DI negara kita, hanya ada lima sahaja Penyedia Khidmat Internet atau Internet Service Provider (ISP). Bermula dengan perkhidmatan Jaring yang pada mulanya disediakan oleh MIMOS Berhad, kemudian pada 1 November 1996, Telekom Malaysia Berhad telah memulakan perkhidmatan TMNet, sebagai Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) kedua Malaysia setelah mendapat lessen daripada pihak kerajaan. Sehingga akhir 2000, di antara syarikat-syarikat lain yang turut menyediakan perkhidmatan ISP di Malaysia ialah Maxis Communications Berhad, DiGi Telecommunications Sdn Bhd. dan Time dotcom Berhad.
Apabila seorang sahabat memberitahu saya dia terbaca notis pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam iklan akhbar-akhbar tempatan memberitahu orang ramai bahawa perkhidmatan Jaring Communications Sdn Bhd (JARING) akan ditamatkan mulai 22hb Ogos 2015 setelah notis makluman diberikan sejak 23hb April, 2015 yang lepas.
Sekadar satu memori, sedikit kenangan silam bersama Dr Mohamad Awang Lah bermula. Apabila saya diminta pimpinan kerajaan Negeri Terengganu ketika itu balik membantu memajukan sektor ICT di Negeri Terengganu, mahu tidak mahu saya ‘terpaksa’ meninggalkan TM dan pulang ke Terengganu dengan mengambil alih pengurusan sebuah syarikat kerajaan negeri untuk dijadikan ‘vehicle’ bagi merealisasi usaha menjadikan tema Terengganu Membangun Untuk Islam tidak ketinggalan dalam aspek ICT.
Ketika saya menerajui TOP IT Industries di awal abad ke-21, saya cuba menjadikan Dr Tengku Azman Sharifadeen (MIMOS) dan Dr Mohamad Awang Lah (Jaring) sebagai ‘ikon’ dalam membangunkan satu agenda. Mimos (Dr Tengku Azman) dan Jaring (Dr Mohamad Awang Lah) serta beberapa pihak lagi dijemput untuk berkongsi pengalaman dan bersama membantu membangunkan prasarana infrastruktur IT di Terengganu.
Pada masa itu Kerajaan Negeri Terengganu ketika itu merancangkan menjadikan ESCOMM (Expo-Seminar on Communication & Multimedia) sebagai pencetus awal kepada usaha membangunkan dan menjadikan Terengganu sebagai ‘hub’ dan ‘gateway’ Estern Corridor Multimedia.
Telah lebih sedekad ia berlalu. Jadi, saya tak pasti sama ada Yahaya Ali yang pernah menjadi exco kerajaan Terengganu dan bertanggunggjawab menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Komunikasi dan Kemudahan Awam dan juga Pengerusi TOP IT Industries serta rakan-rakan yang dijemput menganggotai Terengganu ‘State IT Agenda (SITA)’ ketika itu masih ingat atau tidak lagi rangka-rangka kasar yang sedang disiapkan ketika itu.
Kalau tidak silap ingatan saya, ESCOMM cuma sempat diadakan dua kali ESCOMM 2001 dan ESCOM 2003 sahaja dengan Dr Tengku Azman Sharifadeen dan Dr Mohamad Awang Lah menjadi ‘Key Speaker’ pada dua progam ICT terbesar di Pantai Timur ketika itu. Blue print ESCOMM yang sedang cuba disedia dan disiapkan dalam tempoh dua tahun itu akhirnya terbengkalai apabila PAS tewas mengejut pada 2014.
Cita-cita dan hasrat awal Kerajaan Terengganu ketika itu untuk menjadikan ESCOMM seperti mini ‘Multimedia SuperCorridor (MSC)’ bagi dilancarkan pada ESCOMM 2015 tidak menjadi realiti kerana tumbangnya kerajaan PAS di Terengganu pada 2014. Setakat ini dulu hal ini sebab itu bukan fokus pada penulisan kali ini.
Berbalik kepada Jaring yang menjadi fokus kepada penulisan kolum Gerbang IT kali ini. Tidak dapat dinafikan saya mempunyai ramai rakan-rakan di Jaring, malah ada sesetengahnya telah menjadi sahabat baik saya sekian lama. Tetapi, dalam ramai-ramai kenalan tersebut saya teringat kepada Dr Mohamad Awang Lah, pengasas dan pelopor kepada pembangunan internet di Malaysia dan Jaring itu sendiri bila MCMC mengumumkan penamatan ISP JARING ini.
Pada pengamatan saya, beliau begitu berdedikasi memperlopori dan secara ‘beristiqamah hingga kejayaan’ membangunkan rangkaian internet di Malaysia sejak awal dan diberikan jolokan sebagai Bapa Internet Malaysia. Saya tidaklah mengenali beliau secara peribadi kerana tidak pernah bertugas dengannya walaupun saya hampir menyertai Jaring selepas tidak lagi berkhidmat dengan TM (dulunya dipanggil Telekom Malaysia). Ada beberapa orang rakan-rakan TM yang menyertai Jaring. Melalui sahabat dan pembacaan, saya mula mengenali dan mengkagumi beliau dari jauh.
Jaring dan Bapa Internet Malaysia
Jaring Communications Sdn Bhd merupakan salah satu syarikat yang popular dalam kalangan pengguna internet tempatan, iaitu ia telah bermula hampir 30 tahun yang lepas, dan menjadi salah satu syarikat penyedia internet paling awal di Malaysia.
Mengikut beberapa penulisan sebelum ini didapati Perkembangan Internet di Malaysia bermula pada tahun 1983 iaitu Dr. Mohamed Awang-Lah memulakan idea untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia menerusi Internet di makmal Universiti Malaya. Pada ketika itu, beliau merupakan ahli akademik Fakulti Elektrikal/Elektronik di Universiti Malaya. Dr. Mohamed Awang-Lah telah membuat hubungan Internet yang sama di akhir tahun 1984 ketika beliau ditempatkan di MIMOS (Malaysian Institute of Microelectronic System).
Universiti-universiti tempatan merupakan pengguna RangKoM pada peringkat awal. Ia terus berkembang dengan sokongan dan perhatian daripada pihak swasta. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya.
Jaring telah dibangunkan pada tahun 1986 dengan nama RangKoM. Pada tahun 1989, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan oleh Dr. Mohamed Awang-Lah.
Berdasarkan kepada pengalaman ini, program JARING (Joint Advanced Integrated Networking) telah dirumuskan, dan ia dilancarkan pada tahun 1991 yang bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Dilaporkan, lebih 200 pelanggan dalam negara menggunakan kemudahan ini pada akhir tahun 1992.
Pada bulan Jun 1994, Jaring bergerak dengan lebih cemerlang lagi, keupayaan Jaring dipertingkatkan kepada 1.5Mbps yang merupakan 24 kali ganda lebih pantas berbanding dengan talian 64Kbps. Rangkaian Jaring turut boleh dimanfaatkan oleh pengguna dari Singapura, Brunei, dan Thailand.
Tahun 1995 juga menyaksikan pemasangan sambungan kedua ke Internet antarabangsa. Melalui Rancangan Malaysia Ke-9, kerajaan telah melaksanakan projek Superstruktur Maklumat Negara yang menggunakan Jaring sebagai prasarana tulang belakang. Pada 1999, JARING mula menawarkan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang meliputi lebih 150 negara dengan jumlah keahlian Jaring meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.
Selepas itu, ia telah dilancarkan kepada umum dengan nama Jaring, dan diletakkan sebagai anak syarikat MIMOS pada tahun 2002. Penubuhan MIMOS oleh kerajaan menyediakan peluang kepada warga Malaysia yang cerdik IT untuk menghasilkan hubungan Internet yang lebih baik.
Dr Mohamed yang merupakan pengasas Jaring telah melepaskan jawatannya selaku CEO Jaring pada tahun 2011, dan digantikan oleh Nik Abdul Aziz Nik Yaacob sebagai CEO Jaring dan kemudiannya Utusan Printcorp telah membeli Jaring dengan nilai RM100 juta pada Ogos 2014. Sejak itu syarikat berada dalam keadaan terumbang-ambing, malah dilaporkan pekerja Jaring mula tidak menerima gaji dan caruman EPF dan lain dalam keadaan yang tidak menentu.
Kekecewaan Dr Mohamad Awang Lah atau dipanggil ‘Dr MAL’ kepada kerajaan khususnya Menteri Kewangan DiPerbadankan (MKD) berhubung hal yang berlaku pada jaring ini dapat dilihat kepada entri FB beliau pada April, 24 sehari selepas notis makluman pada 23 April menyebut kekecewaan beliau yang amat jelas “Episod yang menyedihkan ini bermula MKD menjual Jaring pada awal 2014 kepada satu pihak yang berminat dengan wang hasil jualan dan tidak berminat untuk menjaga kepentingan Jaring. Khabarnya bukan Jaring sahaja yang menjadi mangsa. Kita agak kecewa kerana tindakan segera untuk menyekatnya tidak dilakukan pada hal agensi kerajaan tertentu telah tahu keadaannya. Kita kecewa kerana pihak MKD tidak berhati-hati dalam memilih pembeli Jaring”
Saya pun tidak faham kenapa kerajaan tidak bertindak menyelamatkan Jaring. Kalau kerajaan tidak mempunyai duit untuk ‘bailout’, kerajaan mungkin boleh mengarahkan penggabungan Jaring dengan TMNet atau mana-mana ISP lain yang ada sebagaimana penggabungan yang dilakukan oleh bank-bank sebelum ini.
Memang sepatutnya Dr MAL bersikap begitu kerana entiti yang memperkenalkan perkhidmatan Internet di Malaysia dibiarkan sedemikian rupa setelah dia telah membidani kelahiran Jaring dan membesarkannya dengan ‘penuh kasih sayang’ tiba-tiba bila beliau ‘dipaksa’ melihat Jaring yang pernah menjadi ‘anak emas’ kerajaan satu ketika menerima nasib malang ditamatkan riwayatnya sebegitu rupa setelah beliau tidak lagi berada di situ.
Kepada Dr MAL dan rakan-rakan yang telah membangunkan Jaring harap bersabar. Mungkin ini sudah ada dalam ketentuan Allah sejak azali lagi.
Penulis adalah Pengarah Jabatan IT PAS Pusat
0 comments: