
[MOTIVASI BUAT AHLI HARAKAH]
Kami cukup gembira melihat foto-foto yang dikongsikan oleh sahabat yang menyertai Jambori Jabatan Amal Negeri Johor semalam. Di kala kita diwar-warkan ribuan ahli membuat keputusan meninggalkan PAS, tiadalah penawar yang lebih mujarab melihat wajah teman-teman yang terus istiqamah membina PAS. Jabatan Amal terus istiqamah dengan tugas kebajikan dan kemasyarakatan mereka tanpa mengira kaum, agama mahupun latarbelakang politik. Ya, merekalah hero pada kaca mata kami.
Saban minggu, kita membaca laporan anjuran Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) DPPM yang sebelum ini kurang dikenali. Kini mereka telah melancarkan program Amilin, dalam melahirkan pemuda yang bakal menggantikan kepimpinan parti pada masa akan datang. Mereka didedahkan dengan perjalanan dewan negeri dan dewan rakyat di samping ilmu-ilmu pentadbiran. AKP kini juga dikenali dengan bantuan kepakaran mereka dalam membantu agensi dalam parti memperkasa organisasi dan gerak kerja seluruhnya.
Jabatan Profesional DPPM juga makin bangkit. Dengan siri program Teh Tarik for Malaysia membincangkan isu-isu semasa yang dekat dengan rakyat, JPro bakal mengadakan program yang biasanya dilaksanakan di kalangan pakar-pakar IT. MyHackathon adalah suatu inisiatif yang cukup baik dalam melibatkan rakyat Malaysia dalam mencari jalan keluar kepada pelbagai masalah yang sedang dihadapi rakyat.
Keterlibatan PAS dalam usaha mendekati dan menyantuni masyarakat fakir miskin diperkemaskan semasa demi semasa. Terbaru, NGO Maaruf Perihatin dilancarkan dalam memperkasa usaha-usaha kebajikan terutamanya golongan gelandangan di wilayah persekutuan. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat pula telah menubuhkan pusat aduan sosial PAS (PASPAS) semalam. Alhamdulillah.
Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Kesukanan atau lebih mesra dikenali sebagai DACS terus menjuarai dakwah kepada anak-anak muda. Semalam mereka menyantuni anak muda di luar Stadium Shah Alam melalui street dakwah. Hari ini, ratusan pencinta sukan basikal berkumpul di Selayang sempena penubuhan Alternative Cycling Club peringkat Kawasan Selayang. Kira-kira dua bulan lepas, lebih 600 peserta mengambil bahagian pertandingan berbasikal King of Mountain anjuran DACS Selangor.
Kongres Rakyat yang berlangsung tempoh hari adalah bukti PAS terus mahu bergerak dalam memperjuang masalah rakyat. Dipengerusikan seorang aktivis, Tuan Hj Azmi dan dibantu pula tokoh DHPP, Dr Balachandran, mantan ADUN DAP, Sum Cheok Leng dan tokoh PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub, pasukan ini juga telah berjaya melaksanakan mini KR di Kedah. Mereka bangkit menolak TPPA sebagaimana serahan memorandum di Parlimen dan akan terus bersama ratusan NGO seluruh negara dalam merangka dan melaksana pelan tindakan rakyat.
Pastinya, kami mahu berkongsi sebanyak mungkin kisah-kisah yang cukup menggembirakan dalam keadaan kita sedang berhadapan dengan 1001 cabaran dalam melayari jalan juang ini. Tanpa kita menafikan terlalu banyak lagi kelemahan dan masalah yang masih perlu dihadapi, cukuplah untuk kita lazimi syukur kepada Allah di atas nikmat istiqamah yang tidak pernah semanis ini.
Terus fokus kepada kerja-kerja yang tidak pernah henti. Lazimi usrah dan iltizamlah dengan program-program Jemaah yang sentiasa mendatang. Kreatif dan berinovatif dalam berdakwah dan terus merungkai segala kekeliruan di kalangan rakyat yang dahagakan penjelasan dan penerangan dari kita. Pertingkatkan skil kita dalam memperkasa sumbangan kepada Jemaah. Santunilah masyarakat dengan jiwa pendakwah dan sentiasa beringat bahawa Islam adalah mesej kita. Maksimakan masa yang ada, setiap detik untuk Islam. InsyaAllah kita dapat merasai kemanisan kejayaan yang akan kita peroleh kelak.
0 comments: