PAS Adakan Kongres Rakyat Pada 5 Sept 2015

1. Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang bermesyuarat hari ini di KUIZM Taman Melewar telah menegaskan bahawa kita tetap Istiqamah menuntut pemulihan demokrasi, sistem pilihanraya yang adil serta menentang sehebat-hebatnya korupsi yang dilakukan samaada oleh individu pemimpin mahupun dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.


2. Tragedi ekonomi dan politik negara, melibatkan isu hutang 1MDB yang menjengah RM42 bilion, transaksi wang sejumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri dan campurtangan politik serta tekanan kepada badan yang bertanggungjawab dalam penyiasatan 1MDB seperti SPRM, PAC dan lainnya dilihat semakin parah.

3. Insyaallah, PAS akan turut menggerakkan kebangkitan rakyat dan memimpin tindakan agar ia bergerak lancar dan terancang kearah menuntut satu perubahan total pada sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.


4. Sehubungan itu, satu Kongres Rakyat akan diadakan dengan mengumpul semua pihak individu, ngo, parti politik dan seluruh warga prihatin termasuk pihak mahasiswa dan aktivis sosial kearah menghasilkan resolusi dan pelan tindakan rakyat ke arah satu gerakan kebangkitan yang berkesan, membina negara yang lebih selamat dan sejahtera dari segala macam rupa korupsi dan wajah penyelewengan kuasa.


5. Cadangan awal Kongres Rakyat ini akan diadakan pada 5 September 2015 akan datang di ibukota. Maklumat lanjut secara detail akan diumumkan sedikit masa lagi. Nantikan kehadhirannya Insyaallah demi sebuah perubahan ke arah negara yang sejahtera dan selamat dari penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta kemungkaran politik dan ekonomi.


6. Kongres ini akan menjadi medan untuk mencari dan merumus mekanisme terbaik serta berkesan mewakili semua pihak dan peringkat pandangan rakyat yang akan dicanai cerna melalui peserta - peserta kongres rakyat kelak. Kita mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 50 ngo tidak termasuk pihak - pihak lain seperti tokoh-tokoh individu dan parti politik yang turut akan diundang untuk menjayakan Kongres Rakyat ini.


Sekian.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.

0 comments: