PAS Kota Bharu tetap utuh tanpa YDP

KOTA BHARU: PAS Kota Bharu tetap utuh biarpun bekas Yang Dipertuanya (YDP), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah kini menyertai Parti Amanah Negara.

Ketua Muslimat PAS Kota Bharu, Rohani Ibrahim berkata PAS kawasan berkenaan kini diurus anggota jawatankuasanya diketuai Dr Rosli Alaani Abdul Kadir.

“PAS Kota Bharu tetap berjalan seperti biasa khususnya melalui program bersama masyarakat diadakan dari semasa ke semasa.
“Lagipun Cikgu Wan Rahim berpesan kepada semua anggota jawatankuasa pada mesyuarat khas sebelum ini supaya menjaga PAS sebaik mungkin.

“Pada masa yang sama juga dia juga tidak membenarkan sekali-kali ahli parti keluar daripada PAS biar pun dia menyertai parti baru,” katanya di sini.

Menurutnya lagi bekas YDP turut berpesan supaya menjaga kemenangan PAS di negeri itu terutamanya di Parlimen Kota Bharu.

Bagaimanapun Rohani yang juga Adun Tanjung Mas berkata pemergian Wan Rahim diakui memang memberi kesan kepada parti memandangkan beliau sudah lama menerajui PAS Kota Bharu.

“Malah bagi kami ia satu kehilangan besar bagi PAS Kota Bharu, tetapi apa boleh buat kerana itu pilihannya,” ujar beliau.

Wan Rahim kini mengetuai Amanah Negeri Kelantan. Turut menyertai parti tersebut bekas anggota parlimen Pasir Puteh, Mohamad Hussin dan bekas Adun Pasir Mas era 1970-an, Hashim Omar. -HARAKAHDAILY 29/9/2015

0 comments: