PAS Alu-Alukan Pembatalan Penggantungan Akhbar The Edge


KENYATAAN KETUA PENERANGAN PAS PUSAT

PAS Alu-Alukan Pembatalan Penggantungan Akhbar The Edge

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad yang telah membuat keputusan membatalkan penggantungan penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kelmarin.

2. Ia sekaligus menjawab tindakan Menteri Dalam Negeri yang telah menggantung permit akhbar berkenaan pada 23 Julai lalu kerana bermotifkan politik dan cubaan untuk menutup penyebaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan 1MDB.

3. Sejak dari awal PAS telah mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri yang menggantung permit akhbar berkenaan dan juga menyekat akses ke laman The Sarawak Report. Tindakan tersebut tidak menyelesaikan dakwaan-dakwaan terhadap skandal kewangan 1MDB sebaliknya memburukkan indeks kebebasan akhbar di negara ini.

4. PAS sentiasa menyokong kebebasan akhbar dan ia mesti mengikut piawaian yang betul dari aspek pelaporan berita, integriti kewartawanan dan tidak berpihak kepada kebatilan. Perkara ini penting kerana media merupakan salah satu alat yang membentuk persepsi serta pengetahuan rakyat.

5. Pada masa yang sama, PAS turut mendesak supaya laporan siasatan forensik kewangan 1MDB segera diumumkan kepada rakyat dan tidak terus dibekukan.


Sekian, terima kasih.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat


Tarikh 8 Zulhijjah 1436 / 22 September 2015

0 comments: