1. Kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaffar tempoh hari bahawa Malaysia dan Indonesia akan menandatangani suatu MOU baharu bagi menangani masalah jerebu adalah ibarat mimpi lucu. Dikala rakyat terhimpit dengan tahap kualiti udara yang semakin parah, penyelesaian kerajaan adalah sebuah lagi MOU?
2. Fenomena kering El Nino yang dijangka paling kuat yang pernah direkodkan berpotensi menjadikan jerebu tahun ini krisis alam sekitar terbesar yang pernah dialami rantau Asia Tenggara. Mengetahui pula keadaan jerebu telah menjadi rutin saban tahun, kegagalan pemerintah mencari penyelesaian konkrit jelas menyerlahkan tahap kompetensi pentadbiran yang masih lemah.
3. Tindakan yang patut diambil cukup jelas; sekiranya terdapat syarikat dan warga Malaysia yang terlibat di dalam kes pembakaran terbuka di tanah-tanah sawit di Indonesia, segera heret mereka ke muka pengadilan. Jadikan mereka contoh akan jenayah ekonomi dan kemanusiaan yang mereka lakukan sebagai sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan dilindungi.
4. Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2002 yang telah disahkan oleh 10 negara ASEAN termasuk Indonesia sepatutnya boleh dilaksanakan. Apa perlunya MOU baharu lagi sedangkan kerangka perjanjian telah pun tersedia? Ironinya pula, perjanjian itu disidangkan di Kuala Lumpur.
5. Perjanjian tersebut jelas memaktubkan ruang kerjasama, pusat kawalan dan tindakan undang-undang serta pentadbiran yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pencemaran jerebu rentas sempadan.
6. Di sinilah kepimpinan Malaysia selaku pengerusi ASEAN dituntut. Tapi apakan daya, pemerintah terlalu sibuk menyelamatkan diri dari masalah 1MDB dari memberi tumpuan kepada masalah rakyat sebegini.
7. Sekiranya bajet adalah masalahnya, inilah masanya bagi perdana menteri menggunakan dana sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya untuk menampung perbelanjaan perlaksanaan perjanjian ini.
Sekian.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
0 comments: