Bahagian 1:
Kepelbagaian jemaah atau organisasi dalam ‘amal Islami hampir menjadi gejala di seluruh dunia. Ia ada di seluruh negara. Contoh di Lubnan, ada lebih 16 gerakan Islam di sana yang rasmi atau tidak rasmi sedangkan rakyatnya hanyalah sekitar 1.5 juta sahaja. Ada dikalangan mereka yang terlibat dengan penubuhan jemaah baru ini menganggap berbilang jemaah adalah satu perkara yang sihat, konon boleh menarik lebih ramai orang bagi melakukan kerja. Sedangkan sepatutnya penjenisan kerja dan keberkesanannya itu lebih utama.
Alasan-Alasan Dari Para Pendokong Berbilang Jemaah :
Alasan-alasan yang biasa dan sengaja diberikan bagi menubuhkan jemaah lain antaranya ialah:
1- Pertubuhan yang ada atau terdahulu telah tersasar dari dasar Islam dan tidak mampu untuk mencapai matlamatnya.
2- Jemaah yang lama hanya menitikberatkan satu sudut sahaja.
3- Bagi membebaskan ahli daripada kekeliruan.
4- Banyak persoalan besar yang tidak terjawab.
5- Jemaah yang asal mempunyai banyak kesalahan.
Sekarang Apakah Natijahnya?
Akan tetapi hakikatnya, adakah semua itu benar dan adakah jemaah baru itu terlepas dari semua pertuduhan yang dilemparkan kepada jemaah lama itu? Satu kenyataan pahit yang telah kita saksikan ialah kesemua alasan-alasan yang telah diberikan, telah runtuh serentak selepas setiap kali lahirnya jemaah baru. Sebenarnya, gerakan Islam akan menghadapi perkara yang sama kerana Islam itulah objektif, maka masalah atau halangan yang sama akan dihadapi oleh setiap pekerja jemaah Islam. Keaiban yang dilihat pada orang lain, akan terpalit kepada jemaah baru pula. Memulakan idea bagi penubuhan jemaah Islam baru yang biasa dinamakan “gerakan pembetulan” itu adalah sebahagian kerja syaitan kerana syaitan berusah untuk memecahbelahkan umat Islam. Akhirnya pencapaian jemaah baru yang diwujudkan itu, kita dapati hasilnya tidak lebih dari pencapaian jemaah lama. Jika begitu, apa yang kita dapat dari berbilang jemaah ini?
Kesan-Kesan Dari Banyaknya Bilangan Jemaah Ke Atas Islam Dan Umatnya:
Kesan dari berbilang jemaah ini ke atas Islam dan umatnya ialah, memberi peluang kepada orang Islam untuk melarikan diri dari menjadi anggota mana-mana jemaah kerana bingung dengan banyak jemaah itu. Ianya juga boleh memecahkan kekuatan Islam itu sendiri. Akan memudahkan musuh melakukan kaedah pecah dan perintah keatas umat Islam. Timbul rasa sensitif dan fanatik yang tinggi dikalangan pengikut-pengikut pertubuhan itu. Ini sekaligus akan memudahkan permusuhan sesama Islam berbanding dengan bukan Islam. Kesemua kerja ini akan memundur dan melambatkan gerakan Islam untuk mencapai matlamatnya.
Kesan-Kesan Tinggalan Dari Banyaknya Jemaah:
Manakala kesan yang buruk dan bahaya ialah jemaah Islam akan menjadi cacat dari segi pemikirannya tentang konsep Islam. Antaranya akan melahirkan sifat individualistik dan ego menggantikan kerja secara berjemaah yang tersusun, menjadikan pemikiran lebih kedaerahan berbanding pemikiran universal, kesatuan dan pemusatan, melebihkan parti dari aqidah dan prinsip, selesa bekerja secara juz’iyyah dari kerja menyeluruh dan kesan paling menonjol, mereka tidak mahu mengambil i’tibar dari jemaah lain. Inilah yang selalu terjadi kepada gerakan yang baru dalam percubaan.
0 comments: