KRISIS KEWANGAN NEGARA MEMBEBANKAN RAKYAT


Tinta Penerangan. 09

KRISIS KEWANGAN NEGARA MEMBEBANKAN RAKYAT.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


1. Pada dekad 1990 hingga 2000, kita telah menyaksikan tiga gelombang krisis kewangan yang melanda dunia. Pertama ialah Krisis Kewangan Eropah 1992/1993. Kedua ialah Krisis Kewangan Amerika Latin 1994/1995 dan terakhir disusuli dengan Krisis Kewangan Asia 1997/1998. 


2. Pada awalnya, Malaysia dijangka terlindung daripada dampak krisis kewangan serantau kerana mempunyai fundamental yang kukuh, namun serangan ekonomi yang melanda Thailand pada tahun 1997 telah membuakkan krisis keyakinan terhadap negara-negara jiran Asia yang lain termasuk Malaysia.


3. Pertumbuhan KDNK pada tahun 1996 mencatatkan peningkatan kepada paras 9.5% kemudian ia merudum sehingga 4.8% pada tahun 1998. Manakala, kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat daripada tahap yang kukuh iaitu RM 2.52 sen lantas menjunam kepada RM 3.80 sen dalam tempoh waktu yang sama. Lebih parah lagi pada 7 Januari 1998, kadar pertukaran telah terperosok kepada RM 4.88 sen. 


4. Menurut kronologi semasa, pada bulan Disember 2014 yang lalu, nilai Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat ialah RM 3.44 sen. Setelah itu, ia menokok kepada RM 3.72 sen pada pertengahan bulan Mac 2015. Satu nilai yang paling rendah sejak sembilan tahun sebelumnya. 


5. Namun begitu, pada 22 Julai 2015, kadar pertukaran telah berlegar sekitar RM 3.80 sen dan sudah tentu ia telah merekodkan penurunan paling ketara serta memberikan isyarat bahawa negara di ambang kemelesetan ekonomi. Malah, sudah terdapat beberapa ramalan daripada penganalisis ekonomi bahawa nilai ringgit akan merentasi paras RM 4.00 pada bulan September 2015. Ini sudah tidak dianggap pesimistik!   


Persoalannya, bagaimana ia boleh berlaku?

6. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar pada 18 Jun 2015 bagi menerangkan secara ringkas faktor-faktor penyebab volatiliti (ketidaktentuan perubahan) kadar pertukaran Ringgit Malaysia. Asasnya, pergerakan nilai ringgit dipengaruhi oleh perkembangan global dan domestik. 


7. Disebabkan ekonomi negara terbuka kepada pengaruh luar, maka tren kejatuhan harga minyak mentah dan gas akhir-akhir ini telah menjadi salah satu faktor melemahkan nilai ringgit. Berdasarkan standardisasi Crude Oil Brent, harga minyak mentah dari Januari 2015 hingga Julai 2015 tidak pernah melebihi USD 70 setong. Terkini, ia hanya berlegar sekitar USD 54 – USD 58 setong sahaja. 


8. Ini bermakna penawaran berlebihan minyak yang mungkin disebabkan oleh geopolitik dunia telah menunjukkan korelasi (hubungan pemboleh ubah) positif dengan nilai ringgit. Disebabkan itulah pada awal tahun 2015, kerajaan telah merevisi (menyemak semula) unjuran bajet tahunan kerana sumbangan petroleum kepada kerajaan telah berkurang lebih 30% kerana berdasarkan harga purata minyak mentah Tapis USD 80 setong.  


9. Selain daripada faktor global, nilai ringgit juga dipengaruhi oleh persekitaran domestik. Sebelum Julai 2015, salah satu daripada agensi penarafan antarabangsa iaitu Fitch Ratings meramalkan akan memberi penarafan negatif terhadap ekonomi negara. Pada ketika itu kadar pertukaran Ringgit Malaysia berlegar pada kedudukan RM 3.76 sen. 


10. Setelah Fitch Ratings mengumumkan semakan menaik unjuran Malaysia dari negatif kepada stabil pada 1 Julai 2015, ia telah memberikan rangsangan kepada Ringgit Malaysia iaitu pada kadar RM 3.73 sen. Namun, kelegaan tersebut tidak berpanjangan kerana himpitan skandal kewangan syarikat ‘hutang’ 1MDB yang memungkinkan pertambahan liabiliti luar jangka negara. 


11. Selain daripada kalkulasi kuantitatif (ringgit dan sen) ekonomi, nilai ringgit juga ditentukan oleh keyakinan pelabur khususnya daripada luar terhadap kestabilan ekonomi politik negara. Kegoyahan terhadap integriti Perdana Menteri dalam isu 1MDB serta beberapa pengurusan agensi kerajaan seperti Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad dan Felda Global Ventures juga mengheret kejatuhan nilai tersebut.


12. Isu integriti, transparensi, urus tadbir dan kawal selia yang menyumbang kepada krisis keyakinan pelabur terhadap negara. Ia menjadi liabiliti terhadap ekonomi negara dan seharusnya diselesaikan lebih utama. Maka sudah pasti isu-isu yang merantai pergerakan ringgit akhirnya membebankan pengguna akhir iaitu rakyat Malaysia sendiri. 


13. Setelah berlaku ketidaktentuan pasaran kewangan dan untuk memulihkan akaun, kerajaan secara simplistik terus mengimplementasikan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebanyak 6 peratus pada 1 April yang lalu bagi menampung penurunan pendapatan disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dan ringgit. Ia telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos sara hidup harian. Inflasi telah meningkat pada kadar purata 2.0% pada bulan April dan Mei. 


14. Pelarasan harga runcit bahan api  petrol dan diesel pada bulan Jun serta Julai baru-baru ini juga menyumbang kepada bebanan kos sara hidup rakyat. Ini tidak termasuk beberapa peningkatan yang sedang menunggu untuk diumumkan seperti kenaikan kadar tol, kadar tambang tren dan juga tarif elektrik. Kesemua pakej kenaikan ini akan memberi kesan gandaan kepada harga barang dan perkhidmatan yang lain. 


15. Konklusinya, kejatuhan nilai Ringgit Malaysia boleh dipulihkan bermula dengan pengubahsuaian struktur ekonomi seperti pengurangan terhadap pergantungan import terutamanya sektor pertanian, pelaksanaan berperingkat sandaran kepada dinar emas dan pemulihan terhadap keyakinan pelabur. Selain itu, rakyat mesti terus difahamkan terhadap kepentingan sebuah kerajaan yang bersih, berkebajikan dan memenuhi tuntutan prinsip  Islam.


Sekian.

0 comments: