Bantah lombong bauksit, penduduk ke parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan pusat digesa campur tangan dalam menangani perlombongan bauksit di Kuantan yang menimbulkan masalah kepada kerosakan harta awam serta membahayakan orang ramai.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar ketika dihubungi berkata, kegagalan kerajaan negeri dalam menangani isu perlombongan bauksit amat mengecewakan dan kerajaan pusat perlu mencari jalan penyelesaian.
"Hari ini kita hadir ke parlimen bagi membawa suara rakyat Kuantan yang semakin hari terancam dengan debu-debu serta kekotoran dari perlombongan bauksit.

"Kita mahu kerajaan mendengar suara rakyat Kuantan, namun apa yang kita dapati suara kita yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan di dalam parlimen tidak diterima oleh pihak kerajaan," katanya yang turut hadir pada penyerahan petisyen rakyat di bangunan parlimen hari ini.

Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur turut melahirkan kerisauan akibat daripada perlombongan tanpa kawalan itu.

"Apa yang kita risaukan sekarang ini telah berlaku, kemalangan meragut yang nyawa, isu membakar lori juga telah berlaku dan ini kerana penduduk sekitar sudah tidak boleh sabar dengan pencemaran.

"Kita juga dapati banyak jalan telah rosak termasuk sungai-sungai yang telah bertukar warna, menyukarkan nelayan-nelayan sekitar untuk menangkap ikan," katanya lagi.

Rosli juga berkata, isu perlombongan bauksit telah dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, namun jawapan yang diterima kerajaan negeri tidak dapat menangani sepenuhnya.

"Jawapan dari Menteri Besar mengatakan beliau sudah habis ikhtiar serta tidak boleh menangani masalah bauksit ini.

"Malah beliau turut mengatakan tidak cukup kakitangan untuk berhadapan masalah tersebut termasuk isu tonto, begitu juga pihak-pihak berkuasa yang lain seperti SPAD dan JPJ yang kekurangan kakitangan," jelas beliau.

Beliau yang menegaskan walaupun apapun alasan diberikan, isu bauksit itu perlu diselesaikan dengan segera termasuk menghentikan sementara aktiviti perlombongan bagi memberi ruang kepada kerajaan membuat kajian dalam spesifikasi terutamanya melibatkan kesihatan rakyat dan pencemaran.

0 comments: