Kemuncak Pesta Ibadah Di Bulan Ramadan


Kita sekarang berada antara 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan. Ianya adalah kemuncak kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah mereka kepada Allah. Terdapat padanya satu malam jika dilaksanakan ibadah, maka pahalanya sama dengan 1,000 bulan atau 83 tahun empat bulan.

Kadang-kadang kita umat hari ini merasa irihati dengan umat-umat zaman dahulu kerana mereka dikurniakan oleh Allah dengan umur yang panjang.

Bagi kita umat ini, umurnya sekitar 60 tahun sahaja, bahkan di zaman ini berapa ramai yang mati seawal usia remaja dan muda kerana penyakit, kemalangan dan bencana alam.

Umat zaman dahulu umur mereka panjang, contohnya umat Nabi Nuh a.s. yang dikurniakan umur ratusan bahkan ribuan tahun. Kita berfikir alangkah beruntungnya mereka kerana mempunyai masa yang panjang untuk melakukan ibadah kepada Allah.

Akan tetapi Allah itu Maha Adil khususnya kepada umat Nabi Muhammad SAW yang menjadi semulia-mulia umat yang dikeluarkan kepada manusia.

Allah mengurniakan kepada umat ini masa-masa, hari-hari, bulan-bulan dan malam yang dilipat kali gandakan pahalanya di sisi Allah. Sudah tentulah kemuncaknya ialah Malam Qadar yang disebut kelebihannya oleh Allah khusus di dalam surah al-Qadr.

Pada 10 malam yang terakhir ini Rasulullah SAW adalah contoh dan teladan yang terbaik. Baginda adalah manusia yang paling banyak mendekatkan diri kepada Allah pada malam-malam ini walaupun baginda adalah Nabi yang maksum daripada segala dosa.

Bermujahadah mencari Malam Qadar bukan bersungguh-sungguh mencari tanda-tanda pelik yang berlaku pada malamnya seperti pokok kelapa tunduk ke bumi sebagaimana difahami oleh segelintir masyarakat. Hanya mencari tanda-tandanya, tetapi tidak menghidupkannya dengan amal ibadah, maka tidak ada guna. Maksud mencarinya ialah dengan dihidupkan amal ibadah kepada Allah, barulah memperoleh fadhilatnya.

Saya tertarik dengan nota yang diviralkan di alam maya sehari dua ini; iaitu pesanan Imam Masjid Al-Haram, Syeikh Mahir Mu'aqili kepada umat Islam.

Kata beliau, umat Islam paling kurang mestilah melakukan tiga perkara pada setiap malam 10 yang terakhir ini.

Pertama; solat sunat dua rakaat, kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti solat 83 tahun.

Kedua; menderma satu Riyal/ringgit, kerana jika bertepatan dengan Malam Qadar, maka pahalanya sama seperti menderma 83 tahun.

Dan yang ketiganya ialah membaca surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali, pahala membacanya sekali sama seperti membaca satu pertiga Al-Quran, kalau dibaca tiga kali, maka pahalanya sama seperti membaca seluruh Al-Quran.

Ayuh sahabat-sahabat sekalian kita sama-sama bermujahadah mencari malam yang mulia untuk memperolehi fadhilatnya yang sangat besar ini.


MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments: