PAS: Antara Cabaran dan Kematangan



PAS: Antara Cabaran dan Kematangan
Oleh: Saudara Mohd Imran Md Ishak
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) /
Ahli Jawatankuasa Kongres Rakyat 2015


Ketika viral video Tan Sri Muhyiddin Yasin suatu ketika dahulu berkenaan gesaan Datuk Seri Najib Razak agar memecat Pengarah 1MDB, mungkin ramai yang kurang perasan satu ayat yang disebut 'lompat masuk PAS', yang keluar dari mulut mantan Timbalan Perdana Menteri tersebut. Begitu juga dialog bersama Tun Mahathir di USM, yang juga menyebut PAS tidak disokong oleh PKR dan DAP dalam pembentangan Rang Undang-undang kanun Jenayah Syariah II. Jika kita lihat secara terperinci, mengapa PAS yang perlu disebut? dan mengapa tidak DAP ataupun PKR sebagai ancaman utama? Ini belum lagi rakan-rakan PAS yang dilihat selalu menghentam rakan sendiri di khalayak umum kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Parti Islam ini terutamanya DAP yang bertubi-tubi menentang isu hudud. Terbaru PAN yang juga acap kali menyerang parti itu walaupun sebahagian besarnya merupakan bekas pimpinan PAS.

Realiti yang berlaku hari ini, PAS bukanlah parti yang terlalu kuat tetapi sering menjadi perbualan hangat pihak lawan mahupun rakan pakatan sebelum ini. PAS merupakan parti yang memiliki kekuatan yang agak unik. Dari sudut ahli-ahli PAS, tarbiyah yang diterapkan kepada ahli merupakan tarbiyah yang mempunyai komponen-komponen yang tidak ada pada parti lain. Ikhlas, takwa, sabar, iman, yakin adalah antara komponen yang sering diterapkan dan diulang-ulang. Pembentukan 'dalaman' yang diterapkan ini menjadikan PAS memiliki kekuatan unggul dari aspek kerohanian dan pembentukan manusia itu sendiri.

Dari sudut kepimpinan PAS pula, PAS juga memiliki kekuatan pemimpin yang unik. Presiden parti dalam jurusan agama, manakala pemimpin tertinggi parti pula disinergikan secara kolektif untuk membentuk sebuah pasukan yang unggul. Ada yang terdiri daripada lepasan ekonomi, sains politik, undang-undang, bidang agama dan juga profesion yang lain. Pimpinan PAS yang lain pula terdiri daripada Doktor perubatan, Engineer, Arkitek dan lain-lain jurusan professional. Disana terdapat juga Dewan yang mengumpulkan ahli yang terdiri daripada 'non-muslim' untuk bernaung di bawah parti Islam tersebut dan kebanyakan mereka ini adalah golongan professional. Ini menjadikan apabila parti ataupun sesebuah pasukan mempunyai latar belakang yang pelbagai, maka ianya akan memaksimumkan produktiviti hasil kerja, walau diakui sukar dibentuk dan digandingkan bersama.

Aspek material adalah antara kelemahan dalam PAS. Kewangan PAS bukanlah banyak tetapi penerapan nilai sedekah yang tinggi dalam kalangan ahli dan pimpinan PAS perlu dipuji. Ianya menunjukkan PAS bukanlah parti yang mengejar kemenangan material apabila memenangi kerusi DUN atau Parlimen atau menjadi sebuah kerajaan kelak. Ianya dibuktikan lagi dengan kebanyakan pemimpin PAS yang hidup sederhana walaupun sudah puluhan tahun menjadi wakil rakyat.

Selepas muktamar tempoh hari, diumumkan kemasukan ahli PAS seramai kira-kira 5000 orang walaupun parti itu mengalami krisis dalaman dan perpecahan. Jumlah keahliannya telah meningkat 300 peratus pada tiga bulan pertama dan dijangka meningkat 200 peratus pada hujung tahun ini. Jumlah keahlian PAS sehingga bulan Julai sahaja mencecah 22,000 orang dan dikhabarkan ianya semakin meningkat pada bulan Ogos dan September ini. Ini merupakan fakta yang unik kerana logiknya apabila perpecahan berlaku dalam sesebuah parti, semestinya ramai yang tidak berminat untuk menyertai parti tersebut. Namun sebaliknya berlaku kepada PAS, sekaligus mencabar statistik keahlian UMNO yang dikatakan mempunyai ahli seramai 3 juta lebih.

Baru-baru ini juga Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendedahkan pertemuan tertutup wakil Amerika Syarikat dengan Pakatan Rakyat. Dalam pertemuan tersebut didedahkan bagaimana Amerika tidak ada masalah dengan PKR, DAP dan PAN tetapi menyatakan secara langsung mempunyai masalah dengan PAS. Sekaligus menunjukkan pembawakan PAS tidak selari dengan negara kuasa besar tersebut.

Terbaru ketika Bersih 4.0, ramai dalam kalangan masyarakat Melayu tidak turun bersama walaupun PKR, PAN dan beberapa NGO yang lain mengerahkan ahli-ahli mereka untuk turun. Ketika Bersih 4.0 itu pun sebenarnya sebahagian besar ahli PAS ada yang turun bersama. Analisis ringkas yang boleh dibuat melalui pemerhatian Bersih 4.0 ini yang pertama, segmen pengundi Melayu sememangnya tidak akan kuat sekiranya ketiadaan PAS. Kedua pula adalah PAN hanya memberi kesan kira-kira 10 ke 13 peratus sahaja kepada PAS. Terbaru ketika Kongres Rakyat berlangsung, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengatakan bahawa, PAS merupakan 'mass-based party' ataupun parti tunjang dan sesebuah kerajaan tidak akan berjaya dibuat tanpa parti tunjang ini. Ini juga menunjukkan signal bahawa PAS merupakan parti yang sangat penting untuk membentuk sebuah kerajaan kelak.

Tidak dapat dinafikan perpecahan dalam PAS telah mengecewakan sesetengah pihak untuk melihat Pakatan Rakyat memimpin Putrajaya kelak. Namun, perlu diberi perhatian bahawa sesebuah kerajaan masih boleh diwujudkan dengan menggunakan 'coalition government' walaupun tidak ada Pakatan Rakyat sekalipun. Contoh terdekat yang boleh dilihat seperti mana kerajaan di Negeri Selangor yang menggunakan konsep ini walaupun PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP. Hal ini kerana setiap komponen parti saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka sebenarnya 'terpaksa' bersatu demi rakyat. Walaupun mungkin ada yang beranggapan strategi PAS mutakhir ini agak mundur ke belakang, namun saya tetap optimis bahawa PAS sentiasa memperbaiki kelemahan dan cuba untuk membawa pembaharuan kepada rakyat dengan penerapan dan prinsip Islam yang di pegangnya. Ianya juga sedikit sebanyak menjadikan parti dan gerakan Islam ini melalui proses kematangan dalam pembinaan kepimpinan serta ahli-ahlinya.

Saya berharap agar PAS terus istiqamah memperjuangkan Islam dan menjadi model gerakan Islam yang kekal relevan di dalam negara mahupun antarabangsa.

20 September 2015

0 comments: