KOTA BHARU: PAS berharap dakwaan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalur ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak ditangani dengan telus bagi mengelak menyusahkan rakyat.
Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS menyambut baik perbincangan mengenai isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam.
Katanya, perbincangan parti-parti politik berkaitan isu itu apa yang baik akan disokong dan begitu juga sebaliknya.
“Kita lihat apa yang akan dibincang nanti, kita tidak mahu ia boleh menyusahkan rakyat, tidak mahu rakyat menjadi beban.
“Pembaharuan yang dilakukan biarlah yang betul,” katanya selepas menyampaikan ceramah sempena sambutan Nuzul alQuran di Madinah Ramadan malam 6 Julai lepas.
Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, anggota Exco, Dato’Abdul Fattah Mahmood, anggota parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Zamri Ismail.
Sebahagian besar yang mengikuti program berkenaan kalangan anak-anak muda.
Solat tarawih diimamkan Syeikh Hisham Abdel Bari al Masri dan Syeikh Yaser AlSyarqawi juga dari Mesir.
Pada sebelah petang Presiden mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS dari seluruh Kelantan di Putik yang berakhir dengan iftar.
Baru-baru ini Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjemput ahli Parlimen pelbagai parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai mesyuarat membincangkan dakwaan Wall Street Journal (WSJ) terhadap Perdana Menteri.
Menurutnya mesyuarat tergempar yang akan diadakan di Parlimen bagi menilai tahap keyakinan orang ramai terhadap Najib.
Tuan Guru Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang berkata, mana-mana pihak bebas untuk menubuh parti baru di negara ini selaras dengan semangat demokrasi.
Bagaimanapun katanya beliau percaya anak yang merajuk akan kembali semula kepada bapanya selepas keadaan reda.
Berucap sebelum itu kata beliau ideologi ciptaan manusia tidak ada yang kekal.
“Kegemilangan tamadun Soviet Union, China dan India hanya ada dalam lipatan sejarah sekarang.
“Ideologi ciptaan manusia membuatkan orang ramai teraba-raba mencari kebenaran bagi meneruskan kelangsungan hidup.
“Sedangkan cahaya Islam tidak boleh dipadam sehingga dunia khiamat,” ujarnya.
0 comments: