Rakyat Kelantan pertahan kepimpinan ulama

RANTAU PANJANG: Ketika harapan pendukung PAS di seluruh negara mahu melihat kepemimpinan ulama di Kelantan terus utuh, rakyat negeri ini bangkit membuktikan impian itu.

Malam tadi ribuan membanjiri Pusat Tarbiah PAS Rantau Panjang bagi mengikuti Perhimpunan Istiqamah Sehingga Kemenangan (Pihak).
Program itu didahului konvoi anak-anak muda dari Dun Bukit Tuku, Meranti dan Gual Periuk membabitkan seramai 400 peserta.
Selain itu hampir 100 pemilik kereta antik turut mengambil bahagian pada perhimpunan berkenaan. Program tambah ceria dengan persembahan dikir barat diketuai Jen Endoro.

Turut diadakan persembahan kapalterbang kawalan jauh dan perlawanan bola sepak Liga Elit Dun parlimen Rantau Panjang.

Penyampaian hamper cabutan bertuah pula disampaikan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Menjelang Maghrib diadakan jamuan rakyat. Solat Maghrib berjemaah dan kuliah haraki disampaikan Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.

Kemudian solat Isya dan hajat diimamkan anggota Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata rakyat Kelantan perlu mempertahankan kerajaan negeri dengan segala kekuatan yang ada.

“Kehadiran yang begitu ramai pada program malam ini membuktikan majoriti rakyat Kelantan kekal istiqamah bersama perjuangan PAS.

“Malah program ucapan dasar presiden pagi tadi juga dihadiri ramai ahli dan pendokong PAS dari seluruh Kelantan,” katanya pada ceramah Pihak.

Hadir sama Naib-naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Abdullah, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Selain itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Asokan Parumal dan Ketua DHPP Terengganu, Dr Balachandran.

Mohd Amar pula berkata kewujudan parti serpihan PAS bukan untuk memperkuatkan pembangkang sebaliknya mereka lebih gemar memburukkan kerajaan negeri melalui media baru.

Katanya, mereka memaparkan surat di facebook untuk memburukkan kerajaan negeri sehingga menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Asokan menjelaskan DHPP tetap kekal istiqamah biar pun ada bekas pemimpin PAS yang pernah mengajaknya menyertai PAS kini bersama wadah baru.

“Kami diajar oleh mereka istiqamah tetapi malangnya pemimpin itu pula yang meninggalkan PAS. Sebaliknya kami kekal setia bersama presiden PAS,” katanya. - HARAKAHDAILY 4/10/2015

0 comments: