Surat Terbuka Kepada TPM: Solusi (Seng)sara Hidup

“Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan.” (Yusuf: 47)

Datuk Seri,

Malaysia berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar.

Pertumbuhan KDNK diunjur malar, ringgit hilang kadar, defisit kian melebar, inflasi terus menjalar, hutang kerajaan makin mengakar.
Rakyat juga berhadapan dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kesan kenaikan cukai yang perlu dibayar dan harga semua barangan di pasar, menyebabkan tabungan semakin sukar,

Datuk Seri,

Kerajaan dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi cabaran ini, iaitu - cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan.

GST menjadi senjata utama kerajaan, atau dalam erti kata lain, poket rakyat yang menjadi sasaran. Bagi setiap perbelanjaan rakyat, tanpa mengira kaya atau miskin, sejumlah 6% daripada nilai setiap pembelian akan diserahkan kepada Putrajaya untuk dibelanjakan, dengan jumlah terkumpul mencecah RM30 bilion tahun ini, dan RM40 bilion pada tahun hadapan.

Rakyat perlu membayar lebih untuk makanan dan minuman. Subsidi gula telah dihapuskan sejak 2013, manakala subsidi beras, tepung, minyak masak dan tarif elektrik juga akan dikurangkan pada 2016, yang pastinya memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian golongan bawahan dan pertengahan.

Rakyat juga perlu membayar lebih untuk belanja pengangkutan. Subsidi bahan api dikurangkan sejak 2014 menyebabkan harga RON95 diapungkan setiap awal bulan, walaupun harga minyak dunia jatuh 60% sejak 2014. Kadar tol dinaikkan pada Oktober 2015 bagi mengelak kerajaan membayar dua bilion pampasan. Kenaikan tambang bas, LRT, ERL, keretapi dan bas sekolah sudah tidak dapat dielakkan. Semuanya menjadi punca inflasi tolakan-kos yang terus membebankan.

Datuk Seri,

Tindakan kerajaan yang memungut cukai berganda tetapi dikurangkan subsidi, umpama seorang bapa yang mendapat kenaikan gaji, namun dikurangkan pula duit saku kepada anak dan isteri.

Sewajarnya, dalam keadaan rakyat terpaksa berjimat, kerajaan perlu lebih berhemat.

Pertama, pastikan kerajaan tidak lagi memohon bajet tambahan, sebagaimana biasa dilakukan oleh kerajaan.

Kedua, kerajaan perlu mengemukakan plan rasionalisasi gaji dan emolumen 1.5 juta penjawat awam, melalui inisiatif transformasi penjawat awam yang menekankan aspek kompetensi, prestasi, produktiviti dan inovasi. Dengan bajet RM70 bilion pada 2016 - tiga kali ganda lebih besar berbanding bajet subsidi RM26 bilion, banyak yang boleh dijimatkan. Selain dikaji saiz kabinet yang terlalu besar, setiap Menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan 20% gaji bulanan, serta dihapuskan ‘subsidi’ elaun tol, minyak, percutian, dan keraian, supaya kalian dapat merasai bebanan golongan bawahan.

Ketiga, rakyat tiada akses pada semua perjanjian penswastaan kerajaan, yang kami fikir wajar dikajisemula.

Rakyat tiada akses pada perjanjian konsesi tol yang telah mendapat keuntungan berganda, yang kami kira, wajar dirunding-semula. Rakyat tiada akses pada pembelian tenaga oleh TNB terhadap IPP yang mengaut untung berjuta, yang kami hitung wajar ditulis-semula. Rakyat tiada akses pada keuntungan dan royalti Petronas, yang kami congak, wajar diagih rata. Rakyat tiada akses pada tender dan kontrak kerajaan, yang kami anggar, wajar diberi secara telus dan terbuka.

Datuk Seri,

Inilah realiti yang menghimpit rakyat setiap hari, jauh dari kemewahan hidup para menteri dan isteri.

Besarlah harapan agar Malaysia dilimpahi ekonomi yang diberkati, dan politik yang mewujudkan harmoni, dalam keadaan tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi.

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM

0 comments: