TPPA : AHLI-AHLI PARLIMEN MESTI BAHAS DENGAN TELUS & TULUS


Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus

TPPA : AHLI-AHLI PARLIMEN MESTI BAHAS DENGAN TELUS & TULUS


1. Kenyataan bersama yang dibacakan oleh Michael B. Froman iaitu US Trade Representative (USTR) merangkap penasihat utama, perunding dan jurucakap kepada Barack Obama mengenai isu-isu perdangangan dan pelaburan pada lewat petang semalam adalah amat mengejutkan rakyat Malaysia seluruhnya.


2. Sedangkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), DS Mustafa Mohamed beberapa hari sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada apa-apa keputusan besar akan terhasil daripada rundingan yang diadakan di Atlanta selama beberapa hari itu.


3. Tiba-tiba pada petang semalam, kesemua Menteri Perdagangan dan para perunding daripada 12 negara yang terlibat mengumumkan telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan terma-terma perjanjian tersebut.


4. Walaupun MITI melalui Menterinya dalam kenyataan pada lewat malam tadi sekali lagi menegaskan bahawa penyertaan Malaysia di dalam TPP hanya akan diputuskan  setelah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen, namun ia bukanlah suatu yang mudah kerana rundingan ini telah pun berlangsung secara sulit sejak 5 tahun lalu, sidang Parlimen akan datang pula bakal menjelma tidak lama lagi dan tempohnya amat singkat untuk tujuan tersebut.


5. Saya tidaklah menafikan keperluan untuk perkara ini dibawa ke Parlimen bahkan saya juga telah mendesaknya beberapa kali sebelum daripada ini. Saya menuntut semua YB Ahli-ahli Parlimen khususnya daripada BN yang mewakili Kerajaan agar bersikap telus dan tulus dalam membahaskan isu ini nanti. Ia adalah teramat penting kerana melibatkan kedaulatan dan kesan jangka masa panjang terhadap negara dan rakyat Malaysia. 


6. Saya percaya bahawa kita semua tidak mahu akibat daripada TPPA ini nanti akhirnya berlaku penjajahan ekonomi oleh para kapitalis dunia terhadap Malaysia yang menyebabkan rakyat hanya menjadi penyaksi kepada kemakmuran ekonomi negara sedangkan kek ekonomi itu sendiri diratah oleh gergasi ekonomi dunia.


Sekian.

 “Beristiqamah Hingga Kemenangan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Selasa, 6 Oktober 2015 | 22 Zulhijjah 1436 H

_____


Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.

0 comments: