Santai Buskers DACS Selangor buka ruang buskers tonjolkan bakat


KLANG: Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Selangor telah berjaya menganjurkan satu program seni untuk anak muda malam tadi, 19hb Disember iaitu Santai Buskers DACS Selangor di Dataran Seni, Klang, Selangor. Sebanyak 7 kumpulan buskers yang terdiri daripada anak muda seluruh kawasan di dalam negeri Selangor membuat persembahan. Setiap kumpulan buskers menyampaikan dua buah lagu dan di hujung program semua kumpulan bergabung untuk menyanyi bersama-sama lagu tema program. Pelbagai jenis lagu telah disampaikan oleh para buskers dengan mesej mendidik dan menasihati para pendengar. Program bermula dengan solat maghrib berjamaah di Dataran Seni, Klang dan tamat persembahan buskers pada pukul 11.45 malam.


Menurut Saudara Zainuri, Pengarah Santai Buskers, objektif program kali ini adalah untuk kami DACS Selangor mengumpulkan seramai mungkin buskers yang ada di dalam negeri Selangor ini di dalam satu program. Ini kerana, tidak banyak peluang yang diperolehi oleh para buskers untuk menonjolkan bakat masing-masing. Dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk tonjolkan bakat yang terpendam disamping mesej pada lagu yang hendak disampaikan dipandu agar lebih baik dan tiada unsur pemujaan berlebihan. Santai Buskers malam tadi turut dihadiri tetamu kehormat seperti YB Dr Abdul Rani Osman, ADUN Meru, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi dan Muhammad Fadzli Abu Bakar, Pengarah DACS Selangor. Kehadiran penonton yang ramai daripada pelbagai bangsa, agama dan golongan umur telah memeriahkan persembahan malam tadi. Mereka terdiri daripada masyarakat sekitar Klang dan kawasan-kawasan yang berhampiran.


Rata-rata para penonton berpuas hati dengan persembahan yang telah disampaikan oleh para buskers. Ini kerana mesej yang disampaikan dalam lagu mereka amat baik. Mesej yang memberi pengajaran yang baik dan tiada unsur puja-memuja berlebihan terhadap wanita, percintaan dan sebagainya.


Para penonton tidak pulang dengan tangan kosong apabila pihak penganjur turut membuat acara sampingan iaitu cabutan bertuah. Sebanyak 7 buah hamper disediakan kepada penonton yang bertuah.

Bagi meraikan minat baru anak muda tempatan, DACS Selangor telah menjemput Kumpulan BAR-DAK, Street Workout sebagai acara sampingan di dalam Santai Buskers kali ini. Seramai 25 orang anak muda yang menyertai sukan baru ini. Ia memerlukan kekuatan tangan dan fizikal yang kuat bagi melakukan segala aktiviti street workout ini. Sukan ini agak baru di Malaysia tetapi di negara-negara barat ianya telah berjaya menarik minat ramai anak muda. Insyaallah DACS Selangor akan membantu untuk memperkenalkan sukan ini kepada seluruh anak muda di Selangor.

Acara kemuncak pada Santai Buskers malam tadi ialah pelancaran kumpulan buskers di bawah DACS Selangor itu sendiri iaitu "DACS Buskers". Ia telah dilancarkan oleh Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi sambil disaksikan oleh YB Dr Abdul Rani, Saudara Muhammad Fadzli dan para penonton yang hadir. Dengan tertubuhnya DACS Buskers ini, ia akan dapat dijadikan sebagai medium baru untuk mendekati anak muda yang majoritinya meminati bidang hiburan.

Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan daripada anak muda di dalam seni suara, DACS Selangor insyaallah akan membuat siri jelajah santai buskers ini ke seluruh negeri Selangor bagi membuka ruang seluas-luasnya kepada para pencinta seni suara seperti buskers, band dan sebagainya untuk menonjolkan bakat masing-masing ketengah-tengah masyarakat. Dengan syarat ianya tidak melalaikan para pendengar dan tidak mendatangkan maksiat terhadap Allah swt.

Seni itu Indah.
Sekian. Wallahua'lam.
MUHAMMAD FADZLI BIN ABU BAKAR.
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.
Dewan Pemuda PAS Selangor.

0 comments: