Bahana TPPA menanti - Dr Zuhdi


Bahana TPPA menanti - Dr Zuhdi
SUFI NAZ | 06 Oktober 2015.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno-BN harus berfikir secara serius dan mendalam tentang bahana yang bakal dihadapi rakyat Malaysia sekiranya pihak yang berkaitan bertindak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TTPA) nanti.

Terdahulu, pelbagai pihak telah melontarkan kritikan serta desakan sebagai tanda tidak merestui hasrat kerajaan yang diterajui oleh Dato' Seri Najib Razak untuk menandatangani perjanjian yang hanya akan menguntungkan Amerika Syarikat sahaja.

"Pada pandangan saya, dari segi politik antarabangsa dengan menyertai TPPA, Malaysia tidak lagi dilihat neutral sebaliknya berpihak kepada blok yang diketuai oleh Amerika. Keadaan ini akan menjarakkan hubungan Malaysia dengan China yang merupakan antara rakan dagangan Malaysia yang besar," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki kepada Harakah ketika dihubungi petang tadi.

Menurut beliau, adalah lebih baik jika Malaysia tidak terikat dengan mana-mana blok perjanjian dagangan yang didominasi oleh sesuatu kuasa ekonomi dunia.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berpendapat bahawa TPPA hanya akan menghakis beberapa hak Malaysia terhadap urusan perdagangan untuk menentukan sistem percukaian, kuota, pasaran, tender dan lain-lain.

"Ia boleh dianggap sebagai campurtangan asing terhadap hal ehwal ekonomi Malaysia secara konvensional. Golongan peniaga kelas menengah ke bawah antara golongan yang paling terkesan," tegas beliau.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendesak kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen khusus bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan TPPA dengan lebih teliti.

Ia berikutan keputusan hasil rundingan TPPA bersama 12 negara anggota telah dimeterai semalam dengan Jepun dan US hampir pasti menandatangani perjanjian perdagangan terbesar pada era ini. HARAKAHDAILY 6/10/2015.

0 comments: