PAS TIDAK SAMA DENGAN WILAYATUL FAQEH


PAS TIDAK SAMA DENGAN WILAYATUL FAQEH

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


SERDANG : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Perlembagaan PAS tidak sama dengan Wilayatul Faqeh dalam Mazhab Syiah yang menjadi Perlembagaan kepada negara Iran.


Untuk itu serunya, orang yang menyamakan PAS dengan konsep tersebut perlu mendalami perbezaan sumber hukum Mazhab Sunni pegangan PAS berbanding sumber hukum konsep Wilayatul Faqeh dalam Mazhab Syiah.


“Kita catat dalam Perlembagaan PAS hukum tertinggi adalah al-Quran, Hadis, qiyas dan ijmak ulama. Dan bagi memelihara keteguhan perlembagaan ini, ditubuhkan Majlis Syura Ulama supaya semua perkara yang diputuskan PAS tidak bercanggah dengan hukum tertinggi (tersebut).


“Konsep ini tidak sama dengan Wilayatul Faqeh. Ada orang nak samakan kita dengan Wilayatul Faqeh. Ia pandangan Mazhab Syaih dan hukum tertinggi dalam Mazhab Syiah ialah al-Quran, Hadis dan pandangan Imam Ahli Bayt. Qiyas tidak ada, ijmak tidak ada, mereka menolak. Ini beza Perlembagaan PAS dengan perlembagaan negara Iran (iaitu) Wilayatul Faqeh.


“Perlu diketahui bahawa di sana ada konsep yang sama, ada konsep berbeza. Ada perkara yang sama antara kita dengan mazhab-mazhab lain, ada perkara yang berbeza. Dalam hal ini ada perkara yang perlu kita mengambil pengajaran, ada perkara yang perlu kita tolak. 


"Di sana ada asas yang kukuh yang kita menolak fahaman-fahaman lain. Yang dari Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah al-Quran, Hadis, qiyas dan ijmak ulama,” ujarnya pada Liqa’ Fikri PAS Pusat bertemakan “Perjuangan Islam Dalam Negara Demokrasi : Harapan dan Cabaran” di Seri Kembangan, di sini 13 Disember lalu.


Terdahulu dalam ucapannya itu, beliau menegaskan bahawa PAS membebaskan diri dari belengu penjajah yang telahpun meninggalkan Tanah Melayu dengan mengorak langkah sebagai sebuah Parti Islam iaitu meletakkan sumber hukum Islam sebagai rujukan tertinggi dalam Perlembagaan PAS.

0 comments: