
Prof
Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
SAYA
menerima banyak permintaan dari sahabat supaya menulis tentang Perjanjian
Perkongsian Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan
ditandatangani pada Oktober nanti. Pada mulanya
saya tidak mahu menulis tentang isu ini kerana mahu serahkan kepada pakar
ekonomi untuk menulis mengenainya. Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya
harapkan, maka saya menulis juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan
supaya kita semua tahu tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.
TPPA
adalah perjanjian multilateral terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik
seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan
Vietnam. TPPA ini alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas
berniaga di pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep
globalisasi.
Masalahnya
dengan TPPA ini ialah semua perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks
perbincangan adalah rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian
dimeterai. Ini bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan,
sesuatu yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.
Apabila
ditanya mengapa dirahsiakan, jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini
baik untuk negara kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar.
Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang sedang
dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa perlu berahsia?
Saya
tanyakan hal di atas kerana terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan
memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup
membimbangkan saya. Untuk maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan
beberapa kesan negatif yang perlu sangat kita ketahui:
i.
Hampir 80% harga ubat akan menjadi mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga
sekarang. Ini kerana ubat generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi
kerana Malaysia terikat menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan
syarikat famarkeutikal dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan
rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat tinggi.
Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang memerlukan ubat
bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar kos perubatan semahal
itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita nanti?
ii.
Syarikat gergasi akan bebas berniaga di negara kita menyebabkan
usahawan-usahawan kecil terpaksa bersaing dengan syarikat gergasi dari luar
negara. Ini seolah-olah meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan
rakyat kita. Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS,
Singapura dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.
iii.
Kerajaan boleh disaman oleh pelabur luar di tribunal antarabangsa yang
berpangkalan di Washington dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang
boleh merugikan hak pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka.
Ini tentunya menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang
terbaik untuk rakyat dan negara.
iv.
Petani kita terpaksa bersaing dengan hasil pertanian luar negara. Lebih
merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi
negara apabila beras dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di
negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika
TPPA dimeterai.
v. TPPA
juga menyebabkan bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai
khidmat profesional tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan
pasaran terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan
kemasukan syarikat gergasi ini?
vi. TPPA
melanjutkan perlindungan hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas
kematian penerbit kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan
yang kini percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna.
Ini juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa,
sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.
Justeru
implikasi TPPA ini besar kepada rakyat dan negara, maka saya merayu supaya
kerajaan mengambil tindakan berikut terlebih dahulu sebelum memetarai
perjanjian ini. Antaranya:
i.
Menangguhkan perundingan TPPA sehingga segala teks mengenainya didedahkan
kepada rakyat untuk mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak
memberi pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.
ii. Ahli
parlimen perlu diberi pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian
ini. Semasa membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini
dari aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat
kepada kepentingan parti.
iii.
Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada
syarikat gergasi luar.
Saya
akui TPPA ini ada baiknya untuk negara kerana kita bergantung kepada kemasukan
pelaburan luar untuk memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan
perjanjian ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan
teliti oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya
kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih belum
terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.
Harapan
saya cuma satu dari keputusan muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti:
Jangan biarkan anak cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat
globalisasi ini. Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai.
0 comments: