Isu TPPA : Awas ! Jika Kerajaan Khianati Rakyat.

Kenyataan Media Penerangan. 38

Isu TPPA : Awas ! Jika Kerajaan Khianati Rakyat.


1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah membuat kenyataan lebih awal dengan menyatakan kebimbangan kemungkinan Kerajaan Malaysia telah mengadakan pra perjanjian dengan negara-negara anggota TPPA sebelum substantif perjanjian tersebut dikemukakan kepada rakyat pada bulan hadapan.

2. Kenyataan akhbar PAS yang bertajuk “Isu TPPA : Adakah Mungkin Wujud Pra Perjanjian Bulan Ini?” bertarikh 11 Syawal 1436 / 27 Julai 2015. PAS menegaskan bahawa proses pendebatan di Parlimen berhubung TPPA tidak patut dijadikan rubber stamp semata-mata sedangkan pra perjanjian telah disepakati lebih awal.

3. PAS merujuk kepada laporan portal akhbar Utusan Malaysia, ruangan rencana bertarikh 11 Oktober 2015 yang bertajuk, “Timbang Buruk Baik TPPA”. Berdasarkan mukaddimah transkrip temubual tersebut, portal tersebut telah melaporkan bahawa Malaysia tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum tandatangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

4. Ini bermakna kuasa tandatangan hanya tertakluk kepada kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri sahaja. Maka, kerajaan perlu memberikan jaminan adakah kerajaan bersedia untuk menolak dan keluar daripada keanggotaan TPPA sekiranya majoriti rakyat menolak perjanjian ini. Malangnya, sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang dokumen rasmi dan laporan cost benefit analysis dikeluarkan.

5. PAS memberi amaran supaya kerajaan tidak mengkhianati rakyat. PAS bersedia untuk bersama memimpin kebangkitan rakyat besar-besaran bersama pelbagai pihak yang berkepentingan jika kerajaan terus menandatangani perjanjian kontroversi ini.

Sekian.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 29 Zulhijjah 1436 / 12 Oktober 2015



Lampiran rujukan :

MUKADIMAH: MALAYSIA tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum tandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam, selain Amerika Syarikat (AS).

Namun, memandangkan isu tersebut begitu kontroversi dan mendapat perhatian ramai, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan membawa perkara itu ke Parlimen untuk dibentangkan, dibahaskan sebelum dijalankan pengundian sama ada bersetuju atau menolak perjanjian dagangan terbesar dunia itu.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED ketika diwawancara selama sejam oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZUNAIDAH ZAINON bersama jurugambar JEFFRI IRAN di pejabat beliau di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur Khamis lalu.

0 comments: