KESATUAN PAKATAN HARAPAN TIDAK SEBULAT SIDANG MEJA BULAT
Oleh
IZWAN ABDUL HALIM
Sidang
meja bulat yang diutarakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
(WAWI) tidak lebih dari keterdesakan PKR dalam mendepani situasi politik ketika
ini. Kerana, PKR adalah parti yang paling tidak mendapat perhatian dan seakan
terkapai-kapai mencari pautan.
WAWI
sendiri tidak pasti hendak membuat keputusan tatkala PKR sendiri masih mahu
mengikat diri hubungan bersama PAS. Tetapi WAWI nampaknya cepat teruja
disamping permainan penasihat-penasihat kelilingnya untuk dilihat merekalah
peneraju Pakatan Rakyat 2.0. Maka persidangan meja bulat selama hanya dua jam
yang sepatutnya menjadi medan perbincangan sahaja tiba-tiba menatijahkan
keputusan pembentukan Pakatan Harapan.
Lontaran
WAWI itu bukan kali pertama, telah dikeluarkan kenyataan seumpama berkali-kali,
tetapi ia tidak bersambut. Tidak bersambut lantaran WAWI itupun bertanding di
Dun Kajang dulu atas 'ihsan'. Malah, dalam banyak keputusan politiknya,
bukanlah berdiri atas kaki sendiri, tapi arahan atau suara dibalik tirai besi.
Bahkan, dikeliling pinggangnya terdiri dari penasihat-penasihat terlalu
eksklusif yang dijelik ahli parti sendiri.
Saat
WAWI melontarkan ajakan untuk persidangan itu, tarikh, masa dan tempat terus
sahaja ditetapkan. Tiada lagi persetujuan diminta dari parti-parti kerana hasrat
ingin mengungguli barangkali. Tapi barangkali juga beliau menjadi alat pihak
tertentu sebagai proksi mengadakan persidangan itu.
Lantas
segeranya perlu mengadakan sidang itu tidak lebih untuk mengesahkan kewujudan
Parti Amanah Rakyat (PAN) yang baru dilancarkan. Sedangkan PAN itu masih ada
prosedur pendaftaran yang belum dipenuhi, masih ia berbayang-bayang dan tidak
pasti.
Persidangan
itu akan lebih bermakna buat PAN jika PAS hadir supaya diberi kredit ke atas
kelahiran tidak sah taraf itu. Malang bagi mereka, PAS melontarkan bunga-bunga
awal kemungkinan tidak hadir. Anehnya, kedengaran suara-suara rayuan dari PAN
mengharap PAS hadir dan tidak kurang yang merasa lebih bagus tanpa PAS
sebagaimana dinyatakan Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub.
Persidangan
itu juga dilihat lebih bermotif untuk merendahtarafkan PAS yang peranan
belakangnya tentulah dari DAP. Sebab itu mana mungkin PAS hadir untuk berunding
sedangkan perbincangan melibatkan mereka yang mengkhianati PAS hingga
menubuhkan wadah baru PAN. Diikut serta pula DAP yang telah memutuskan hubungan
dengan PAS dan menyerang PAS bertubi-tubi.
PAN
sendiri menuduh PAS menghalau mereka untuk membentuk wadah baru. Hakikatnya
mereka sudah tidak diterima dalam PAS oleh akar umbi sendiri. Mereka diturunkan
secara demokrasi sebagaimana juga selama ini mereka dinaikkan. Setelah gagal
mendapat tempat, tetiba mereka mendakwa PAS menghalau?
Sedangkan
ketika sama juga, mereka enggan patuh kepada dasar dan prinsip PAS. Lihat
sahaja bagaimana untuk mewajarkan keluarnya mereka dari PAS, maka hukum hakam
berkenaan talak taklik dirungkai. Dirujuk kepada ulama segenap pelusuk dunia
secara tidak benar dengan masalah yang terjadi.
Bahkan
selama ini para ulama telah mereka kesampingkan. Para ulama direndahkan
semahu-mahunya serta dihilangkan keyakinan atas ulama. Sayangnya mereka gagal
memahami tabiat agama ini yang tidak mungkin Allah pisahkan perjuangan
agama-Nya dari peranan ulama.
Kafarahnya
jelas, sehingga hari ini PAN tidak lebih dari 'syok sendiri'. Belum ada
kepastian mereka secara sah menurut perundangan negara menjadi parti politik.
Dasar dan halatujunya kabur. Mereka sedari awal cuba meminta PAS berkompromi
memberi laluan atau kerusi untuk mereka tandingi pilihan raya nanti setelah
mereka curi kerusi-kerusi yang ada. Mereka mahu PAS merayu pada mereka dan
lunak dengan pelbagai tawaran mereka. Maaf, Presiden PAS sudahpun tegaskan
tidak akan bekerjasama dengan pengkhianat yang lebih bahaya dari musuh dan
itulah pendirian seluruh ahli PAS ketika ini. Titik.
Setelah
perbincangan hari ini dan sebagaimana diumumkan lahirnya Pakatan Harapan, maka
rakyat Malaysia akan lihat pada media propaganda mereka kepada sensasi berita
adalah mengenai ketidaksertaan PAS dan sekitar kehadiran Ahli Parlimen PAS,
Dato' Mahfuz Omar. Laporan mengenai koalisi itu tidak akan diberi perhatian
besar melainkan yang diada-adakan kerana sememangnya persidangan dua jam itu
hanya berkepentingan semata-mata.
Perkara
ini berbeza dengan Kongres Rakyat yang dijana PAS, walaupun tidak mendapat
liputan sewajarnya, tetapi ulasan di kalangan profesional memperlihatkan ia
mendapat reaksi positif secara berterusan dan PAS bersama NGO terlibat mesti
terus menggembleng agenda ini ke akar umbi rakyat.
Ketika
sama, diakar umbi PKR tidak sepenuhnya mendokong untuk mewujudka PR2.0
tanpa PAS. Mereka pening dan keliru serta gusar tanpa adanya PAS selaku pemain
utama politik negara masa kini. Selepas ini pasti ada banyak kenyataan menjurus
pelawaan kepada PAS. Dalam situasi ini, PAS umpama anak dara sunti.
Ketamakan
dan gelojoh mereka pasti dapat dilihat selepas ni terutama PAN dan DAP. Jika
gagal menundukkan PAS, mereka pasti cuba mengganggu Kerajaan Selangor. Maka
waktu itu, PKR sekali lagi akan menjadi bola dan mungkin akan ada drama setara
'Kajang Move'.
Rakyat
akan menjadi makin 'fade up' kepada suasana politik negara. Ahli akademik juga
golongan profesional yang adil pula akan melihat bahawa secara empiriknya PAS
dan Umno sahaja sesuai dibandingkan dalam keutuhan politik sebenar atas
faktor-faktor semasa, kestabilan, sejarah, dasar, jentera dan lain-lain. Kita
hanya usaha dan doa, moga-moga kecenderungan itu banyak pada PAS.
Ikatan
dan segala catatan mengenai kerangka kewujudan PR2.0 atau Pakatan Harapan ini
akan tertumpu kepada ikatan mengenai pembahagian-pembahagian antara mereka dan
kehendak parti-parti. Isu kerusi, isu jawatan, hudud dan banyak isu-isu yang
PAS pernah ditekan atasnya akan menjadi keutamaan. Sebaliknya perkara-perkara
yang mereka laung seperti AMANAH, PEDULI PROGRESIF, INKLUSIF dan seumpama itu
akan mula hilang sikit demi sedikit. Entah ke mana mereka akhirnya, hal itu
hanya ada dalam ilmu Allah. Wallahu'alam.
0 comments: