Risalah Penerangan
Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Dialog Method Terbaik Menerangkan Islam dan Jernihkan Kekeruhan
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Ali Imran ayat 64,
"..Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam..".
1. Sebahagian para ahli tafsir menyatakan bahawa ayat ini memberitakan mengenai risalah surat yang ditulis oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada Hercules Raja Rom yang mengandungi dakwah Baginda s.a.w. agar dia menerima Islam.
2. Risalah Islam khasnya yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah risalah akhir zaman yang melengkapi sekalian risalah kenabian sebelumnya.
3. Agama selain Islam terutamanya agama Yahudi dan Nasrani adalah sebenarnya agama yang dibawa oleh para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. hanyasanya ia telah diubahsuai dan dipinda ajarannya mengikut selera para rahib dan pastur mereka.
4. Pada hakikatnya bahawa agama yahudi dan nasrani ini adalah asalnya Islam yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. yang juga membawa risalah beriman dan menyembah Allah dan menerima syariat perundangan dari langit.
5. Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan Allah kepada umatnya untuk mengembalikan mereka kepada Islam yang sebenarnya termasuklah ummatnya di kalangan ahli kitab Yahudi dan Nasrani.
6. Persamaan yang adalah di antara agama ini dengan Islam ialah pada beriman dan menyembah Allah s.w.t.
7. Lantaran itu, method terbaik dalam menerangkan dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan pada agama Yahudi dan Nasrani dan juga mengajak mereka kembali kepada agama sebenarnya yang diturunkan oleh Allah itu adalah dakwah melalui dialog dan penerangan.
8. Ini adalah dilihat usaha yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri yang menulis surat kepada Raja Rom yang beragama Nasrani supaya dia menerima Islam.
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sufyan yang menyebut akan surat yang dibaca oleh Hercules kepadanya.
Maksudnya,
"...Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasihani. Daripada Muhammad Rasulullah kepada Raja Hercules Negara Rom Yang Sejahtera. Salam sejahtera ke atas siapa yang menuruti petunjuk. Masuklah Islam nescaya kamu sejahtera dan selamat....".
9. Dalam keadaan getir ketika Islam sedang bergelut dengan sindrom Islamophobia dan juga dikaitkan isu pengganas, sudah tentulah Islam akan mengintai peluang dan apa sahaja cara yang paling berhikmah untuk menerang dan menyelesaikan kebuntuan ini. Islam akan mengambil sikap " engagement " dengan sesiapa sahaja untuk memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang membawa kebaikan dan keharmonian sejagat dan bukannya agama yang perlu ditakuti.
10. Nabi s.a.w. sendiri menjadikan method dakwah bil hal dan dakwah secara damai sebagai jalan utama dalam memenangi hati manusia dan bukannya jalan peperangan dan pertembungan.
11. Method dakwah secara bil hal dan damai ini memberi impak yang lebih berbanding jalan peperangan. Sebagai contoh, tahun ke 6 hijrah, umat Islam yang bersama Nabi s.a.w. menuju ke Mekah untuk menunaikan umrah adalah seramai 1400 orang sahaja berbanding selepas Perjanjian Hudaibiyyah atau Genjata Senjata Hudaibiyyah, iaitu pada tahun ke 8 Hijrah, bilangan orang Islam ketika pembukaan Kota Mekah meningkat sehingga 10 ribu orang.
12. Sejarah menbuktikan bahawa para sahabat Nabi r.ah sebahagian mereka adalah bekas penganut agama Yahudi dan Nasrani malah Majusi. Mereka menganut Islam setelah mendengar dan melihat sendiri akan kebenaran dan hujjah yang dibawa oleh Islam.
Contohnya, Abdullah Bin Salam bekas Pastur Yahudi, Salman Al Farisi pernah menganut agama Majusi.
13. Kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia kini yang mengadakan siri jelajah beliau berbentuk syarahan dan penerangan berkaitan perbandingan agama adalah amat relevan dengan kepentingan dakwah Islam.
14. Lebih-lebih lagi yang menarik apabila Dr Zakir Naik mengambil jalan mendekatkan Islam dengan agama lain. Usaha ini menjadikan Islam lebih dekat di hati manusia apabila beliau menyampaikan syarahannya dalam bentuk perbandingan agama dan mencari titik persamaan antara Islam dengan agama lain dan agama Kristian khasnya.
15. Dr Zakir Naik tidak menjadikan syarahannya sebagai medan untuk memburukkan agama lain malah beliau hanya memberikan beberapa persamaan di samping memberikan hujjah Islam dan penerangan menurut perspektif Islam. Kemudian menyerahkan kepada para audien untuk melakukan penilaian dan keputusan samada untuk menerima atau menolak. Beliau juga memberi peluang kepada audiennya untuk menanyakan apa sahaja soalan berkaitan Islam dan beliau akan menjawabnya menerusi hujjah Al Quran, As Sunnah, lojik akal dan juga adakalanya menerusi sumber daripada agama lain seperti Bible, Kitab Suci Hindu dan sebagainya.
16. Method dakwah menerang, adalah jalan terbaik untuk memberikan gambaran sebenar Islam dan sikap Islam keterbukaan Islam terhadap agama lain serta memperbetulkan salahtanggap pelbagai pihak terhadap Islam.
17. Sudah tentulah method dakwah sebegini adalah jalan yang paling harmoni diadakan antara agama khasnya bagi menyampaikan penerangan Islam kepada umum. Pendekatan memaksa, memburukkan, menghina, menuduh, bertengkar, provokasi dan lain-lain yang bertentangan method damai adalah tidak bersesuaian dan bukannya jalan yang diajar dan digalakkan oleh Islam.
18. Adalah diharapkan agar usaha-usaha penerangan dalam bentuk dialog dan program mendekatkan antara masyarakat Islam dengan penganut agama lain perlu diaktifkan dan digalakkan dalam suasana yang harmoni. Sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan dan berniat jahat mempersendakan agama-agama ini maka ia hendaklah dibendung.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al An'am ayat 108,
"...Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan..."
Islam untuk Semua
Al faqir ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan
Lajnah Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat
19 April 2016 / 15 Rejab 1437h.
3 comments: