1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyeru seluruh pencinta keadilan menyokong dan mengikuti siri perbicaraan kes saman serta permohonan injuksi yang difailkan terhadap YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang mengenai Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 Negeri Kelantan.
2. Tindakan saman dan permohonan injuksi ini telah difailkan bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Empat orang plaintif telah bertindak mengemukakan permohonan untuk mencabar pembentangan RUU tersebut yang akan diusulkan oleh PAS dalam penggal ketiga, Mesyuarat Dewan Rakyat Kali Ke-13 kali ini.
3. Walau bagaimanapun kes saman terhadap Tuan Guru Presiden PAS ditangguhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada 5/10/2015 untuk KEPUTUSAN terhadap BANTAHAN AWAL (Preliminary Objection - PO) yang dibangkitkan oleh Peguam Utama Tuan Guru Presiden iaitu Dato' Haji Sulaiman Abdullah.
4. PO yang dibangkitkan adalah Plaintif sepatutnya memasukkan kes ini menggunakan Kaedah SEMAKAN KEHAKIMAN (Judicial Review) bukannya SAMAN PEMULA (Originating Summon - OS) seperti sekarang. Jika Hakim bersetuju dengan PO tersebut, keseluruhan kes saman terhadap Tuan Guru Presiden PAS akan DITOLAK.
5. Kita berharap agar momentum sokongan diteruskan dan ia akan menjadi saksi terhadap usaha-usaha yang telah diambil oleh kita semua untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II di Kelantan. Perbanyakkan solat hajat dan munajat di seluruh negara agar segala proses yang bakal ditempuh akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
6. PAS yakin dengan tindakan legislatif yang diambil untuk melaksanakan enakmen ini. Malah, PAS juga bersedia untuk mendepani pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk menggagalkan proses ini. Kita akan terus merintis usaha untuk merealisasikan sebahagian daripada cita-cita perjuangan Islam yang telah didambakan selama ini.
Sekian, terima kasih.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 15 Zulhijjah 1436 / 28 September 2015
0 comments: