Royalti: 14 Isu Tuntutan Dibenar Ke Mahkamah Tinggi

PUTRJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengizinkan Kelantan membawa kesemua 14 isu berkait tuntutan royalti Petroleum ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan tersebut diputuskan oleh tiga orang hakim yang bersidang bagi mendengar rayuan kerajaan Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Mei lalu.

Peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan negeri berkata keputusan tersebut mengarahkan hakim Mahkamah Tinggi menerima terlebih dahulu rayuan itu.
"Hakim Mahkamah Tinggi mesti menerima 14 isu yang kita buat ini untuk dipertimbangkan  terima atau tidak itu terpulang kepada dia, yang pastinya dia kena terima dahulu isu tersebut.

"Yang pasti, dia tidak boleh tolak. Seperti yang sebelum ini, Mahkamah terus tolak apabila kita masuk 14 isu ini," katanya ketika ditemui selepas kes rayuan itu selesai di Istana Kehakiman disini.

Perbicaraan hari ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mei 2015 menolak untuk membicarakan 14 isu dan persoalan pokok menerusi Aturan 14 A mengenai hak Kerajaan Kelantan ke atas telaga minyak di perairan negeri itu yang dicarigali oleh Petronas serta royalti yang dikemukakan oleh Kerajaan Kelantan.

Petronas mengemukakan enam isu manakala Kerajaan Malaysia mengemukakan tiga isu yang sama dengan Petronas dalam jawapan pembelaan mereka.

Kesemua 14 isu ini sangat relevan dan penting untuk maruah dan kedaulatan negeri Kelantan sebagai sebuah negeri dalam persekutuan, tanah, hak pemunyaan dan perjanjian termasuk bayaran royalti dan tunai 5% kepada Kelantan dan rakyat Kelantan.

"Dan hari ini Alhamdulillah, kita berjaya dalam kes rayuan tersebut berkat doa, solat hajat, sokongan semua rakyat Kelantan. Terima kasih kepada semua yang mendokong perjuangan ini.

"Ia adalah sangat bermakna dalam menunjukkan tanggungjawab moral dan komitmen kepada kerajaan negeri Kelantan dan rakyat yang sebenarnya sebagai tuan punya yang berhak untuk menikmati hasil bumi tanah air sendiri," ujar NGO Royalti kepada Harakahdaily

Justeru katanya, perjuangan ini selari dengan Islam dan undang-undang Malaysia demi menegakkan hak hakiki rakyat dalam membela ekonomi tuan tanah asal petroleum itu sendiri. – HARAKAHDAILY 7/12/2015

0 comments: