KOTA BHARU – Ahli Pas disaran lebih ke depan dalam mengumpul dan mendapatkan maklumat lebih telus untuk dipanjangkan ke semua peringkat, sebagai usaha menepis fitnah yang ditaburkan kepada parti itu.
Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, usaha itu penting apabila Pas ditimpa sedikit musibah selepas muktamar baru-baru ini, di mana sebahagian pemimpin peringkat pusat keluar dari parti dan menubuhkan parti baharu.
“Amat penting dalam penerangan untuk kita sebarkan maklumat yang betul dalam gerak kerja, masyarakat dan seluruhnya. Bila ada kalangan kita bentuk parti baharu semestinya banyak fitnah ditabur dalam masyarakat.
“Fitnah itu disebar supaya parti asal mereka dokong selama ini menerima cabaran dan pelbagai masalah, jadi kerja-kerja kita dalam Pas adalah perjuangkan Islam dan mendaulatkan syariat ALLAH SWT. Perjuangan Pas bukan mudah di mana kita telah menghadapi banyak cabaran sejak dulu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Liqa Penerangan Pas Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, dan Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apabila Pas mendahulukan keredaan ALLAH SWT, ramai yang menuduh parti itu tidak mahu menang dalam pilihan raya.
“Itu tuduhan tidak betul. Kalau kita menang tapi tiada keredaan ALLAH SWT itu bukan perjuangan kita (Pas), kita nak menang bersama keredaan. Insyaallah dengan ada Liqa Penerangan ini akan dapat membantu,” katanya.
Dalam pada itu selepas arahan dikeluarkan Pas Pusat agar ahlinya tidak terlibat dalam program anjuran Parti Amanah Negara (Amanah), Ahmad mahu semua penyokong di peringkat kawasan dan cawangan akur.
“Jika sebaliknya berlaku, pantau mereka yang cenderung, bekerja dan memberi sokongan kepada Amanah agar mudah untuk dikenalpasti. Pas kena lebih agresif.
“Senang sahaja untuk kenal pasti mereka ini, selalunya mereka adalah yang bermasalah dan tidak istiqamah dengan perjuangan Pas,” katanya.- SINAR HARIAN 17 JANUARI 2016
0 comments: