Pra-Tahfiz Akan Dilaksanakan Ke Seluruh PASTI Perak
Oleh: Zulhafeez Ahmad Zahidi
BATU GAJAH: Program PraTahfiz akan dilaksanakan pada tahun 2016 kerana melihat kepada keperluan pelajar-pelajar memahami Al Quran dan Al hadis bermula dari kecil lagi, demikian dimaklumkan Pengarah PASTI Perak, Ustaz Azahari Yahaya.
Pengumuman terrsebut disampaikan sempena Hari Anugerah Kualiti dan Kecemerlangan Jabatan PASTI Negeri Perak 2015, di Dewan Bunga Raya, Komplek KTMB Batu Gajah, di sini, 6 Disember.
Kata beliau, PASTI sentiasa membina kemajuan sehingga beberapa pelaksanaan di peringkat PASTI menjadi rujukan institusi pendidikan kanak-kanak yang lain.
Tambahnya, PASTI sentiasa terbuka kepada pihak yang ingin mendapatkan pandangan dan maklumat untuk membina tahap pendidikan kanak-kanak ke arah lebih baik.
"Kejayaan PASTI adalah kerana kerjasama daripada guru-guru dan ibubapa yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada PASTI mendidik anak-anak mereka dengan baik.
"Teruskan memperkenalkan PASTI kepada masyarakat supaya perkembangan ini dapat dirasai oleh semua ibubapa," ujarnya di hadapan pelajar dan ibubapa.
Sementara itu, seramai 24 pelajar 5 tahun dan 24 pelajar 6 tahun yang terbaik dari setiap kawasan di negeri Perak telah dinilai tahap pencapaian dan menerima anugerah masing-masing.
Antaranya, bagi Anugerah murid Terbaik PASTI Perak 5 tahun; Nur Fadhlyn Adlyna Md Fadzly dari PASTI Kawasan Lumut, Auni 'Aqilah Ahmad Uzaini dari PASTI Kawasan Tanjung Malim dan Muhammad Raif Uqail Mohd Izham dari PASTI Kawasan Bukit Gantang.
Bagi kategori 6 tahun; Emir Qayyim Mustaqim Azmi dari PASTI Kawasan Padang Rengas, Muhammad Adeeb Azharin dan Muhammad Fadlan Zaizul dari PASTI Kawasan Parit Buntar.
Beberapa anugerah turut diberikan, antaranya Anugerah 3K (kebersihan, keceriaan, dan keselamatan) Johan disandang oleh PASTI Ad Deen, Parit Buntar, manakala naib johan Pasti Fikratuzzikrah, Kampar dan tempat ketiga PASTI Ar Raudah, Kuala Kangsar.
Pengiktirafan kualiti pengurusan juga diberikan penghormatan seperti Anugerah Pertambahan Bilangan Pelajar kepada PASTI Kawasan Tambun, Anugerah ICT Terbaik kepada PASTI Kawasan Lenggong, Anugerah Majlis Guru PASTI Terbaik kepada Majlis Guru PASTI ( MGP) Taiping dan Anugerah PASTI terbaik kepada PASTI Kawasan Tambun. Sumber HARAKAHDAILY
0 comments: