ROMBAKAN KABINET : LANGKAH MENYELAMAT INDIVIDU


DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA (DMPM)

ROMBAKAN KABINET : LANGKAH MENYELAMAT INDIVIDU

29 Julai 2015 / 13 Syawal 1436H


DMPM melihat rombakan kabinet yang diumumkan oleh PM, Datuk Seri Mohd Najib semalam dengan menggugurkan Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yasin adalah tindakan yang tidak popular untuk menyelamatkan diri beliau  daripada berbagai-bagai tuduhan terutamanya salahlaku pengurusan kewangan 1MDB.


Penamatan kontrak secara tergesa-gesa  Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara di saat  proses siasatan terhadap tahap ketelusan pelaburan terbesar dan kritikal 1MDB menunjukkan indikasi yang  jelas untuk melindungi suspek yang rakus meratah wang negara dan rakyat yang menanggung beban hutang RM42 Billion.


Perlantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri yang baru menyebabkan kekosongan jawatan Pengerusi PAC  menguatkan lagi andaian bahawa DS Mohd Najib dengan sengaja melengah-lengahkan laporan pengauditan 1MDB dan berusaha untuk menutup kemelut salahlaku pengurusan kewangan 1MDB.


DS Najib masih lagi gagal menjawab tuduhan maupun menyaman The Wall Street Journal yang melaporkan transaksi amat besar berjumlah RM2.6 billion  wang 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang dipercayai milik beliau.  Tuduhan yang amat berat ini ditambah dengan hutang 1MDB RM42billion sudah tentu memberi impak buruk kepada ekonomi negara dan merosakkan imej baik Malaysia di mata dunia.


YB Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah tokoh yang vokal dan berani mengkritik kepimpinan DS Najib menyangkut kemelut 1MDB sejak Mac 2015 lagi.  Beliau mendesak agar  menyegerakan pembentangan laporan interim 1MDB  yang dibuat oleh Jawatankuasa Akaun Awam Negara (PAC) dan menggesa agar tidak menganggu  anggota penyiasat yang dilantik namun ia dipandang sepi oleh DS Najib.


Rakyat melihat usaha DS Najib menyusun semula kabinet dapat melenyapkan suara-suara yang mengkritik kepimpinan beliau namun ia tetap menjadi persoalan besar yang cuba dilindungi yang akhirnya akan mencetuskan kebangkitan rakyat.


DS Najib telah bersikap autokratik dengan mengambil tindakan terhadap The Edge dan Sarawak Report serta mencantas semua pihak yang mengkritik skandal 1MDB. Bagi mereka yang mengampu beliau, akan diberikan kedudukan dalam penyusunan semula kabinet semalam. Amat jelas DS Najib selaku Presiden Umno tidak berhasrat untuk menyelamat negara tetapi ingin menyelamatkan dirinya dan golongan yang berkait kepentingan dengannya.  


Rakyat sudah tidak terpedaya dengan wayang rombakan kabinet untuk mengalihkan perhatian dari isu 1MDB. Ianya sekadar untuk melupuskan pengkritik 1MDB sahaja  dan tidak lebih dari itu. Perlantikan DS Zahid tidak akan memberi kemantapan dan menambah nilai kabinet DS Najib, tetapi ia lebih kepada menjadikan DS Zahid sebagai panglima untuk mengukuhkan kedudukan DS Najib. DS Zahid diharap menjaga DS Najib bukan kerajaan. Itupun yang dilakukan Zahid selama berada dalam kabinet selama ini.


DS Najib dilihat  menjaga survival politik melebihi dari keutamaan dan kepentingan negara. Beliau menuruti  jejak langkah dan teknik-teknik yang ditinggalkan oleh bekas mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membersihkan saingan-saingan politik dalaman parti.


Namun DS Najib perlu ingat, perbezaan ketara zaman Dr Mahathir dan zaman sekarang ialah wujudnya internet.  Maklumat hari ini bergerak dengan dahsyat, manakala di zaman Dr Mahathir maklumat dapat dikawal kerana rakyat terpaksa bergantung pada TV dan suratkhabar cetak sahaja. Apapun, PAS akan meneruskan perjuangan melawan Umno dan kezalimannya terhadap rakyat.


Persoalan lain disebalik rombakan kabinet itu yang membelenggu pemikiran rakyat, apakah tindakan Muhyiddin seterusnya. Apakah bekas TPM itu hanya mendiamkan diri dan berihat dari politik. Apakah dia akan bersekongkol dengan mereka yang senasib dengannya.


Sesungguhnya tiada harapan lagi untuk ahli-ahli Umno untuk mengharapkan kepimpinan yang jujur, bersih dan telus dari Presiden mereka yang ada pada hari ini. Sudah tiba masanya ahli-ahli dan penyokong Umno beralih arah kepada bahtera penyelamat sebenar yang berpaksikan kuasa politik Islam PAS. Melalui wadah PAS kita membina Malaysia baru yang bebas dari korupsi, mempunyai integriti yang sebenar, berkebajikan dan bersama dengan keadilan sistem Islam.



Sekian, terimakasih.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN.


WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPM)
29 Julai 2015 / 13 Syawal 1436H

0 comments: