Perkongsian Dari Parlimen. Siri 29 - Tangguhkan PLKN

Perkongsian Dari Parlimen. Siri 29
Sessi Soal Jawab
21 Oktober 2015

Tangguhkan PLKN

Tuan Nasrudin bin Hassan [TEMERLOH] :
Tuan Yang Di Pertua, Soalan tambahan saya ialah Yang Berhormat Menteri, saya minta supaya Program PLKN ini sebaiknya ditangguhkan pada tahun hadapan. Ini bukan bertujuan untuk menjimatkan sahaja kos operasi yang dianggarkan sebanyak RM400 juta tetapi untuk memberi lebih banyak ruang penelitian terhadap modul-modul yang akan diperkenalkan pada tahun 2016.
Saya juga berharap supaya Kementerian Pertahanan dapat membentangkan satu hasil kajian makmal transformasi PLKN ini yang telah diadakan pada bulan Februari dan juga Mac yang lalu di Dewan Rakyat ini. Ia sangat penting memandangkanProgram PLKN ini telah pun menjangkau 11 tahun sejak dilancarkan pada tahun 16 Februari 2004 yang lalu.
Jadi adakah ia telah berjaya menyelesaikan masaalah yang sedang melingkari golongan belia pada hari ini dan enam modul baru yang akan diimplementasi terhadap pilot project itu harus dikonsultasikan bersama dengan rakyat terlebih dahulu dan ....

TIMBALAN YANG DI PERTUA [Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee] : Yang Berhormat, banyak soalan Yang Berhormat.

Tuan Nasrudin bin Hassan [TEMERLOH] :
Sedikit lagi, malah pelbagai isu yang menghantui program ini perlu diselesaikan terlebih dahulu antaranya mengenai dengan proses seleksi peserta, pemborosan perbelanjaan dalam perolehan seperti mana yang dilaporkan dalam LKAN hanya 70% tahap efisien dalam pengurusan serta isu-isu penyelenggaraan kem dan termasuklah masaalah moral di kalangan pelatih dan juga jurulatih.
Terima kasih

Jawapan :
DATO SERI HISHAMUDIN BIN TUN HUSSEIN :
Pertamanya saya tidak setuju dengan cadangan Yang Berhormat untuk kita tangguhkan transformasi ini.
Keduanya kalau sekiranya itu pandangan Yang Berhormat, Yang Berhormat harus dalam satu tahun ini tampil ke hadapan bersama - sama kita dalam makmal, dalam perbincangan kita sebelum ini saya tidak tengok pun Yang Berhormat tampil ke hadapan. Sudah penghujung baru hendak cadang sebegitu rupa, orang Johor kata tidak acilah.
Perkara yang penting sekarang ialah kita hendak lihat ke hadapan. Bukan untuk hendak menuding jari dan saya tidak menyatakan bahawa apa yang kita buat dalam PLKN ini kita selesaikan semua masaalah belia.
Akan tetapi ini satu perkara yang boleh membantu cara - cara lain yang dibuat oleh parti Yang Berhormat dan daripada pembangkang pun boleh membantu tetapi tidak bermakna bahawa apa yang telah kita buat selama ini, kita tahu bahawa mungkin ada kekangan - kekangan tertentu tetapi kita kena atasinya.
Hendak tolak sebulat-bulatnya sebelum ini tidak terlibat dalam perbincangan kita, saya rasa tidak wajar dan saranan Yang Berhormat untuk kita bincangkan dan bentangkan di dalam Dewan ini memang kita akan lakukan.
Kita boleh bincang dalam perbahasan belanjawan, kita akan bawa kepada perbincangan dengan wakil-wakil rakyat tetapi tidak bolehlah pagi ini soaljawab hendak ceritakan kesemuanya. Banyak lagi yang saya hendak bangkitkan.
Kita telah libatkan seramai mungkin. Penting sekarang jangan kita politikkan benda ini, jangan kita tengok yang jadi mangsa nanti ialah anak - anak kita yang tidak berdosa.

Sumber : Hansard Parlimen

0 comments: