BANDAR KUCHING: PAS akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dengan wajah senyuman untuk rakyat negeri ini dan datang sebagai penyelamat untuk negeri Sarawak, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Katanya, rakyat Sarawak mesti dipimpin untuk mengetahui hak mereka dan penyelesaiannya dari terus dicengkam PBB yang telah memerintah Sarawak sejak sekian lama.
“Hak-hak rakyat Sarawak tidak diberi, mereka buntu untuk mencari penyelesaian. Mudahnya para pemerintah kaya raya, hasil daripada negeri Sarawak, mereka yang kaya ini memancing undi dengan begitu murah. Akhir sekali rakyat tidak dapat melihat hak mereka yang sebenar.
“Insya-Allah dengan kehadiran PAS, kita akan buka dan celikkan hati nurani, mata rakyat untuk melihat kelebihan-kelebihan yang mereka mesti kecapi sebagai rakyat Sarawak. Ini yang kita nak bawa mesej dalam pilihan raya kali ini,” tegasnya ketika berucap merasmikan Himpunan Jentera Pemuda PAS Negeri Sarawak di Hotel Grand Continental, di sini 8 Ogos lalu.
Menurut beliau, isu-isu nasional mungkin tidak sampai kemuncaknya memandangkan PRN ini diadakan berasingan, tetapi keputusan PRN itu menjadi muqaddimah penting kepada parti-parti politik bertanding mencetuskan kesan pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Oleh itu, beliau menyeru para Pemuda PAS sebagai jentera pilihan raya agar memahami matlamat perjuangan PAS, kemuliaan Islam dan gerak kerja penyertaan dalam pilihan raya.
“Memasuki pilihan raya ini adalah kemuncak usaha, bukan satu-satunya usaha. Ada orang tunggu pilihan raya baru nak berusaha. Pilihan raya yang kita buat adalah jihad, dakwah di jalan Allah Taala, kita berdakwah hari-hari, sampaikan agama dan kita ada puncaknya, iaitu puncak kita ialah memasuki pilihanraya.
“Yang kedua hendaklah jentera ini memahami selok-belok ilmu pilihan raya. Tak dapat tidak, dalam dakwah kena ada ilmu dakwah. Dalam hukum hakam kalau kita nak jadi mufti, ada selok-belok bagaimana nak menghukum, nak keluarkan fatwa.
“Begitu juga kalau kita nak jadi tentera, jentera di medan pilihan raya kita tak boleh masuk dengan begitu mudah, sehinggalah kita mengenali selok-belok ilmu pilihan raya. Supaya kita dapat mengambil peluang yang banyak, bagaimana untuk memancing, untuk mendapatkan undi.
“Susah untuk mendapat, memikat hati setiap pengundi, sehinggalah mereka betul-betul yakin, bahawa pilihan mereka adalah pilihan yang tepat. kita tahu kita akan lawan dengan parti pemerintah PBB, maknanya lawan dengan gergasi,” ujarnya menyuntik motivasi.
Secara analogi beliau berkata, PAS umpama ikan bilis dan parti pemerintah adalah jerung di ana pengundi cenderung memilih jerung.
Tetapi katanya, sebagai jentera perlu yakinkan pengundi bahawa bilis lebih sedap dan PAS akan memberi kesan penting kepada politik Sarawak.
Jelasnya, semua ilmu-ilmu pilihan raya itu perlu dikaji dan difahami seterusnya menggerakkan kerja-kerja pilihan raya.
0 comments: