PAS jangka PRU14 pertengahan tahun hadapan

RANTAU PANJANG: Mengambil kira isu semasa yang berlaku sekarang termasuk masalah dalaman Umno kemungkinan besar pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan diadakan lebih awal sekitar Julai dan Ogos tahun hadapan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Mei tahun hadapan genap tiga tahun tempoh PRU13 diadakan.

“Selepas tempoh itu PRU ke-14 kemungkinan diadakan. Umno juga dilanda masalah dalaman.
“Kemungkinan kalau tidak boleh selesai, tahun hadapan cukup tiga tahun membolehkan PRU14 diadakan,” katanya pada perasmian penutup ucapan Dasar Presiden di Markas Rantau Panjang di sini hari ini.

Program separuh hari itu turut diikuti Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Oleh itu kata beliau adalah penting jentera parti diperkukuhkan bagi memastikan kerajaan  Kelantan terus dapat dipertahankan sehingga pada masa akan datang.

Selain itu Perhubungan PAS Negeri juga turun ke Dun-Dun dengan mengadakan program dialog dan penerangan penjelasan isu-isu semasa.

PAS Kelantan dan Sarawak merupakan negeri terakhir menganjurkan Munaqasah Ucapan Presiden.

Sebelum perasmian penutup itu diadakan pelancaran 3B Harakah iaitu Beli, Baca dan Beri dilancarkan Mohd Amar. Turut dilancar laman informasi PAS Kelantan yang meliputi langganan WhatsApp secara percuma.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pula berkata parti itu akan menghimpunkan kira-kira 1,000 profesional pada 17 Oktober ini sempena himpunan Hijau di Stadium Sultan Muhammad Ke IV Kota Bharu.

Katanya, program itu  menggambarkan PAS tidak pernah pinggirkan golongan profesional. “Malah masih ramai lagi golongan profesional bersama dalam PAS. Jangan pula dianggap PAS tidak mahu kepada profesional. Itu tidak betul.

“Kita akan himpunkan semua profesional terdiri daripada doktor, peguam, arkitek, akauntan dan pelbagai lagi bidang kerjaya,” katanya. - HARAKAHDAILY 3/10/2015

0 comments: