JEREBU : APA TINDAKAN SETERUSNYA?


Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

JEREBU : APA TINDAKAN SETERUSNYA?

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu usaha menangani masalah jerebu tidak terhad dalam kerangka diplomatik dan penggubalan polisi baru sebaliknya serius ke arah penguatkuasaan undang-undang dan hukuman tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat.

2. Kelestarian alam sekitar tidak harus dicabul sehingga memudaratkan rakyat. Cabaran jerebu hampir saban tahun, namun tindakan bersepadu yang diambil setakat ini masih berada pada peringkat yang sederhana. Masih banyak ruang yang perlu dilaksanakan untuk memastikan isu ini tidak berulang kembali.

3. Pada masa yang sama, DPPM juga turut terkilan dengan penangguhan kali kedua agenda pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia untuk menangani cabaran jerebu serantau yang sepatutnya ditandatangani pada 25 September lalu.

4. Malah, tidak keterlaluan sekiranya Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada tahun ini juga sebagai komitmen padu untuk melindungi kepentingan negara-negara anggota.

5. DPPM mengalu-alukan tindakan saman dan arahan sekatan operasi terhadap mana-mana syarikat perniagaan yang terlibat dalam kebakaran hutan di Indonesia sehingga memperjudikan kepentingan awam. Kenaan hukuman yang berat harus setimpal dengan jenayah alam sekitar yang dilakukan bagi memastikan isu ini tidak berlaku lagi.

Sekian.
IR. HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Selasa, 29 September 2015 | 15 Zulhijjah 1436H

0 comments: