PAS TIDAK AKAN MASUK UMNO, TIDAK AKAN JADI KOMPONEN BARISAN NASIONAL

PAS TIDAK AKAN MASUK UMNO, TIDAK AKAN JADI KOMPONEN BARISAN NASIONAL

Semalam saya hadiri mesyuarat Lujnah Penerangan PAS Pusat atas kapasiti Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Seperti juga orang lain termasuk Ajk lajnah yang datang sejauh dari Sabah dan juga Johor, mesyuarat yang berlangsung pada waktu malam itu adalah sangat penting kerana sebelum dari itu pada siangnya telah berlangsung mesyuarat AJK PAS PUSAT yang dihadiri oleh YB Ustaz Nasruddin Hassan selaku Ketua Penerangan dan Pengerusi Lujnah Penerangan.


Seperti biasa, YB Ustaz memulakan dengan menyatakan hala tuju yg diputuskan oleh PAS Pusat.

Berhubung Kenyataan Rasmi Presiden PAS sebagai respon dari 'ajakan DS Najib' Presiden UMNO supaya PAS dan UMNO bersatu untuk sama sama menegakkan syariat dan menyatukan ummah, PAS telah lama menegaskan bahawa ummah ini perlu disatukan supaya tidak menjadi lemah ekoran berpecah pecah kerana adanya pegangan kepada fahaman perkauman dan ideologi yang asing yang tidak berlandaskan syarak.

PAS menegaskan ummah ini boleh disatukan hanya dengan kembali kepada apa yang diarahkan Allah SWT iaitu "Berpeganglah kamu dengan teguh kepada hablillah (tali Allah/Agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah" dari surah Al Imran.

Itulah seruan PAS sejak lebih 60 tahun. Supaya bersatu atas jalan syarak yang ditetapkan Allah SWT.

PAS menolak bersatu atas dasar yang lain seperti taksub perkauman yang melampau sehingga merenggangkan hubungan sesama rakyat Malaysia yang berkepelbagaian bangsa dan agama.


Pada tahap ini seperti penegasan demi penegasan yang pernah dibuat oleh DS Presiden PAS sebelum ini, PAS sekali lagi menegaskan tidak akan bergabung dengan UMNO, jauh sekali sehingga membawa PAS masuk ke dalam UMNO atau menjadi sebahagian dari Barisan Nasional.


PAS menegaskan komitmennya dalam Pakatan Rakyat yang masih ada bersama Parti Keadilan Rakyat PKR. PAS juga menegaskan supaya agenda setting Pakatan Rakyat tidak boleh menggugurkan kepentingan perjuangan yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dan jangan sekali kali meletakkan harapan individu atau kelompok mengatasi kepentingan rakyat yang lebih besar.

Atas tujuan itu PAS akan mendokong usaha Kongres Rakyat yang secara langsung melibatkan sejumlah besar NGO NGO yang mewakili perjuangan pelbagai kelompok kelompok utama akar umbi rakyat.

Dalam pada itu PAS adalah terbuka kepada kerjasama dengan semua pihak dalam memberi manfaat kepada agama dan rakyat dalam soal pembangunan negeri, soal menegakkan syariat dan hukum Islam, soal pendidikan dan pembangunan ekonomi ummah dan lain lain perkara yang baik atas dasar "Bertolong tolong pada jalan kebaikan dan taqwa" yang menjadi suruhan Allah SWT.

PAS mengiktiraf kepentingan bersama sama mempertahankan negara dari ancaman musuh negara. PAS juga menegaskan kepentingan bersama sama mempertahankan Islam dan ummatnya dalam berhadapan ancaman berupa serangan fizikal yang boleh timbul dari gerakan keganasan yang ditentang oleh Islam dan juga serangan pemikiran yang merosakkan ummah seperti pengaruh aliran sekular, liberal, feminisme, liberal dan LGBT.

PAS juga memandang berat agenda politik penguasaan DAP yang didalangi unsur chauvinisme dan permainan boneka politik yang berpotensi memberi risiko kepada kedudukan politik umat Islam jika dibiarkan tanpa ditangani dengan cermat. Kerana ia berupaya mencetuskan ketidakstabilan politik dan suasana yang sangat tidak sihat untuk negara.

PAS memantau keadaan ini dengan teliti dan sesekali tidak boleh membiarkan negara ini terjerumus ke keadaan demikian ekoran sikap alpa dan lalai ummat Islam.

PAS bersedia untuk menjadi parti teras bersama sama parti parti rakan yang menggabungkan diri bersama PAS bagi mengambil alih pemerintahan negara dari Barisan Nasional yang sedang di ambang kemusnahan.

PAS akan terus konsisten mengkritik, mendedahkan serta menentang segala kezaliman, kepincangan urustadbir, diskriminasi, amalan rasuah, kronisma dan nepotisma yang merosakkan negara. Dalam masa yang sama memberi nasihat dan pandangan membina sebagai satu tindakan yang perlu dalam usaha memperbaiki kelemahan negara.

PAS menyeru dan membuka tangannya dengan dada yang lapang untuk menerima ahli ahli dan penyokong UMNO supaya berhijrah berjuang bersama sama dalam PAS bagi membentuk satu parti yang mewakili ummat Islam dan kebajikan rakyat seluruhnya yang benar benar kuat.

Dengan jalan Islam, kita sejahterakan kehidupan bernegara kita di dunia dan kembali dengan sejahtera ke negara akhirat yang kekal abadi dengan mardhatillah.


HJ. AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah 
Jabatan Penerangan PAS Pusat
13hb Disember 2015

0 comments: