Husam Diberi Enam Tarikh Baharu

Diterbitkan: 25 November 2015
KUALA LUMPUR - PAS hari ini memberi enam tarikh baharu kepada Bekas Naib Presidennya  Datuk Husam Musa untuk 'bersemuka' dengan Dewan Harian Pas Pusat.

Setiausahanya Datuk Takiyuddin Hassanberkata, penetapan tarikh itu adalah di antara 30 November ini sehingga 6 Disember 2015.

"Sepatutnya Husam hadir di hadapan Jawatankuasa Dewan Harian Pas Pusat hari ini untuk  memberi penjelasan kenyataan yang dibuat sama ada dalam ceramah mahupun dialog, berikutan dakwaan beliau bahawa presiden Pas  merancang tubuhkan kerajaan perpaduan.
"Untuk itu pada 17 November lalu kita utus surat kepada beliau tetapi tidak dapat maklum balas. Kemudian kita dapat maklum kenyataan beliau dari portal berita dan 'WhatsApp group' kata tarikh itu tak sesuai kerana beliau berada di China.

"Oleh itu saya telah hantar satu lagi surat pada tarikh 21 November dan surat itu saya telah email dan WhatsApp dan kita bagi enam tarikh untuk beliau pilih," katanya dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS Pusat hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai mesyuarat Dewan Harian Pas Pusat hari ini, Takiyuddin berkata mesyuarat hanya membincangkan hal berkaitan dalaman parti.

"Tiada isu berkaitan Husam, kerana beliau tiada, perbincangan hari ini adalah melibatkan hal  dalaman Pas," katanya.

Terdahulu, Husam diminta untuk hadir memberi keterangan berhubung kenyataannya mengenai usaha Presiden Pas Datuk Abdul Hadi Awang untuk memujudkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno di Selangor pada hari ini, namun Husam meminta tarikh baru atas alasan kesihatan.

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI - Sinar harian, 24 November 2015

0 comments: