GOMBAK: Jamaah Islam mestilah mempunyai sifat takwa kepada Allah dan menggerakkan agenda dakwah dengan melaksanakan amar makruf nahi munkar, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Jelas beliau, seruan kebajikan oleh Jamaah Islam adalah melaksanakan seluruh ajaran Islam melibatkan hubungan diri manusia, keluarga dan masyarakat, negara dan seluruh alam dengan Allah SWT.
“Kalau ada kumpulan Islam yang bergerak dalam satu bidang sahaja. Buat pendidikan, atau ekonomi ataupun politik sahaja, dakwah sahaja, mengajak orang masuk Islam, lepas itu diam. Itu tak memenuhi ciri kepada Jamaah Islam.
“Kena Islam kesemuanya, jangan sebahagian. Jangan dikerat-kerat. Ambil semuanya yang diajar oleh al-Quranulkarim. Ditafsirkan secara praktikal oleh sirah nabawi,” terang beliau pada Seminar Fiqh Jamaah di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm), di sini baru- baru ini.
Usaha itu katanya, bermula daripada mengajak manusia kepada Islam meliputi cara hidup Islam, makan minum, pakaian, berkeluarga sehinggalah masyarakat, berpolitik, ekonomi dan perhubungan antarabangsa.
Jelasnya, pemisahan atau mengambil sebahagian ajaran hanyalah mengikuti jalan syaitan dan perbuatan ahli kitab serta pengikut Yahudi dan Kristian.
“Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Semua teori-teori ekonomi sama ada sosialisma, kapitalisma, pragmatisma bertuhankan kepada aqidah materialistik, kebendaan. Ekonomi menjadi kiblat yang disembah lain daripada Allah SWT walaupun percaya pada tuhan.
“Kalau dulu menyembah berhala, menyembah syaitan, menyembah jin, menyembah raja, menyembah macam-macam. Hari ini menyembah ekonomi sebab cakap ekonomi adalah nyawa kepada manusia,” terang beliau.
Menurut Tuan Guru, kemuncak kepada usaha manusia memperjuangkan Islam adalah menegakkan negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT dan menjadikan Islam itu tamkin.
Terang beliau, Allah menjanjikan kepada kumpulan Islam yang beriman dan beramal soleh menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memerintah bumi.
Kumpulan itu juga katanya, menunjukkan sifat-sifatnya bahawa Allah menyertai dan mengasihi mereka serta mereka mengasihi Allah, merendahkan diri terhadap orang-orang beriman dan menunjukkan kekuatan atau kekuasaan terhadap para penentang dan kafir, mereka berjihad serta tidak takut celaan orang mencela.
0 comments: