
Kenyataan Media
Ahli Parlimen Kuala Nerus
TUNTUT PENJELASAN PENJUALAN TRT-ETGO
1. Sejak 26 Ogos lalu, telah tersiar laporan berita bahawa Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVHB) telah pun memeterai perjanjian dengan Vilterra Inc. untuk melupuskan 100% sahamnya di dalam Twin River Technologies-ETGO (TRT-ETGO) yang beroperasi di Quebec, Kanada dengan nilai C$190 juta (RM608.2 juta).
2. Sedangkan pada 11 Ogos, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd. Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima (5) syarikat antarabangsa yang menunjukkan minat untuk membida TRT-ETGO masih berjalan.
3. Bloomberg juga telah melaporkan bahawa FGV berupaya untuk memperoleh sehingga RM1 bilion hasil melupuskan perniagaan penghancuran dan penapisan (crushing and refining) di Amerika Syarikat dan Kanada yang menarik bidaan antara AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta) selain RM300 juta untuk tiga (3) anak syarikatnya yang lain iaitu Felda Travel, Felda Prodata dan Felda Engineering.
4. Saya menuntut agar Kerajaan Malaysia atau melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) segera menjelaskan justifikasi yang diperkirakan sehingga perjanjian ini ditermeterai sedangkan wujud bidaan yang lebih tinggi nilainya mencecah RM953 juta. Mengapa tidak memilih untuk memeterai perjanjian dengan syarikat yang membida dengan nilai yang lebih tinggi daripada Vilterra Inc. bagi menyempurnakan rancangan menggunakan 50% daripada jumlah hasil jualan itu untuk membayar balik pinjaman, 45% untuk keperluan modal kerja dan 5% untuk anggaran perbelanjaan bagi penjualan itu?
5. Saya juga bersetuju dan menyokong usaha pihak Hal Ehwal Felda PAS Pusat untuk membawa kes ini kepada pihak SPRM sekiranya MITI gagal menjelaskan keraguan yang ditimbulkan berhubung transaksi jual-beli ini.
Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Isnin, 5 Oct 2015 | 21 Zulhijjah 1436 H
_____
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah Ahli Majlis Syura Ulamak, AJK PAS Pusat dan Ketua Penerangan DUPP. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) beliau.
0 comments: