Kelantan tetap sedia walau jangkaan banjir kecil

KOTA BAHRU - Kerajaan negeri Kelantan tetap menyediakan 773 pusat pemindahan banjir biarpun Jabatan Meterologi Kelantan menjangkakan banjir kecil berbanding tahun lalu.

Exco Bencana Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, 773 pusat pemindahan mangsa banjir disediakan bagi menghadapi kemungkinan  banjir tahun ini di negeri ini berbanding 687 tahun lalu.
"Kesemua pusat itu mampu menampung sehingga 220,290 mangsa pada satu-satu masa dengan 13 pusat daripadanya berskala besar yang mampu menempatkan sehingga 27,000 mangsa.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 274 sekolah turut dijadikan pusat pemindahan yang mampu menempatkan 126, 220 mangsa manakala lain-lain seperti balai raya dan dewan orang ramai sebanyak 486 mampu memuatkan sehingga 67,140 mangsa," selepas Majlis Penyerahan Tugas Pengurusan Bencana Banjir Negeri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, persediaan itu dari segi kekuatan agensi penyelamat yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JPAM, Rela, Kastam Diraja Malaysia (KDSM), Agensi Penguat Maritim Malaysia (APMM) dan beberapa agensi lagi.

"Ia dijangka melibatkan seramai 4, 269 anggota akan terbabit dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir, malah dari segi kemudahan aset lojistik, ia melibatkan kenderaan seperti lori sebanyak 108 disedikan, kenderaan pacuan empat roda (189), bot (205), van (4) dan ambulan (12), manakala sebanyak 142 pusat pendaratan helikopter untuk operasi banjir juga sudah disediakan," katanya. - 28 OKTOBER 2015 SINAR HARIAN

0 comments: