Dekati al-Quran rahsia Roslan

TUMPAT – Sentiasa membaca dan memberi galakan kepada anak-anak untuk menghafal al-Quran merupakan rahsia di sebalik kejayaan keluarga Wan Roslan Wan Hamat, 49, yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keluarga Mawaddah peringkat Dun Pasir Pekan.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan yang dilahirkan di Pasir Puteh itu mengakui, membaca al-Quran menjadi amalan keluarganya sejak anak-anak masih dalam kandungan isterinya, Wan Norihan Wan Ab Rahman, 47.
"Surah Maryam, Yusuf dan Lokman menjadi amalan ketika mengandungkan zuriat kami. Makan bersama juga jadi amalan kami sekeluarga.. walau sesibuk mana, kami akan luang masa untuk makan bersama dengan anak-anak,” katanya.

Hasil perkahwinan Wan Roslan dengan Wan Norihan, yang merupakan seorang guru, dikurniakan seramai 10 anak, empat daripadanya menuntut di universiti, manakala yang lain di sekolah menengah dan rendah.

Anak sulungnya, Wan Nurmawaddah dianugerahkan Pelajar Mithali Yayasan Islam Kelantan 2011 apabila mendapat 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan kini menuntut di Universiti Malaya.

Wan Nurmawaddah juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Pelajar Maal Hijrah 2011.

Wan Nurbasyirah pula dianugerahkan Tahfiz Kelantan ketika menuntut di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah dan ditawarkan ke Universiti al-Azhar.

Manakala, Wan Muhammad Rafiq yang merupakan pelajar tingkatan lima Maahad Tahfiz Wal Qiraat, Pulau Chondong, mendapat tempat kelima pertandingan hafazan 20 juzuk peringkat antarabangsa di Mesir.

Menurut Wan Roslan yang merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Sains Politik di Universiti Malaya, beliau sendiri tidak menjangkakan menerima anugerah itu.

Penyampaian anugerah disempurnakan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zubaidah Abd Hamid. - SINAR HARIAN 9 SEPT 2015

0 comments: