MIRI - Kg Tanjung Belipat, Niah terletak dalam Parlimen Sibuti lebih kurang 1 jam perjalanan dari bandaraya Miri. Majoriti penduduk kampung berbangsa Melayu, Penan Muslim dan kebanyakan mereka bekerja sendiri sebagai petani.
Baru-baru kita buat lawatan ke Kg Tanjung Belipat dan menerima banyak aduan dari penduduk tentang masalah yang mereka hadapi selama ini. Antara isu yang dihadapi oleh penduduk Kg Tanjung Belipat ialah masalah kebajikan mereka diabaikan, tidak layak menerima BR1M, Orang Kurang Upaya (OKU) tidak mendapat bantuan yang sewajarnya dan masalah tidak diberi rumah dibawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). PPRT adalah di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Willayah.
Antara penduduk yang mengadu masalah yang dia hadapi untuk mendapatkan bantuan ialah Mosekil Bin Langajang. Beberapa bulan yang lalu dia ditimpa kemalangan sehingga menyebabkan kaki beliau patah dan sukar untuk bekerja. Akibat kejadian itu dia telah memohon bantuan dari badan kebajikan dan dia telah diberi Kad OKU. Masalahnya ialah walaupun dia memiliki kad OKU tetapi dia masih tidak mendapat bantuan yang sewajarnya dari pihak yang berkenaan dan dia pula disuruh mencari pekerjaan sebelum diberi bantuan. Menurut dia lagi mengapa pihak yang berkenaan menyuruh dia mencari pekerjaan dulu sedangkan dia sukar untuk bekerja akibat kejadian tersebut.
Dia merayu kepada pihak kami agar masalah dia dapat diberi perhatian oleh pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Mengapa golongan OKU macam beliau dianaktirikan oleh pihak berkenaan sedangkan beliau terpaksa menyara hidup bersama dengan anaknya? Dia juga merayu agar pihak berkuasa dapat membantu membaiki rumah beliau yang agak usang dan menukar atap bocor. Kalau boleh beliau mahu pihak kerajaan dapat membina rumah baru melalui PPRT.
Begitu juga dengan seorang ibu tunggal Patimah Binti Umar juga memohon agar pihak kerajaan dapat membina semula rumah beliau yang agak usang dan menukar atap bocor melalui PPRT.
Masalah rumah usang dan sukar untuk mendapat bantuan kebajikan juga dihadapi oleh Ismail Bin Johan. Beliau sudah banyak kali memohon bantuan dari pihak agensi kerajaan untuk membina semula rumah beliau yang usang dan perlu dibina semula. Memang ada pihak yang berkenaan datang mengambil maklumat serta gambar rumah beliau tetapi sudah beberapa tahun beliau menunggu sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan untuk membina rumah beliau.
Masalah tiada bekalan elektrik juga dihadapi oleh sebahagian penduduk diseberang sungai Niah yang masih menggunakan generator. Selama ini mereka mengharap masalah mereka boleh diselesaikan dengan baik tetapi setelah berpuluh tahun mereka memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional nasib mereka masih belum berubah.
Ramai lagi yang mengadu masalah yang sama seperti yang tersebut dan kita juga ada senarai nama-nama mereka yang menghadapi masalah tidak mendapat BR1M, sukar mendapat bantuan kebajikan termasuk seorang nenek tua yang berusia lebih kurang 110 tahun Ramdiah Binti Dudo yang dijaga oleh seorang anak perempuan beliau.
Menurut anak perempuannya beliau juga pernah memohon bantuan kebajikan dan BR1M tapi tidak layak disebabkan beliau tinggal serumah dengan ibu tua beliau sedangkan ada sesetengah keluarga mendapat BR1M walaupun tinggal serumah. Beliau seorang ibu tunggal memerlukan bantuan untuk menjaga ibu tua dan anak-anak beliau.
Kita mengesa pihak yang berkenaan supaya berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi kesejahtaraan rakyat. Kita akan sentiasa memantau dan menyuarakan masalah rakyat tanpa mengira samada mereka penyokong BN, pembangkang atau sesiapa saja yang memerlukan bantuan.
Kita mengesa pihak kerajaan sentiasa turun padang dan memantau setiap peruntukan yang telah disalur kepada pihak yang berkenaan agar ianya benar-benar sampai kepada golongan sasaran. Kita juga dapati ramai anak-anak penduduk kampung yang tidak dapat menamatkan persekolahan mereka disebabkan masalah kesukaran untuk mendapatkan bantuan. Ada diantara wakil rakyat yang berjanji untuk memberi bantuan tetapi ianya tidak pernah ditunaikan menurut penduduk kampung di situ.
Kita harap masalah penduduk yang tidak dapat bantuan BR1M, Kebajikan serta perumahan PPRT ini diberi keutamaan terutama golongan yang kurang upaya serta kurang bernasib baik seperti ibu tunggal yang memerlukan bantuan kebajikan setiap bulan untuk menampung kehidupan harian mereka.
Kerjasama dengan pihak agensi kerajaan yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini amat dihargai kerana kita yakin mereka boleh menyelesaikan masalah ini dengan pihak terbabit setelah sekian lama mereka menanti.
Jofri Jaraiee
PAS Sarawak
0 comments: