Diperkuda, memperkuda...

Diperkuda, memperkuda...
Bila Khalid Samad kata PAS 'perkuda' PKR , tiada siapa pun percaya kerana orang tahu karakter PAS bukan seperti parti lain yang tidak menghormati urusan dalaman parti rakan. PAS tidak pernah campurtangan tentukan siapa patut dipilih dan siapa patut ditolak dalam parti rakan.
Beliau cuba melaga lagakan PAS dengan rakan tahaluf siasinya PKR dengan menggunakan perkataan 'perkuda'kan kerana tahu tiada siapa yang akalnya sihat tidak merasa terhina jika diperkudakan.
Alhamdulillah kepimpinan PAS pada hari ini kelihatannya lebih sihat 'akalnya' berbanding ketika dahulu. Kerana terlalu banyak beralah ketika dahulu, PAS diserang bertalu talu oleh UMNO dengan serangan serampang dua mata soal menjaga kesucian agama Islam dan mempertahan kepentingan orang melayu sehingga PAS terkorban hilang dokongan orang orang Islam yang menjadi teras sokongannya.
UMNO menang 87 kerusi kerana orang melayu termakan dakyah ini.
PAS berjaya diberi persepsi diperkudakan oleh DAP malah oleh PKR pun ketika itu. Pemimpin PAS ketika itu ada yang bagai jadi burung kakak tua yang sekadar mengajuk kata kata yang ditetapkan oleh tuan mereka. Malah media rasmi PAS, Harakah pun ketika itu seolah olah bukan suara PAS. Tapi suara pihak lain.
Khalid Samad sebenarnya gagal menyembunyikan kegelisahan beliau dan rakan rakannya ekoran semua langkah mereka semakin sumbang mambang.
PAN hidup bergantung kepada dokongan DAP dan kumpulan tertentu dalam PKR yang pro DAP. Apapun DAP berada pada tangga teratas hierarki kumpulan songsang ini manakala PAN sekadar alat khas bagi menjayakan agenda mereka.
Gelisahnya mereka tidak lagi dapat disembunyi bila cubaan demi cubaan mereka di Selangor gagal, kerana Azmin Ali, Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR adalah seorang yang faham sangat realiti politik dan arus sentimen akar umbi.
Bila mereka berjaya dalam agenda mereka di Pulau Pinang, bersama DAP dan AMK Pulau Pinang menyingkirkan PAS, kegelisahan politik merebak pula ke Pulau Pinang. Kaum cina dari kalangan DAP tempatan bangkit menolak kepimpinan Lim Guan Eng. Kini suara suara akar umbi DAP semakin berbunyi. Di Johor, bekas Pengerusi DAP Johor mahu mereka ini ditolak. Rumah gila Soviet (Soviet Madhouse) dilabel olehnya. Di Kedahpun sama.
Kongres PKR yg baru berlangsung adalah gambaran sentimen akar umbi PKR yang mahu hubungan dengan PAS diperkukuhkan. Alasannya kerana tanpa PAS, PRU14 adalah fatal untuk semua pembangkang.
PAS pula menegaskan boleh bekerjasama dalam isu isu kepentingan bersama. Dan menuntut dihormati prinsip dan dasar perjuangan PAS yang tidak boleh dikompromi.
Ini bukan baru. Sejak dulupun begitulah pendirian PAS. Yang sanggup menggadai prinsip perjuangan PAS, akan segera ditolak oleh ahli.
Kumpulan yang mahu melihat PAS disisihkan kini bagaikan terkejut dari lena bila mendapati kini mereka rupanya yang sedang tersisih.
Ini termasuk beberapa pimpinan negeri yang kerjanya bukan membina hubungan tetapi menambah ketegangan dalam tahaluf yang sepatutnya berjalan harmoni. Ternyata haluan mereka bertentangan.
Ada yang ketawa kecil bila Rafizi dalam Kongres PKR menyebut tentang betapa perhatian perlu diberi kepada pendidikan moral dalam PKR. Perlu tarbiyyah. Perlu ada usrah!. Ini dilaporkan di TV.
Saya sokong. Moga tiada lagi jenis yang sanggup mengarang sehingga 91 muka surat memfitnah orang. Atau terpaksa mengambil giliran mengaku salah meminta maaf di mahkamah kerana memfitnah orang.
PAN bukan main cuba menggambarkan kononnya bila kumpulan mereka keluar dari PAS, maka PAS telah menjadi lemah dan akan mati. Konon PAN adalah kapal penyelamat kerana PAS akan karam.
Tapi Khalid Samad yang menuduh PAS 'perkuda'kan PKR telah secara tidak langsung memberi mesej yang bisa membuat kita tersenyum.
Dalam pada kita secara fizikal melihat dengan mata kepala gelombang sokongan rakyat yang semakin besar menyokong PAS , termasuk keahlian baru hampir 10 ribu setiap bulan, Khalid Samad baru mengesahkan PAS yg baru sebelum Jun 2015 lalu dipandang menjadi kuda dan alat kepada DAP, kini di bawah kepimpinan mantap Presiden PAS , Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang dan pasukannya yang bersatu telah berjaya merubah persepsi lalu.
Dulu ditohmah diperkuda. Sekarang ditohmah memperkuda.
Jika begitu adakah PAS sekarang makin bertambah kuat atau lemah sudah nak mati seperti dakwaan mereka?

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
1hb. Disember 2015

0 comments:

JARINGAN PEMUDA GERAKAN ISLAM BAKAL MELAKAR SATU KEBANGKITAN BARU


Kenyataan Media Rasmi
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)


JARINGAN PEMUDA GERAKAN ISLAM BAKAL MELAKAR SATU KEBANGKITAN BARU

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ َ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; [Surah Ali Imran: 103]

1. Dunia Islam kini menghadapi situasi yang mencemaskan apabila beberapa wilayah-wilayah Islam khususnya di Timur Tengah menghadapi pergolakan dan krisis hasil perancangan Barat. Tidak dinafikan Gerakan Islam juga menghadapi serangan pemikiran bagi mencabut jati diri agar ia tidak lagi berfungsi sebagaimana yang diinginkan bagi mempersada kegemilangan dunia Islam.

2. Maka, DPPM secara tradisinya sebagai sayap pemuda Gerakan Islam di Malaysia baru-baru ini telah menghadiri Persidangan Pemuda Islam Antarabangsa di Istanbul, Turki yang menghimpunkan para pemuda Gerakan Islam dari beberapa buah negara untuk membina kekuatan kesatuan pemikiran dan tindakan untuk melakar kebangkitan pemuda di dalam dunia Islam.

3. DPPM secara konsisten akan terus memberikan iltizam yang tinggi bagi menyambung usaha pimpinan PAS yang terdahulu dalam memperkukuh jaringan di peringkat antarabangsa bersama para pemuda Gerakan Islam di negara lain bagi mencapai kesepakatan bersama untuk menjadi tonggak terpenting dalam memacu ke era kegemilangan ummah.

4. Justeru itu, kolaborasi ini pasti akan memberikan satu langkahan baru dalam perjuangan Gerakan Islam bagi meneruskan kesinambungan perjuangan Islam yang tulen mengikut manhaj wasatiyyah; bukan yang melampau dan bukan juga yang mempermudahkan ajaran Islam.


MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).


Isnin, 30 November 2015 | 18 Safar 1437H

1 comments:

Judi berlesen atau tidak tetap salah.


Perkongsian Dari Parlimen. Siri 41
Judi berlesen atau tidak tetap salah.
Tarikh : 25 November 2015

Nasrudin bin Hassan [Temerloh] : Terima kasih Tuan Yang di Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri.


Realitinya judi ini sama ada berlesen atau tidak, dia memang mendatangkan masalah besar kepada negara kita terutamanya menumbuhkan kesan-kesan sampingan gejala sosial dan juga jenayah rompakan.

Saya ambil contoh ialah di kawasan Temerloh antara daerah yang begitu subur dan banyak industri ataupun operasi judi sama ada yang berlesen ataupun tidak.

Menjelang negara kita untuk melaksanakan Indeks Syariah ini, saya hendak tanya apakah pelan kerajaan. Tidak adakah hasrat untuk memansuhkan judi ini dan membatalkan semua premis judi samaada berlesen atau tidak, supaya negara kita lebih selamat dan terjamin. Kalaupun tidak mampu hendak hapuskan keseluruhan di peringkat awal ini, kita kurangkan dahulu kadar pemberian lesen itu, itu yang pertama.

Kemudian yang kedua tentang yang tidak ada lesen. Di premis-premis di Temerloh sebagai contoh sudah diserbu beberapa kali tetapi mereka masih lagi beroperasi. Kenapa tidak kali ketiga atau kali keempat itu batalkan sahaja permit perniagaan mereka itu walaupun berselindung disebalik salon, cafe dan seumpamanya. Jadi saya minta penjelasan daripada pihak kerajaan.


DATUK NUR JAZLAN BIN MOHAMAD [Timbalan Menteri KDN] Terima kasih Yang Berhormat Temerloh.

Soalan itu soalan baik, tetapi tidak ada kena mengena dengan Kementerian Dalam Negeri. Soal hendak mengharamkan judi secara keseluruhan itu dibawah kementerian lain. Akan tetapi saya hendak ulas sedikit mengenai pandangan dari Yang Berhormat Temerloh, iaitu mengenai kenapa tempat - tempat judi yang tidak berlesen ini berkali - kali diserbu, tetapi ia masih boleh beroperasi semula ditempat judi yang sama.

Jawapan terletak pada kerajaan negeri yang menguasai pihak berkuasa tempatan kerana kebenaran untuk menggunakan premis tersebut terletak kepada kuasa PBT. Jadi kalau PBT tidak boleh ambil tindakan untuk menyita, kalau ada tempat-tempat yang digunakan untuk aktiviti judi yang tidak berlesen ini, sepatutnya pihak PBT menggunakan kuasa mereka dibawah Akta PBT untuk menutup lokasi tersebut.

Polis hanya buat penguatkuasaan, kita buat raid, selepas itu kita rampas, tetapi kita tidak ada kuasa hendak tutup tempat tersebut atau sita tempat yang telah dikenal pasti sebagai tempat untuk melaksanakan judi tanpa lesen ini.

Jadi saya rasa selepas ini kementerian pun, seperti saya sebutkan tadi dalam jawapan saya, kita telah menghantar dua nota makluman kepada Mesyuarat Menteri Besar supaya isu ini dapat ditangani secara bersama oleh Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri supaya tempat-tempat judi tanpa lesen ini agar dapat diambil tindakan yang efektif dan ditutup supaya mereka tidak diberi peluang untuk beroperasi semula.

Sekian Terima Kasih.

1 comments:

JAMBORI AMAL SELANGOR BERJAYA CIPTA SEJARAH

Laporan Media
Oleh: Pegawai Media DPPNS
shahrilrizal@pas.org.my

JAMBORI AMAL SELANGOR BERJAYA CIPTA SEJARAH

SABAK BERNAM - 250 peserta Jambori Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor semalam telah melabuhakan tirai dengan jayanya. Kekuatan anggota yang hadir pada jambori kali ini telah membawa kesan yang sangat besar khususnya di kawasan kampung Binjai, Tg Medan Sabak Bernam.

Sabak Bernam bukanlah kali pertama dipilih sebagai tuan rumah tetapi sebelum ini Sabak Bernam pernah dua kali menjadi tuan rumah jambori pada suatu ketika dahulu. Kini ianya kembali dengan lebih menarik kerana diadakan di Tanah Perkuburan Lama Kampung Binjai. Tapak ini telah diwartakan oleh Muzium sebagai salah satu lokasi bersejarah kerana masih terdapat tinggalan nisan dan beberapa barang lama seperti tembikar.

Jambori kali ini telah disusun dengan beberapa program bagi mendekatkan diri dengan masyarakat luar bandar antaranya ziarah kebajikan, gotong royong, kenduri rakyat dan sukaneka. Disamping itu juga para peserta diberikan pengisian tarbiyah yang disusun baik oleh sekretariat program. Antara yang menyampaikan pengisian pada Jambori kali ini ialah Ust Khalid Nayan yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Klang.

Dalam masa yang sama Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor sempat melancarkan produk terbaru mereka "A Day For Charity" yang disempurnakan serta disampaikan oleh Ust Razali Shaari selaku Penyelaras DUN Sg Panjang dibeberapa buah rumah yang dikenalpasti sebelum ini sebagai golongan yang kurang berkemampuan. Turut bersama beliau menyampaikan sumbangan ialah Ust Hanafi Zulkafli selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor yang juga Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor.

Hadir sama dalam jambori ialah Ust Syarhan Humaizi Abd Halim selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor. Dalam ucapannya berkata walaupun program ini terlalu singkat selama tiga hari terlalu singkat tetapi ia mengajar kita beberapa perkara sebagai bekalan untuk dibawa ke kawasan masing masing. Sematkan keikhlasan dan pengorbanan didalam diri seperti mana yang berlaku pada sahabat sahabat kita di negara luar yang sedang diuji.

Para pemuda "Wajib" melaksanakan arahan yang diperturunkan hari ini, Kata Beliau.

Turut hadir dalam upacara perasmian penutup ialah YB Dato' Iskandar Abdul Samad yang merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) Pusat. Bersama beliau ialah Ust Solihin Muhkyi yang merupakan ADUN Sabak.

1 comments:

Presiden PAS berucap pada majlis penutupan Persidangan Belia Islam Sedunia


Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang juga Presiden Parti Islam SeMalaysia, Syeikh Abdul Hadi Awang berucap pada majlis penutupan Persidangan Belia Islam Sedunia anjuran IYFO.

Beliau juga turut berucap pada persidangan Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi (ESAM) yang diadakan di Istanbul, Turki bersama pimpinan gerakan Islam yang lain.






0 comments:

Pemuda PAS Permatang Pauh Anjur Kem Remaja Istiqamah 2015

Kulim, 28 Novemvber 2015 : Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh telah berjaya menganjurkan Kem Remaja Istiqamah pada 28 hingga 29 november yang lalu bertempat di Sungai Kob, Kulim. Kem tersebut telah berjaya diadakan dengan penyertaan seramai 17 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak ahli PAS di sekitar Pulau Pinang yang berumur dari 13 hingga 16 tahun.

Program diadakan bertujuan untuk melahirkan kader-kader baru dari kalangan anak-anak ahli pas di samping memperkenalkan Islam sebagai cara hidup kepda para peserta. Sepanjang program ini berlangsung para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kuliah agama, ikatan bertali, futsal, berenang dan banyak lagi. Para peserta turut berpeluang mendengar pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Fadhli Ibrahim, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Pahang yang didatangkan khas dari Pahang untuk memberikan pengisian kepada para peserta.

Rata-rata peserta mengatakan program ini berjaya mendidik mereka untuk mengikuti sunnah Rasulullah dan para Sahabat di samping mendidik mereka untuk menjadi pejuang Islam pada masa akan datang. Mereka juga mengatakan keinginan untuk menyertai program ini lagi pada masa akan datang.

Majlis penutupan kem telah disempurnakan oleh Ustaz Shafirol Rozali, Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh

1 comments:

Masalah jalan di luar bandar Sarawak perlu perhatian

MIRI – Walaupun peruntukan berjuta-juta ringgit telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk membina jalan perhubungan di Sarawak tetapi masalah jalan teruk masih lagi wujud di kawasan luar bandar.
Masalah jalan di kawasan luar bandar Sarawak masih lagi jadi isu yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa. Jalan yang teruk dan berlubang banyak terdapat di kawasan luar bandar dan diantaranya ialah perkampungan Bulau di Peninjau dalam parlimen Sibuti.

Jalan yang sepanjang 6.5 KM dari jalan simpang utama dari Miri ke Bintulu telah lama dalam keadaan berlobang. Keadaan jalan bertambah teruk terutama waktu musim hujan. Jalan berlopak dan sukar untuk kenderaan kecil melalui jalan tersebut ketika hujan lebat.

Majoriti penduduk di kampung Bulau adalah kaum Melayu dan terdapat juga kaum etnik lain di situ. Kebanyakan mereka adalah petani. Mereka berharap pihak kerajaan dapat menurap jalan berlubang tersebut untuk memudahkan mereka menghantar anak mereka ke sekolah dan juga memudahkan mereka berulang alik ke tempat kediaman mereka.


Kita mengesa pihak yang berkuasa menggunakan peruntukan bajet untuk jalan luar bandar digunakan sepenuhnya. Jangan hanya menunggu waktu pilihan raya barulah pihak tertentu menggunakannya untuk tujuan memancing undi. Kita yakin peruntukkan yang sedia ada sudah cukup untuk menurapkan semua jalan di luar bandar Sarawak sekiranya pihak yang berkenaan memantau setiap projek yang sudah mendapat kelulusan.

Kerjasama dengan pihak berkenaan untuk mengatasi masalah ini dengan menurapkan jalan tersebut dengan segera amat dihargai agar penduduk di kampung tersebut dapat melalui jalan tersebut dengan selamat dan selesa.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

------------------------------------------------------------------------------

English version

The problems of rural roads in Sarawak need attention

MIRI - Although the provisions of millions of ringgit was approved by the federal government to build roads in Sarawak but the problem of severe road still existing in rural areas.

The problems of roads in the rural areas of Sarawak are still an issue that needs to be addressed by the authorities. The poor road and perforated is widely existing in rural areas and among them is the village of Bulau at Peninjau in Sibuti parliamentary.

The road along 6.5 kilometers from the main road junction from Miri to Bintulu has long been in perforated condition. The potholes road and difficult for small vehicles through the road during heavy rain.

The majority of the population in Bulau village are Malays and other ethnic groups are also there.
Most of them are farmers. They hope the government can pave the perforated roads to facilitate them send their children to school and also make it easier for them to commute to their home.

We urge the authorities to use the budget allocation for rural roads fully utilized. Do not just wait for election time then the certain parties use it for the purpose of votes. We believe that the existing provisions are enough to tar all the roads in Sarawak rural if the parties concerned monitor every project that has been approved.

Cooperation with the relevant authorities to address this issue to tar the road immediately is highly appreciated so that the villagers of the village able to pass through the road safely and comfortably.

Yours faithfully
Jofri Jaraiee
Sarawak PAS Commissioner cum Miri PAS Chief

1 comments:

PAS Kota Belud Anjur Majlis Berkhatan Nusantara (Siri 1)

Kota Belud, 28 Nov- Majlis berkhatan nusantara anjuran PKB mendapat sambutan meriah dgn kehadiran kira-kira 50 org ibu bapa dan anak- anak dari beberapa buah kampung sekitar DUN Tempasuk dan DUN Usukan seperti Kg. Kagurahan, Kg. Pintasan, Kg. Kota Belud, Kg. Rampaian Ulu, Kg Kawang Kawang dll.
 
Majlis khatan ini dijayakan oleh sukarelawan medic dengan kerjasama Lajnah Kebajikan Pas Negeri dan Kawasan Kota Belud.
 
Difahamkan sukarelawan medic datang dari seluruh negara turut mengadakan program sama di daerah terpilih d negeri Sabah sebagai acara tahunan.
 
Pas Kawasan KB mengucapkan setinggi penghargaan kepada pasukan sukarelawan medic yang sedia berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas tanpa mengenakan sebarang bayaran.
 
Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Sabah, Ust Awang Laiman dan beberapa pimpinan Pas kawasan yang lain.
 
Unit Amal dan Muslimat Kawasan turut menyediakan jamuan dan tayangan video untuk kanak- kanak serta tetamu yang hadir.

Disunting oleh: Media IT PAS SABAH

0 comments:

Resolusi Tamrin Qiyadi Ulama Peringkat Kebangsaan

Resolusi Tamrin Qiyadi Ulama Peringkat Kebangsaan
RESOLUSI
TAMRIN QIYADI ULAMA PERINGKAT KEBANGSAAN 

Tamrin Qiyadi Ulama Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada 15 & 16 Safar 1437 H bersamaan 27 & 28 November, 2015 M bertempat di Markaz Dewan Ulama (MADU) PAS Kelantan dengan ini mengisytiharkan bahawa:

PERTAMA:
Beristiqamah dengan Aqidah Perjuangan Islam yang didokong oleh PAS dan mengikuti manhaj tarbiahnya sehingga mencapai kemenangan.

KEDUA:
Memberikan kesetiaan (wala’) dan ketaatan kepada kepimpinan Jemaah Islam selama mana tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Al-Sunnah.

KETIGA:
Berperanan untuk memperkukuhkan tarbiah di semua peringkat, bagi memastikan kemenangan PAS dalam PRU 14 akan datang.

KEEMPAT:
Menghayati Arkanul Bai’ah untuk memastikan kepimpinan ulama memiliki ciri-ciri pendukung Gerakan Islam.

KELIMA:
Mendukung Kepimpinan Ulama yang sedang mentadbir kerajaan negeri Kelantan dan bersama mempertahankannya dari sebarang anasir yang cuba untuk menjatuhkannya.

KEENAM:
Wajib beramanah dalam perjuangan Islam dan dilarang sama sekali mengkhianatinya.

KETUJUH:
Hendaklah yakin bahawa Allah pasti akan memberikan kemenangan kepada mereka yang membantu agamaNya.

KELAPAN:
Hendaklah memahami konsep tahaluf siasi yang diputuskan oleh pimpinan dan memahamkannya kepada masyarakat.

 “BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

1 comments:

Catatan Dhuha 30 November 2015



Pas sentiasa terbuka menerima teguran daripada mana-mana pihak, samaada kawan atau lawan. Setiap teguran yang membina, Pas akan memperbaiki. Orang yang memberi teguran jangan pula hendak memaksa Pas menerima teguran dalam apa keadaan sekali pun. Kerana Pas akan mempertimbangkan teguran berdasarkan kepada tuntutan syarak dan politik.


Ust Idris Hj Ahmad 
18 Safar 1437 / 30 November 2015 
Isnin.

Original by:

1 comments:

E-rokok:Penawar atau Racun?

Berkata benarlah walaupun kebenaran itu amat pahit untuk didengari.

E rokok atau vape adalah rokok elektronik yang mula viral dan menjadi ikutan terutama di kalangan perokok tegar yang ingin menghentikan tabiat merokok.

Walaupun tidak ada kajian sahih yang mengesahkan hal ini,fakta dangkal ini dipegang oleh setiap penggemar vape bagi 'menghalalkan' tabiat baru mereka.
Malangnya,Vape bukan sahaja diminati oleh bekas perokok tegar malah ia mula menular di kalangan remaja sekolah dan wanita muslim yang tanpa segan silu menunjukkan kepakaran mereka menikmati vape.Malah pesta vape atau VapeFest telah berjaya dianjurkan.
Benar, bahan berbahaya di dalam vape itu kurang berbanding rokok.Benar juga apabila dikatakan asap atau wap yang dihasilkan tidak berbau seperti asap rokok.Lalu,apa yang bahayanya tentang e rokok ini sehingga menarik perhatian pihak Majlis Fatwa Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, para doktor yang tampil memberi pandangan dan Menteri Kabinet itu sendiri.

Cecair vape terdiri dari 4 bahan utama iaitu:
1. Propylene glicol (digunakan sebagai pelarut atau pewarna dalam pembuatan makanan seperti kek)
2.Vegetable glycerine (digunakan sebagai pemanis di dalam makan,ubat ubatan & bahan kosmetik)
3. Perasa(menambahkan kenikmatan pengguna)
4.Nikotin (ubat perangsang semulajadi yang jika diambil berlebihan boleh menikmatkan tekanan darah dan jantung).
Jika dibandingkan, sememamngnya bahan-bahan ini kurang mudarat berbanding rokok biasa.Jadi,mengapa ia menjadi perdebatan?

Bahayanya vape ini terletak kepada kandungan nikotin di dalamnya.Jumlah kepekatan nikotin adalah berbeza-beza.Ada yang hanya berkepekatan rendah iaitu sekita 6-8mg untuk setiap 1mL cecair, ada yang berkepekatan tinggi iaitu 16-18mg bagi setiap 1mL dan ada yang berkepekatan ekstra tinggi iaitu sekitar 24-36 mg untuk setiap 1mL cecair. Namun, kenyataannya dengan hanya mengambil 60mg nikotin boleh membawa maut kepada seorang dewasa yang bukan perokok. 120mg nikotin pula boleh membunuh seorang perokok dewasa.

Pada 2009,Jabatan Kesihatan Kanada telah mengeluarkan kenyataan tidak menggalakkan penggunan e rokok ini.Malah,Singapura telah mengharamkan penjualan dan pembelian e rokok ini.

Tindakan pantas Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan e rokok ini amat bertepatam dan berdasarkan 3 faktor utama iaitu ia membahayakan kesihatan, membazir wang dan memudaratkan diri. Meletakkan keutamaan menangani isu ini bagi kemaslahatan ummah amat penting walaupun terpaksa menghadapi kecaman pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Fatwa ini.Walaupun Kabinet membuat keputusan untuk tidak mengharamkan Vape,namun Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah bijak dengan menguatkuasakan penjualan cecair nikotin di bawah Akta Racun 1952,Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik 1984 di mana penjualan cecair ini hanya boleh dibuat oleh ahli farmasi dan pengamal perubatan berdaftar sahaja.Semoga dengan langkah ini,kemudaratan akibat penggunaan nikotin secara berleluasa dapat dikurangkan.

Bagi pihak DMPM,isu ini amat serius untuk diambil peduli oleh komuniti. Tindakan tegas bagi menghalang penularan aktiviti tidak sihat dengan menghisap Vape,shisha mahupun rokok amat penting kerana dengan dasar langit terbuka yang dipraktikkan di hampir serata dunia memudahkan akses kepada pembelian bahan memudaratkan ini kepada remaja malah kanak-kanak juga.Tidak ada satu jaminan bahawa pembelian e rokok ini dapat dihalang dari dibeli oleh golongan muda. Malah akibat kekurangan maklumat berkaitan cecair dan penggunaan Vape ini akan mendedahkan pembeli yang naif akan mudah ditipu oleh pihak penjual yang hanya memikirkan keuntungan dan mengenepikan soal integriti dalam berjual beli.

Malah, pelajar sekolah bebas membeli Vape ini akibat harganya yang lebih murah serendah RM50. Guru dan ibu bapa juga sukar mengenalpasti kegiatan ini berlaku di kalangan anak dan pelajar mereka kerana baunya tidak sekuat bau asap rokok. Malah terdapat Vape yang mana reka bentuknya dicipta seperti bentuk sebatang pen.Jika sekilas pandang,agak sukar mengenalpasti antara Vape dan sebatang pen biasa.

Suara seorang menteri Kabinet yang berlagu mempertahankan industri baru ini amat dikesali. Dengan hanya memandang keuntungan dari aspek perniagaan sahaja memperlihatkan kurang kajian dan penyelidikan mendalam beliau terhadap seriusnya hal yang sedang berlaku ini. Keuntungan perniagaan hari ini mungkin menyumbang kepada kerugian jiwa anak bangsa satu hari nanti. Ketika itu,penyelesaian dan langkah pencegahan adalah satu amalan yang tidak ada maknanya.
Tepuk dada tanyalah iman.


Wan Hasrina bt Wan Hassan
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM)

0 comments:

PAS Gesa Kerajaan Kemuka ‘Blue Print’ Tahap Sara Diri Padi 100%

Kenyataan Media Penerangan. Siri 48
PAS Gesa Kerajaan Kemuka ‘Blue Print’ Tahap Sara Diri Padi 100%
Oleh : Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Tarikh : 15 Safar 1437 / 27 November 2015

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa kerajaan menyediakan satu blue print khas untuk memastikan tahap sara diri beras tempatan 100% menjelang tahun 2020. Peruntukan perbelanjaan bagi industri padi dan beras tahun 2016 sebanyak RM 70.1 juta kurang RM 500,000 daripada anggaran tahun 2015.
2. Blue print ini perlu dikemukakan berikutan cabaran industri padi dan beras berhadapan dengan cabaran getir. Sekiranya kerajaan tidak komited menanganinya, rakyat akan berdepan dengan ancaman kemerosotan bekalan beras tempatan. Hari ini, negara bergantung sebanyak 70% kepada bekalan tempatan.
3. Bagi memenuhi keperluan 30% bekalan beras, kita menjadi pengimport bersih daripada Thailand dan Vietnam. Malaysia akan berdepan dengan cabaran permintaan yang kompetetif kerana faktor ketidaktentuan cuaca dan kemuruduman nilai ringgit. Tidak mustahil harga pasaran akan melambung tinggi.
4. Kawasan penanaman padi juga semakin berkurangan. Pada tahun 2012, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengakui sebanyak 100,000 hektar kawasan sawah padi telah ditukar kepada penanaman lain dan untuk tujuan pembinaan lot komersial dan residen. Kini, kawasan penanaman padi hanya 0.68 juta daripada 6.5 juta hektar tanah pertanian sahaja.
5. Oleh itu, blue print ini sebagai garis panduan penting dan komitmen negara untuk mencapai tahap sara diri 100% dengan mengatasi cabaran yang berlaku pada hari ini. Sekurang-kurangnya peningkatan pengeluaran padi dan kecekapan pengeluaran mesti melebihi 4.5 juta metrik pada tahun 2020 selaras dengan pertumbuhan penduduk di negara ini.

Sekian, terima kasih.

0 comments:

UMNO Lebih Baik Fokus Pertahankan Kerajaan Pusat

Saya baca kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Dato Seri Mustapa Mohamed yang menyebut bahawa sekarang ialah masa yang paling sesuai untuk UMNO merampas Kelantan. Saya kira kenyataan ini agak terpesong dari realiti sebenar yang berlaku hari ini.

Situasi sekarang ialah UMNO sudah sangat tenat dan tidak pernah UMNO mengalami krisis sebegini di dalam sejarah. Keyakinan rakyat tehadap kemampuan UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap yang sangat rendah ekoran situasi ekonomi yang sangat tidak menentu. Nilai mata wang ringgit Malaysia yang diniagakan dengan nilai yang sangat teruk membayangkan keyakinan pelabur asing juga berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Menteri yang bertanggungjawab berhubung perdagangan antarabangsa wajar melihat ini sebagai agenda utama. Sekadar yakin untuk merampas Kelantan bukanlah satu perkara baru bahkan menjelang pilihanraya umum 2008, UMNO Kelantan pernah menabalkan bakal 'Menteri Besar' yang hari ini telah hilang dari landskap politik.

Justeru, saya kira UMNO fokuslah kepada usaha pertahankan kerajaan pusat terlebih dahulu. Majoriti 47 undi di DUN Ayer Lanas dalam pilihanraya umum yang lalu bukanlah tiket yang selesa untuk Dato Seri Mustapa bercakap tentang merampas Kelantan. Tambahan pula krisis dalaman UMNO yang cukup kuat sehingga mewujudkan 'pasukan Najib' dan 'pasukan Muhyidin', hampir pasti ia akan mencetuskan implikasi sendiri menjelang pilihanraya umum nanti.

Pemuda PAS sedia menyahut cabaran, Insya Allah Kelantan kita kekalkan bahkan UMNOlah yang wajar bersiap sedia untuk menjadi pembangkang di peringkat nasional nanti.

Pertahankan Kelantan itu tidak semudah slogan, ia wajib dibuktikan dengan kerja keras!


AHMAD FADHLI SHAARI,
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 29 November 2015

1 comments:

Suami, Isteri dan Perjuangan

SUAMI , ISTERI DAN PERJUANGAN
Perjuangan menegakkan agama tentunya menjadi tujuan utama bagi setiap Muslim. Dalam meraih tujuan ini diperlukan kerjasama solid antara suami isteri karana hal ini bukanlah perkara mudah.
Justeru, bagaimana agar suami isteri boleh bekerjasama untuk sebuah perjuangan besar bernama iqamatuddin? Setidaknya mesti ada tiga syarat berikut ini.

1) Berlapang dada.
Karana persoalan-persoalan yang kita hadapi dalam perjuangan ini jelas panjang dan berat, langkah pertama kita adalah fokus. Fokus bahawa kita punya persoalan besar. Maka, sebaiknya perkara-perkara yang kecil dalam rumahtangga tidak kita jadikan perkara besar. Itu diperlukan berlapang dada menjadi pemaaf kepada kekurangan suami atau isteri.
Misalnya dalam sebuah keluarga, isteri merasakan layanan yang kurang dari suaminya, atau sebaliknya. Maka, berlapang dadalah. Jangan terlalu sibuk dalam urusan-urusan yang sebenarnya masih boleh toleransi. Mengapa? Karana kita menghadapi persoalan yang lebih besar lagi. Iaitu persoalan perjuangan menegakkan agama Allah.
Yang penting kekurangan-kekurangan itu tidak sampai melanggar syari’at. Seperti hanya persoalan-persoalan selera atau hal yang sederhana.Misalnya kelengkapan rumah yang kurang, perkara-kecil yang terlepas pandang, tak dapat bawa keluarga pergi melancong 5 kali setahun, tak dapat beli perhiasan isteri seperti orang lain dan sebagainya. Untuk persoalan-persoalan sederhana seperti itu, hendaklah berlapang dada. Marilah kita fikirkan persoalan yang jauh lebih besar daripada itu.
Kita mesti bersabar. Karana apa? Sekali lagi, karana kita punya persoalan yang jauh lebih besar daripada hanya sekadar urusan-urusan yang seperti itu.

2) Ada kerjasama yang baik antara suami isteri dalam urusan-urusan yang berhubungan dengan perjuangan menegakkan agama Allah.
Masing-masing suami isteri itu punya harapan kepada pasangannya. Harapan bahawa kehidupan keluarga itu akan harmoni. Tetapi bila ada sedikit kekurangan dari pasangan kita, cubalah kita fahami. Yang penting sekali boleh diajak membantu untuk perjuangan jihad pada jalan Allah.
Jika isteri boleh menjadi partner perjuangan, insya Allah boleh juga menjadi isteri yang baik buat suami. Sebab perjuangan kita dijamin Allah SWT.
Jika perkara yang kecil diambil kira dan menolak mentah-mentah perkara yang besar. Maka dibimbangi terjadi seperti disinggung ayat di bawah ini:
“Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu mengkhianati suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): “Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)” (At-Tahrim: 10).
Ada wanita yang Allah jadikan contoh sebagai pengkhianat , iaitu isetri Nabi Nuh AS dan isteri Nabi Luth AS. Isteri Nuh dan isteri Luth yang berada di bawah asuhan dua hamba Allah yang saleh lagi nabi, tetapi mereka mengkhianati kedua-duanya. Mereka bukan menghianati sebagai isteri. Tapi mengkhianati dalam hal apa?
Isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth itu disebut khianat kepada suami-suaminya, bukan karana tidak melakukan kerja-kerja rumah atau seumpamanya. Sebagai partner dalam rumah tangga, sebagai isteri, mereka partner yang baik. Mereka isteri yang baik. Tapi mari kita lihat dalam tafsir ayat tersebut.
Isteri Nabi Nuh AS disebut khianat kepada Nabi Nuh karana satu masalah saja: Terpengaruh dengan orang ramai mengatakan Nabi Nuh gila. Sementara isteri Nabi Luth AS dianggap sebagai pengkhianat, juga bukan karana abai tanggungjawab sebagai isteri. Tetapi karana ia memberi tahu orang kampung bahwa ada tamu yang datang ke rumahnya. Itu saja. Cuba kita renungkan!
Persoalannya tidak ada husnu ta'awun dari kedua isteri tersebut. Tidak ada kerjasama yang baik dalam menegakkan agama Allah SWT. Itulah yang kemudian mereka digelar Allah SAW sebagai penghianat.

3) Menyebarkan perkara-perkara yang positif (ijaabiyaat) dan berdiam diri terhadap kelemahan-kelemahan, aib-aib dan perkara-perkara yang buruk.
Kalau ada orang datang membicarakan sesuatu yang membuat para pejuang, atau seorang pejuang, atau keluarga pejuang itu menjadi sedih, kecil hati, terasa dihina, jangan kita layan! suruh pulang saja orang yang seperti itu.
Kalau ada jaringan twitter, facebook dan SMS yang menyebarkan gosip dan perkara-perkara yang tidak jelas, fitnah terhadap seorang pejuang, diviralkan, sehingga tercipta satu pandangan umum yang tidak baik maka itu adalah racun.
Sebarkanlah perkara-perkara positif, perkara yang baik dan kita berdiam diri terhadap perkara-perkara yang buruk dan aib pasangan kita.

Catatan istiqamah,

Akmal hj Kamarudin
Hospital Taiping
27 Nov 2015

0 comments:

Rakyat Semakin Celik Pentingnya PAS Meneraju Perubahan

Kelmarin ada 3 perkara yg menarik dan meransang minda saya berhubung politik negara yang dinamik sifatnya.

Pertama adalah laporan Malaysian Insider yang diketahui media kegemaran Pakatan Harapan bertajuk "Cheers For PAS Reflects Grassroot's Sentiment". Ia menceritakan suasana di Kongres PKR kelmarin ketika nama parti PAS disebut, delegasi yang mewakili akar umbi PKR di seluruh negara memberikan tepukan gemuruh berbanding bila disebut DAP dan PAN yang hanya diberikan 'mild claps' atau tepukan ala kadar.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bila ditanya wartawan berhubung senario itu langsung tidak berselindung bila berkata itulah gambaran sentimen akar umbi PKR.

Perkara kedua adalah semakin meningkatnya tentangan dan kritikan terbuka dibuat oleh pemimpin pemimpin DAP sendiri dan masyakat cina terhadap kepimpinan tertinggi DAP yang diketuai oleh anak beranak Lim.

Kelmarin saya menerima beberapa foto menunjukkan sepanduk yang dipegang oleh sekumpulan rakyat dari kaum Cina yang saya percayai berlaku di Pulau Pinang. Sepanduk itu dengan keras meminta Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang supaya pulang saja ke Melaka. Ini mungkin babak awal tantangan masyarakat cina tempatan kepada kepimpinan Lim itu. Dalam masa yg sama saya menerima foto sepanduk yg lain yang diinsiden yang lain dipegang oleh sekumpulan kaum Cina yang mempertahankan ADUN DAP yang kini diberikan tekanan meletak jawatan hanya kerana melaksanakan amanahnya bersuara demi kepentingan pihak rakyat yang diwakilinya.

Ini konsisten dengan tamparan keras yang diberikan oleh bekas Pengerusi DAP Johor yang dengan lantang menyatakan perasaan kesal kerana membuka pintu kepada pemimpin DAP Pusat masuk ke Johor. Beliau menggelarkan pimpinan DAP Pusat sebagai "Soviet Madhouse" yang terjemahan literalnya Rumah orang gila Soviet. Soviet adalahq sebuah negara komunis diera Soviet Union sebelum berlaku perpecahan yang mewujudkan negara negara seperti Rusia, Ukraine dan lain lain. Pengerusi DAP Kedah pernah menyebut perkara yang sama.

2 hari lepas, Dr. Bala Chandran, Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat menalipon saya dengan nada yang amat ceria. " Tuan Hj, I'm on the way back from a programme in Kerteh. I have a great news for you!!!" Saya teruja dan tanya apa dia berita besar itu dan dia minta saya tunggu sebab nak ceritakan secara berdepan.

Dr. Bala hadir ke Surau Al Ikhlas Durian Burung diprogram pelancaran Persatuan Kepolisan Komuniti oleh Timbalan Ketua Polis Terengganu dan bercerita kepada saya bahawa dia didatangi oleh seorang penyokong dan pendokong tegar DAP (beliau menyebut staunch supporter), yang tiba tiba memberitahu Dr Bala bahawa dia baru sedar setelah berfikir panjang bahawa untuk selamatkan Malaysia, tak boleh tanpa PAS. Mesti PAS yang berada dihadapan. Tanpa PAS takkan berjaya. Kalau ada PAS tapi PAS duduk belakang sebagai pak turut pun tak jadi juga. Mesti PAS dilihat berada dihadapan. Baru boleh berjaya dan dapat sokongan yang cukup untuk tumbangkan BN yang rosakkan negara!

Saya tanya Dr Bala, yang berkata demikian, pendokong DAP dari kaum India kah? (sebab saya tahu ada gelombang besar penolakan kepimpinan keluarga Lim dikalangan ahli DAP dari kaum India).

Saya teruja bila dijawab tidak, orang berkenaan seorang DAP dari kaum Cina. Allahu Akbar!

Peristiwa ke tiga kelmarin saya dimaklumkan berlangsung satu program utama PAN peringkat nasional di Selangor. Mungkin dibayangi berita berita perkembangan dalam PKR dan DAP, saya dilaporkan kesugulan, suasana hambar dan tidak ceria dan aura negatif yang mungkin ditanggapi oleh yang berada disana membuat laporan dan liputan.

Bayangan tahap ketidakpastian halatuju semakin jelas. Tak apalah. Ini karakter golongan kecewa yang sudah berulang ulang kisah sepertinya dalam lipatan sejarah.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kelihatannya sedikitpun tidak terganggu dengan kenakalan para 'pembencinya'. Sekalipun ditohmah sudah hilang upaya kononnya kesan dari jatuh sakit yang lalu, fikiran murobbi ini sudah 'tidak sihat', ternyata buah buah pemikirannya semakin tajam, tepat dan semakin diminta oleh masyarakat antarabangsa. Bulan ini saja berucap untuk ratusan ribu pendokong gerakan Islam di Bangladesh, sekarang tetamu utama di Turki.

Saya yakin segala perencanaan Allah SWT yang sedang dizahirkan satu persatu adalah amat besar hikmahnya kepada kita semua.

ISTIQOMAH HINGGA KEMENANGAN

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
29hb November 2015

0 comments:

Jabatan Amal Pahang Bersiap Hadapi Banjir

MARAN: Yayasan Amal Malaysia Pahang mula bersiap-sedia dengan kelengakapan yang sesuai bagi menghadapi musim banjir kali ini.

Di Maran Yayasan Amal Malaysia Pahang melancarkan sebuah bot yang bakal digunakan bagi membantu mangsa bajir.

Majlis pelancarannya di sempurnakan oleh pengerusi  Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang Nasrul Amir Abdullah dalam satu majlis ringkas di Jeti Bandar Lama Cenur semalam.

Bot berkenaan boleh membawa tujuh orang penumpang dalam satu masa.
Timbalan pengerusi Yayasan Amal Pahang, Ustaz Ramli Abdul Rahman berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada para penderma atas sumbangan pembelian enjin bot berkenaan yang berharga sekitar RM10,000.

“Dengan adanya bot berkenaan akan memudahkan pihaknya membantu mangsa banjir di kawasan parlimen Maran khususnya Chenor yang sering mengalami banjir pada hujung tahun,” katanya.

Sementara itu di Kuantan, PAS melancarkan jentera bantuan banjir PAS dan Unit Amal Kuantan di Masjid al-Fatah yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Sulaiman Md Derus.

Kuantan adalah antara daerah yang sering dilanda banjir sebagaimana yang berlaku pada tahun 2013 apabila sebahagaian bandar itu lumpuh kerana di tenggelami air.

Bagaimanapun pada 2014, Kuantan tidak mengalami banjir besar yang melanda Pahang.

Hampir kesemua jentera Unit Amal PAS Pahang sudah diarah bersiap sedia membantu mangsa banjir sekiranya melanda negeri itu. - HARAKAHDAILY 27/11/2015

1 comments:

Parti Politik Dan Kerajaan Bukan Perkara Yang Sama.

Parti Politik Dan Kerajaan Bukan Perkara Yang Sama.
Kadang kadang, rakyat biasa yang kurang faham konsep bernegara dan politik demokrasi ni tak faham.

Mereka ingat jadi pembangkang ni maksudnya lawan kerajaan. Bermusuh dengan polis, bermusuh dgn mahkamah, bermusuh dengan askar. Habis pandang hodoh semuanya SPRM, JPJ, KASTAM, kakitangan kerajaan negeri.

Sebab mereka didoktrinkan seolah-olah kerajaan itu UMNO, UMNO itu kerajaan.

Itu tak betul. Parti politik dan kerajaan bukan perkara yang sama.
Jika PAS dan rakan rakan parti politik dan ngo yg bergabung membentuk kerajaanpun, masih lagi jentera kerajaan yg sama juga.

Polisnya PDRM juga. Askarnya TDM, TLDM,TUDM juga. Mahkamah-mahkhamah yang sama. Kakitangan awam yang sama. Jabatan jabatan itu juga.

Yang berbeza adalah pemimpinnya yg datang dari parti politik yang menang.

Jika pemimpin datang dari parti yang dasarnya tak betul, amalannya korup maka habis jentera kerajaan terdedah kepada gaya kepimpinan pemimpinnya.

Pegawai dan kakitangan patuh dan menurut arahan saja. Sebahagian kecil mungkin terjangkit penyakit hodoh yg sama. Bukan semua gembira dan suka dipaksa buat kerja tak betul.

Jika kita pilih parti yg bersih, berpegang pada agama dan nilai moral yg baik, insyaAllah pemimpinnya pun baik.

Belanjawan RM267Billion yg diurus oleh pemimpin yang jujur dan takutkan Tuhan akan lebih merata manfaatnya kepada rakyat berbanding pemimpin yang datang dari acuan parti korup yg sama.

Kerana itu, jalinkanlah hubungan baik dengan jentera kerajaan kerana mereka pun rakyat juga.

Lebih manis kita jalinkan hubungan hari ini ketika kita belum membentuk kerajaan berbanding setelah menang baru nak bermula hubungan baik.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
27HB NOVEMBER 2015 

1 comments:

Solat hajat, munajat elak bah besar - MB Kelantan



KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan mengajak rakyat negeri ini solat hajat dan munajat bagi memohon kepada Allah Taala supaya dielakkan daripada berlakunya bah besar seperti tahun lalu.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata solat hajat boleh diadakan di masjid atau surau di kampung masing-masing.

“Hanya Allah yang berkuasa di atas segala sesuatu. Kita sekarang berada di musim tengkujuh dan persiapan sewajarnya perlu dibuat dengan baik oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pekeliling Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 24 November lepas menjangka berlaku hujan lebat peringkat kuning di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 26 hingga 28 November ini.

Bagi menghadapi kemungkinan banjir akhir tahun ini kerajaan negeri turut menyediakan 4,269 anggota penyelamat bagi membantu mangsa banjir.

Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata anggota tersebut  terdiri daripada pasukan polis, Bomba dan Penyelamat,  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JPAM, Rela, Kastam, Marin, Jabatan Pengairan dan Saliran, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Briged Sukarelawan Bencana Negara.

Jawatankuasa khas berkenaan di bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi.

Bagaimanapun cuaca di Kota Bharu hari ini cerah dan kadang-kadang mendung. - HARAKAHDAILY 26/11/2015

1 comments:

PAS Selangor tetap pertahan kerusi yang dimenangi pada PRU-13


On 26-11-2015 12:11 
Written By Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar


KUALA LUMPUR : Meskipun belum lagi membuat sebarang keputusan berhubung calon untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, PAS Selangor tetap akan bertanding di kerusi yang dimenanginya, demikian tegas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa PAS Selangor belum lagi membuat sebarang keputusan tentang calon-calon pilihan raya umum yang akan datang.

"Begitu juga keputusan belum dibuat tentang kerusi-kerusi tambahan, sama ada Dewan Negeri atau Parlimen, yang mungkin ditandingi.

"Setakat ini PAS Selangor hanya membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya umum 2013.

"Oleh yang demikian, saya berharap tidak ada pihak yang akan membuat sebarang spekulasi," ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini DAP Selangor menyatakan kesediaannya untuk bertanding di lapan kerusi DUN milik PAS di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerusi-kerusi tersebut adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, parti itu yakin akan menang jika berlakunya pertandingan tiga penjuru.

Iskandar, yang merupakan ADUN Cempaka juga menggesa pihak luar tidak mudah mempercayai sebarang khabar angin yang mengaitkan beliau akan bertanding di kerusi-kerusi lain.

"Baru-baru ini terdapat khabar angin bahawa saya akan juga bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Karang atau Kota Raja selain dari kerusi Dewan Negeri.

"Mungkin ini terjadi kerana saya kerap ke kedua-dua kawasan tersebut," tegasnya.

0 comments:

PAS TERUS MEMANDU UMMAH

PAS TERUS MEMANDU UMMAH


"PAS sudah biasa dengan ranjau dan duri sepanjang perjalanan. Berbanding parti lain di Malaysia, beban PAS pasti lebih berat. PAS menjunjung citra politik dan citra dakwah. Kalau dalam politik kita belum berjaya, dakwah akan diteruskan selagi dunia ini wujud"

 
Inilah diantara pesanan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS semasa ucapannya dalam Program NEKAD 10.0 di Kota Kinabalu semalam. Di hadapan lebih 300 orang yang hadir, beliau menyatakan keyakinan dan kesungguhan bahawa PAS akan terus memandu ummah. Turut hadir adalah Dr. Ridhuan Mohd Nor Dan Ustaz Mokhtar Senik, kedua-duanya AJK PAS Pusat.

 
Dalam majlis yang sama, Dato' Tuan Ibrahim turut melancarkan sebuah NGO yang memperjuangkan isu tanah iaitu GENERASI. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berpandukan Al Quran tidak mungkin akan tunduk kepada kehendak manusia yang cuba meminggirkan Al Quran dalam perjuangan mereka. PAS akan terus berusaha mempamerkan kepada masyarakat akan kesempurnaan dan keindahan Islam.
 
Beliau juga berpesan kepada seluruh yang hadir agar memberi keyakinan sepenuhnya kepada pimpinan yang sudah dipilih. Semuanya telah melalui proses yang telah ditentukan oleh parti.

Di akhir ucapan, beliau menyatakan bahawa golongan kecewa akan terus wujud. Sepanjang sejarah PAS sudah beberapa kali golongan ini muncul. Itu adalah sebahagian daripada proses penyucian dan pematangan parti. Mereka yang berada dalam PAS kena terus berjuang dan memandu ummah.
 
Dr. Aliakbar Gulasan
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS Sabah,
AJK PAS Pusat.

1 comments: