1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan penggubalan Indeks Syariah Malaysia (ISM) untuk mengukur urusan pentadbiran kerajaan dan lapan bidang utama pengurusan negara. Walaupun perincian ISM ini masih belum dibentangkan, namun PAS berharap agar ia dicorakkan berdasarkan epistemologi dan tasawwur Islam yang sebenar.
2. Objektif pengurusan dan pentadbiran negara mestilah untuk mendapatkan keredhaan Allah. Ia boleh digapai hanya dengan memastikan bahawa segenap urusan yang berkaitan dengannya adalah dalam kerangka Syari’ah. Atas keyakinan ini, ia pasti akan mengundang keberkatan, pengampunan dan rahmat daripada Allah SWT.
3. Inilah tujuan penubuhan PAS yang termaktub dalam perlembagaan parti (Fasal 5) dan ia telah diimplementasikan dalam pelbagai kesempatan ruang yang telah diberikan seperti dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum ini. Malah, dasar dan manifesto penubuhan Negara Berkebajikan juga tidak terkeluar daripada cita-cita yang diperjuangan oleh PAS selama ini.
4. PAS menegaskan bahawa ISM yang akan diperkenalkan nanti mestilah diikuti secara tegas oleh kerajaan dan tidak dikhianati. Ia bukan dijadikan modal dagangan murahan untuk mengaut keuntungan politik tetapi ia mesti dijadikan prinsip pembangunan yang berteraskan Islam. Walau bagaimanapun, PAS akan menunggu draf ISM tersebut disiapkan dan akan membuat pendirian rasmi mengenainya.
5. Marilah kita bersama-sama menghayati firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat ke-65,
“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa sulit terhadap perintah yang telah engkau tetapkan, dan mereka akur dengan sepenuhnya”
Sekian.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 26 Zulkaedah 1436 / 9 September 2015
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 26 Zulkaedah 1436 / 9 September 2015
0 comments: