KUALA KANGSAR: Pemuda PAS Perak telah memenuhi jemputan ke Majlis Berbuka Puasa bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar 4 Julai lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil badanbadan bukan kerajaan(NGO) serta pertubuhan, sektor korporat dan warga media dan para jemputan khas.
Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin telah mengetuai rombongan ke majlis tahunan tersebut dengan segak berpakaian baju melayu serta bersampin berlogo PAS yang menarik perhatian hadirin.
Dalam majlis tersebut, Pemuda PAS telah beramah mesra dengan para tetamu yang hadir di samping menjamah jamuan disediakan.
Majlis itu bermula dengan penyampaian zakat kepada penerima terpilih seterusnya berbuka puasa dan bertarawih bersama Tuanku.
Mohd Akmal ketika ditemui Harakah berkata, Pemuda PAS mengucapkan sembah terima kasih kepada pihak Istana yang terus memperkenan menjemput pihaknya ke majlis tersebut.
Menurutnya, program keraian itu adalah platform yang sangat baik dalam memperkenalkan imej parti Islam itu kepada semua pihak.
“Kami sangat berterima kasih kepada pihak Tuanku yang sudi menjemput kami untuk bersama-sama memeriahkan majlis pada hari ini.
“Pemuda PAS komited dalam meneruskan serta mengekalkan hubungan baik dengan pihak istana,” katanya.
Jelas Mohd Akmal, sambutan positif daripada pelbagai pihak adalah gambaran bahawa parti itu adalah satu entiti yang sangat penting kepada negara pada masa kini.
Selepas selesai majlis tersebut, para tetamu termasuklah Pemuda PAS berkesempatan beramah mesra serta bergambar dengan Sultan Perak sebagai tanda kenangan.
0 comments: