comments: