Tahniah pasukan bola sepak Selangor!

DACS Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Selangor kerana telah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 dengan menumpaskan pasukan Pahang, 2-0 malam tadi di Stadium Shah Alam.
Perlawanan yang menarik dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan, namun bermain di tempat sendiri memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah iaitu Selangor. Aksi cemerlang penjaga gol Selangor, Norazlan Razali yang menidakkan beberapa rembatan deras pemain Pahang serta seluruh pemain yang bermain secara “team work” menjadi ramuan kejayaan pasukan Selangor malam ini. Jaringan Guilherme dan Nazmi Faiz terus melenyapkan impian Pahang untuk ke final 2015.
Kemenangan Selangor pada malam tadi telah menyuntik semangat pasukan dan penyokong The Red Giants untuk merealisasikan misi memburu kejuaraan kali ke-33. Kemenangan ini telah membolehkan Selangor melangkah ke final setelah kali terakhir pada tahun 2008 juga menentang pasukan Kedah.
Final Piala Malaysia 2015 adalah misi untuk membalas dendam terhadap Kedah apabila Selangor kalah kepada lawan yang sama di perlawanan akhir tahun 2008 dengan jaringan 3-2. Kali ini pasukan Selangor lebih bersedia untuk merobek gawang pasukan Kedah dan sekaligus menjuarai Piala Malaysia 2015.
Akhir kalam, DACS Selangor menyeru kepada seluruh penyokong bola sepak Selangor untuk kita bersama-sama dengan pasukan Selangor mengharungi cabaran di gelanggang Final Piala Malaysia pada 12hb Disember di stadium keramat Selangor, Stadium Shah Alam. Ayuh kita penuhkan stadium dengan lautan Merah Kuning selaku pemain ke-12 pasukan Selangor. Diharapkan pihak penyokong dapat menyokong pasukan Selangor dengan penuh semangat kesukanan. Hentikan budaya ‘Hooligan” dan “Vandalisme” iaitu dengan membuat perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Jadikan perlawanan bola ini selamat ditonton oleh semua golongan. Ayuh rakyat Selangor, kita doakan kejayaan pasukan Selangor.
Merah Kuning Lambang Kebanggaan.

MUHAMMAD FADZLI BIN ABU BAKAR.
Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor.
Dewan Pemuda PAS Selangor.

0 comments: