Diterbitkan: 13 Julai 2015
Ditulis oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
Insiden Low Yat berkisarkan satu pembelian telefon kini beransur parah apabila api perkauman dan kebencian dibakar di media sosial.
Polis dan pihak berkuasa lain perlu bertindak segera agar kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan seadilnya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu bertindak segera agar para pembeli sentiasa diberi kesedaran yang cukup dan hak mereka dijaga di samping memastikan para peniaga berniaga secara beretika. Polis dan SKMM perlu bertindak menghentikan cubaan menimbulkan api perkauman dan kebencian antara kaum di media sosial.
PAS berharap pihak berkuasa dapat bertindak secepat dan secekap mungkin untuk menutup rapat peluang kepada pihak yang cuba menangguk di air keruh kerana terlihat adanya ruang untuk mengalihkan pandangan rakyat. Keharmonian antara kaum adalah aset terpenting negara yang perlu dipertahan sepanjang waktu.
Kena tipu bukan satu alasan untuk berkelahi di khalayak ramai mahupun bermain sentimen perkauman. Jika begitu caranya, berapa kali dah rakyat perlu berkumpul di pejabat-pejabat kerajaan/syarikat milik kerajaan yang tidak amanah menguruskan wang rakyat?
Rakyat dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan berwaspada. Meskipun insiden di Low Yat ini menggusarkan, namun rakyat tidak perlu terikut-ikut dan terjerat dengan isu perkauman yang cuba ditiup sehingga isu yang lebih besar seperti kontroversi yang melibatkan dana negara dan integriti pemimpin tertinggi dilupakan.
Jangan kerana barangan yang nilainya seribu dua, maka tertutupnya isu dana negara berbilion ringgit. Kaedah mengalihkan perhatian dengan memperbesarkan isu yang kecil dan memperkecilkan isu yang besar ini akhirnya boleh menyebabkan rakyat melupakan isu negara itu.
Pendek kata, jangan jadi alat kepada orang lain yang mahir mempergunakan sentimen perkauman dan kemarahan yang cuba ditimbulkan. Jadilah rakyat yang sedar.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
13 Julai 2015
0 comments: