Hak Sabah dan Sarawak terjamin di bawah Islam

Malaysia majmuk dan kepimpinan Muslim

MIRI: Keadilan Islam menjamin hak kekayaan dan kepimpinan sesebuah negeri adalah milik dan urusan rakyatnya yang mesti diagihkan secara saksama serta pemilihan dilakukan oleh penduduk negeri itu, demikian jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Menurut beliau, hari ini timbul isu mengenai autonomi Sabah dan Sarawak serta tuntutan hasil 20 hingga 100 peratus, sedangkan keduanya termasuk juga Terengganu adalah negeri paling banyak hasil, tetapi rakyatnya merupakan paling miskin di negara ini.
 
Jelasnya, hal itu disebabkan pengagihan tidak betul sedangkan konsep ekonomi Islam menerusi zakat dan cukai menjamin keutamaan keperluan dan kemudahan asas penduduk.
 
“Orang Islam kena bayar zakat cukai ibadat, wajib sampai bila-bila. Orang bukan Islam dikenakan cukai, bukan ibadah, keperluan negara, cukai tak wajib, boleh dihapuskan bila-bila masa. Kalau hasil negara dah cukup, tak perlu lagi cukai. Maka dipungut cukai, cukai tanah, cukai perdagangan, arak, cukai diri, jizyah.
 
“Di mana zakat dan cukai ini, diutamakan penduduk negeri dulu. Bahkan mengikut Mazhab Syafie, melihat orang Islam di Asia Tenggara, tak boleh pindah zakat ke negeri lain. Setelah habis penduduk orang miskin negeri ini bagi dulu. Ini kaedah percukaian dalam Islam, hasil dalam Islam.
 
“Utamakan penduduk negeri, Sabah dan Sarawak. Selesaikan masalah rakyat di negeri ini dulu. Kalau ada lebihan, baru dipindah ke negeri lain, ataupun dibahagikan juga kepada negeri lain, tapi utamakan negeri ini. Ada juga pada negeri lain, paling utama tempatan dulu. Ini proses percukaian dan ekonomi dalam Islam,” hurai Tuan Guru.
 
Malangnya ujar beliau, sama ada pemimpin dari Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak, tetapi hasil negeri dan harta rakyat diguna serta dijadikan hasil peribadi di mana pemimpin mengumpulkan kekayaan sedangkan rakyat menjadi papa kedana.
 
Begitu juga katanya, di zaman feudal para penduduk tidak memiliki tanah, kerana tanah yang luas dikuasai oleh golongan feudal, sedang penduduk menjadi hamba kepada tuan-tuan tanah.
 
“Bila Islam memerintah, Islam membahagi tanah-tanah ini kepada rakyat, orang Islam dikenakan zakat pertanian, yang bukan Islam dikenakan cukai pertanian. Boleh diambil cukai (termasuk) berniaga babi daripada orang bukan Islam, tapi semuanya untuk dia, diagih cukai itu dibelanja untuk orang bukan Islam,” terang beliau.
 
Tambahnya lagi, konsep keadilan itu juga dalam memilih pemimpin di mana sewajarnya untuk Sarawak dipilih dan diutamakan dari kalangan pemimpin orang Sarawak sementara pemimpin Persekutuan mengikut sewajarnya.

0 comments: