JELI: Kekuatan ruhiyyah yang dipasakkan dari keteguhan akidah tauhid dan ibadah serta dihiasi pekerti akhlak mulia adalah tonggak asas pembinaan jati diri Muslim dalam persiapan memikul beban serta menjulang agenda perjuangan Islam.
Menyedari pentingnya kekuatan itu sentiasa digilap agar mampu berhadapan pelbagai mehnah, Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan telah menganjurkan Muqayyam Tarbawi bertempat di Kampung Kalai, di sini pada 18 dan 19 September lalu.

Menurut Pengerusinya, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi, program tersebut telah berjaya menghimpunkan penyertaan lebih 200 Pemuda PAS Kawasan-kawasan dari seluruh negeri Kelantan dan telah dirasmikan oleh Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Yaakob.
“Muqayyam kita ini berobjektifkan untuk mengukuhkan kefahaman yang mendalam dan jitu terhadap perjuangan Islam dibawa PAS lebih-lebih lagi dalam cabaran perkembangan semasa kini.

“Kita adakan pelbagai aktiviti bersama seperti taujihat, qiyamullail, usrah, memasak dan rentas jihad,” terang beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan.
Menurutnya, semasa rentas jihad dijalankan, peserta berkesempatan meninjau terowong yang dibina tentera Jepun semasa era pendudukan Jepun di negara ini.
Terangnya, terowong tersebut pernah berperanan sebagai gudang penyimpanan emas dan senjata sebelum dibawa ke Thailand, tetapi strukturnya telah terjejas kerana dibom.
Lokasi muqayyam itu juga ujarnya terletak hanya kira-kira 1 kilometer dari sempadan Malaysia – Thailand.
0 comments: