Jangan Pecahbelahkan Pimpinan PAS Dengan Mengapi-apikan Sesama Mereka


Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyarankan media tidak memecahbelahkan pimpinan PAS dengan mengapi-apikan sesama mereka, apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Idris berkata demikian kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di akhbar Utusan yang dilihat seperti mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilanda skandal terkini susulan pendedahan Wall Street Jounal (WSJ).

"Pergi tanya dia (Dr. Haron) betul atau tidak betul. The Malaysian Insider kalau nak mencanangkan kepimpinan tidak baik pada bulan puasa ini, tak elok," katanya.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga mencadangkan Najib menyaman WSJ sekiranya terdapat maklumat yang tidak benar berhubung laporan tersebut.

"Laporan WSJ kalau ada apa-apa perkara yang tidak betul, pihak Najib perlu saman kerana itu satu tuduhan besar pada dia," katanya.

PAS hari ini dilihat mempertahankan Najib daripada pendedahan WSJ mengenai aliran wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi beliau.

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia memetik Haron yang menyifatkan dakwaan WSJ itu tidak logik dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dulu.

Katanya, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

"Oleh itu, saya merasakan laporan itu mesti disiasat kebenarannya sama ada benar atau tidak.

"Jika sebelum ini banyak laporan dikaitkan dengan perdana menteri dan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tetapi setelah dijelaskan satu persatu, banyak berita didapati tidak benar," katanya dipetik akhbar itu.

Idris berkata, artikel terbabit dianggap tuduhan berat kerana boleh menjejaskan ekonomi negara menerusi kehilangan kepercayaan dalam kalangan pelabur.

0 comments: