Tinta Penerangan. 12
PIHAK Pencetus Gerak Kerja Penerangan ke Tahap Maksimum.
Wawancara Ekslusif : Harakah bersama Nasrudin bin Hassan Ketua Penerangan PAS Pusat.
🔴 Ahli Baru
1. HARAKAH : Boleh ustaz jelaskan mengenai fenomena kemasukan ahli baru ke dalam pas hari ni di beberapa penganjuran pihak 1.0 hingga 4.0
NASRUDIN : Alhamdulillah, saban hari kita menerima permohonan ahli baru yang mahu menyertai PAS. Lajnah Penerangan PAS Pusat menjadikan pentas Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) sebagai medan mengisytihar dan menampilkan mereka yang mohon menyertai PAS di setiap negeri. Sekaligus ia menjadi motivasi kepada negeri, kawasan dan cawangan untuk lebih gigih bekerja, berjuang dan berdakwah mengajak semua orang yang setuju dengan dasar, prinsip dan hala tuju perjuangan PAS untuk menyertai PAS sebagai ahli.
PIHAK 1.0 kita terima seramai 800 permohonan menjadi ahli PAS di Terengganu.
PIHAK 3.0 kita terima seramai 400 permohonan menjadi ahli PAS di Pahang
PIHAK 4.0 kita terima seramai 100 permohonan menjadi ahli PAS di Wilayah Persekutuan.
Alhamdulillah, selepas muktamar yang lalu sejak Jun hingga kini, PAS Pusat telah meluluskan kemasukan ahli baru sekitar 8 ribu lebih.
2. HARAKAH : Sejauhmana perjalanan PIHAK setakat ini dengan sambutannya.
NASRUDIN : Alhamdulillah. Sambutan yang sangat memberangsangkan. Melepasi sasaran yang kita anggarkan. PIHAK 1.0 di Dewan Tok Guru Rusila Terengganu saya jangka melebihi 10 ribu kehadiran. Sementara PIHAK 2.0 di Johor pula saya anggar sekitar 2 ribu orang kehadiran, PIHAK 3.0 di Kuantan Pahang hampir 5 ribu lebih kehadiran dan PIHAK 4.0 di Wilayah juga saya jangka sekitar 5 ribu orang yang hadir. Mungkin jangkaan saya tidak tepat kerana kita tidak mengira satu persatu kehadhiran tetapi angkanya tidak beza jauh berdasarkan keluasan tempat berhimpun dan juga kebiasaan hadir berbanding jumlah derma yang dipungut pada malam itu untuk sumbangan mereka buat perjuangan PAS.
🔴 Arah Tuju PIHAK
3. HARAKAH : Teras penganjuran PIHAK ini Ke arah mana sebenarnya ?
NASRUDIN : PIHAK adalah akronim kepada Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan. Objektifnya ialah untuk :
1. Memotivasikan ahli dan orang ramai agar terus Istiqamah bersama perjuangan Islam yang disokong oleh PAS.
2. Membekalkan maklumat yang benar dan menjawab kekeliruan yang timbul ekoran fitnah di media sosial dan juga spining yang dilakukan oleh sebahagian media cetak atau online.
3. Memugar semangat juang ahli dan sekaligus menyemarakkan syiar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS kepada kepada masyarakat umum.
4. Mengulas isu semasa yang timbul dan menggerakkan kesedaran masyarakat awam terhadap amanah perjuangan membangunkan negara. Menegakkannkebenaran dan menentang kebathilan.
5. Ia adalah roadshow pimpinan PAS untuk bertemu dengan pimpinan di peringkat negeri, kawasan dan cawangan serta menemui masyarakat awam melalui jadual roadshow PIHAK ini.
4 . HARAKAH : Bagaimana sambutan orang bukan Islam kepada PIHAK ?
NASRUDIN : Ada sambutan dan penglibatan mereka juga agak baik kerana kita juga menurunkan pimpinan non muslim dari Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk turut menyampaikan ceramah memberi kefahaman kepada umum. Cuma kehadiran mereka tidak lah seramai kehadhiran masyarakat melayu.
🔴 Habitat Perjuangan Islam
5. HARAKAH : Nampaknya akhir-akhir ini pimpinan UMNO termasuk Perdana Menteri Dato' Najib dan Raja Nong Chik memuji Pas bagai nak rak. Adakah PAS terpengaruh degan pujian itu?
NASRUDIN : PAS telah masak dengan pujian dan kejian. Itu biasa bagi PAS. Halatuju perjuangan kita bukan ditentukan atau terpengaruh oleh pujian pihak lain. Demikian juga hala tuju perjuangan kita tidak terkesan dengan maki hamun yang berhenti kepada PAS dan kepimpinannya. Kerana ini adalah sunnah perjuangan. Ini adalah habitat perjuangan Islam. Ujian getir adalah cabaran demikian juga pujian adalah cabaran.
Apa yang penting tindakan kita, ucapan kita dan juga segala gerakan yang kita lakukan adalah menepati syariat dan matlamat serta objektif perjuangan Islam yang ingin kita capai. Orang puji atau orang maki , kita memandu perjuangan ini di jalan yang betul dengan mematuhi segala peraturan dan arahan yang telah ditetapkan tanpa sedikitpun tidak kembang hidung dengan pujian dan masam musa dengan cacian.
6. HARAKAH : Dalam program PIHAK isu baiah juga diperkatakan dan ada ulama bukan PAS turut ulas isu ini. Ini akan timbul kekeliruan ahli. Jadi apa saranan ustaz .
NASRUDIN : Isu baiah ini timbul melalui soalan dalam dialog Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di sebelah siang hari nya. Sebelah malam dalam Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) , pimpinan mengambil sedikit ruang bagi menjelaskan isu ini dan menerangkn betul duduknya perkara. Agar ahli khasnya dan orang ramai amnya tidak mengambil maklumat dan membentuk persepsi melalui ulasan dan resupon media semata - mata.
Alhamdulillah, sehingga kini kita berjaya menyampaikan penerangan dengan baik mengenai isu ini. Saranan saya kepada semua agar mengambil jawapan berkait dengan isu dalaman parti seperti ini dari pimpinan PAS sendiri bukan dicedok dari pelbagai pihak yang mungkin tidak mengetahui kedudukan sebenar isu ini.
🔴 Kempen Beli Harakah & Tambah Ahli PAS
7. HARAKAH : Berapa siri lagi program puncak akan diadakan ? Apakah akan ada program besar besaran selepas ini?
NASRUDIN : Ya , kami dari Lajnah Penerangan PAS Pusat akan terus pro aktif melancarkan gerakan penerangan ke seluruh negara dengan dibantu oleh seluruh jentera penerangan dari dewan - dewan termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS dan juga Badan Perhubungan PAS Negeri.
🎾 Tahap 1 : Kami akan selesaikan dulu roadshow Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan ke seluruh negara dan bakal berakhir pada 3 Oktober depan di Kelantan dan Sarawak.
🎾 Tahap 2 : Kami akan mengada satu himpunan khas jentera penerangan seluruh negara untuk mengemaskini tindakan dan getakkerja serta menurunkan peraturan dan arahan bertindak.
🔴 Penerangan Pemuda ke 100 Kawasan
🎾 Tahap 3 : Kami akan bekerja sama dengan semua dewan dan perhubungan negeri untuk menggerak aktifkan majlis penerangan umum. Sebagai contoh dan saya juga ucap tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia yang telah menggerakkan penerangan ke 100 kawasan pemuda seluruh negara dengan nama Wacana Kemerdekaan bagi melonjak momentum kebangkitan rakyat bersama perjuangan ini.
🔴 Ijtimak PRN Sarawak & H60K
🎾 Tahap 4 : Satu himpunan besar sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum termasuk pilihanraya negeri Sarawak kelak pada 17 Oktober 2015. Himpunan ini dinamakan sebagai H60K iaitu himpunan yang bakal menghimpunkan 60 ribu jentera parti dari seluruh negara. Himpunan ini akan dianjurkan secara bersama oleh keempat-empat dewan iaitu Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong.
Dalam masa yang sama , kami tidak sahaja menumpukan kepada himpunan sedemikian tetapi juga menyediakan bahan - bahan penerangan, kempen membeli, membaca dan memberi Harakah, kempen penambahan ahli PAS dan menjawab pelbagai isu semasa.
Jabatan Penerangan PAS Malaysia juga telah diwujudkan untuk membantu Lajnah Penerangan PAS Pusat menjalankan gerakkerja penerangan ini. Saya harap semua pihak khasnya jentera penerangan di semua peringkat parti dapat menggerakkan majlis - majlis penerangan samaada dalaman atau luaran, kecil-kecilan atau besar-besar untuk menghantar maklumat yang betul dan tepat kepada ahli dan masyarakat.
Sekian.
0 comments: