Isu Tol : Akhirnya Kerajaan Memangsakan Rakyat

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam tindakan kerajaan yang terus memangsakan rakyat dengan bahana kenaikan kadar tol berkuatkuasa Khamis ini. Kenaikan yang sangat keterlaluan ternyata satu kezaliman dan tidak berperikemanusiaan!

Kita akui peruntukan perbelanjaan wang pampasan sebanyak RM 1.5 bilion yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi itu sangat besar jumlahnya, namun itu bukan isu utama. Isu utama adalah mengapa syarikat konsesi berterusan mengecapi keuntungan berganda dan rakyat terus ditekan menderita?

Sepatutnya, kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat-peringkat selari dengan tempoh masa konsesi. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Barisan Nasional langsung tidak mengutamakan kepentingan rakyat sebaliknya membela syarikat operator tol.
Sepanjang tahun 2015, rakyat telah dimangsakan dengan pelbagai siri kenaikan seperti harga minyak petrol dan gas, kadar tambang bas dan teksi dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan sebanyak 6 peratus. Rakyat harus bangkit berhadapan dengan kerajaan yang buta dan pekak terhadap nasib rakyat!

Untuk makluman, pihak DPPWP telah menghantar surat kepada Kementerian Kerja Raya dan Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) pada bulan Julai yang lalu untuk berdialog, tetapi semuanya enggan.

Maka dengan ini, DPPWP akan melancarkan protes besar-besaran untuk membantah kenaikan tol yang keterlaluan sehingga menzalimi rakyat pada minggu ini.


Sekian.

Ir. Hj Khairil Nizam Khirudin
Ketua Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan


Demo Bantahan Kenaikan Tol: https://www.facebook.com/events/885297348219514/

0 comments: