Saya Bercakap Berdasarkan Konsepsi – Dr Haron Din

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Dato’ Dr Haron Din, menjelaskan kenyataan yang dikeluarkannya berikutan isu tuduhan mengenai 1MDB yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian baru-baru ini adalah berdasarkan konsepsi.

Katanya wartawan bertanyakan pandangan beliau mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh The Wall Street Journal (WSJ), lalu menyatakan bahawa Islam mengajar umat bahawa perlu mendepani perkara-perkara besar seperti tuduhan terhadap seseorang.

“Islam menyuruh kita mencari, menunggu alasan bukti nyata. Barulah kita boleh menyatakan bahawa tuduhan itu benar.

“Selagi tidak mempunyai bukti nyata sebagaimana tuduhan kepada diri sendiri, kawan atau musuh maka yang dituduh itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya,” katanya ketika dihubungi Harakah, 7 Julai lalu.

Atas konsepsi sedemikian beliau mempersoalkan bahawasanya adakah munasabah seseorang itu mencuri duit awam dan memasukkan ke dalam akaun peribadinya.

“Yang kita dengar selama ini, kalau songlap duit, orang itu akan masukkan ke akaun proksi ataupun akaun rahsia. Jadi itu biasanya. Tapi agak tidak masuk akal kalau masuk ke akaun peribadi, bukan maknanya mustahil.

“Tapi, saya bercakap logik biasanya orang tidak akan berbuat demikian. Pasal itulah saya telah memberi komen yang saya tahu akan dapat sambutan pro dan kontra sampai hari ini,” katanya.

Laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita pada 5 Julai lalu yang bertajuk “Haron Din pertahan Najib, tuduhan WSJ tidak logik” telah menjelaskan bahawa PAS hari ini dilihat mempertahankan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak daripada skandal terkini susulan pendedahan (WSJ) mengenai alir an wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi beliau.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkannya itu tidak langsung menunjukkan yang dia menyokong mana-mana pihak yang terlibat sebaliknya apa yang diperkatakannya adalah hanyalah berdasarkan konsepsinya.

“Bukan hanya Perdana Menteri kerana manusia mana pun bila bercakap apa pun atau orang tuduh apa pun, konsepsinya ialah sama.

“Tidak kira sesiapa pun. Itu yang saya cakap, kita ni kawan kita apa pun kalau timbul tuduhan begitu, apakah kita rasa logik? Tuduhan keluar saja kita terus hukum yang orang itu bersalah,” tambahnya lagi.

Ketika ditanya andai benar kenyataan yang dikeluarkan oleh WSJ masih belum sahih, wajarkah Perdana Menteri Malaysia itu mengisytiharkan hartanya?

“Saya nak sebut bahawa tidak ada niat langsung untuk saya berkata supaya jangan siasat Dato’ Seri Najib, tapi saya juga mengatakan bahawa setiap orang yang dituduh itu mesti disiasat.

“Siasat mesti. Adakan saluran penyiasatan penghebohan buktinya, seseorang itu mesti mengisytiharkan hartanya dalam suasana kegawatan tuduhan-tuduhan yang seperti ini,” katanya.

Maka katanya mungkin pengisytiharan harta adalah satu daripada keperluan dan orang akan boleh melihat antara yang diisytiharkan dengan yang sebenarnya merupakan miliknya.

0 comments: